Assalammualaikum w.b.t dan salam ukhuwah sahabat di dunia oren.
BILA seseorang penulis berkelana di dunia luar dari dunia penulisan, cari dia di dunia pembacaan.
Dua minggu saya tidak menyambung penulisan manuskrip. Bukan tiada idea atau hilang jalinan kata, tetapi rasa kepuasan menulis itu kurang. Idea yang sudah digarap, bila dibaca semula, terasa kurang matang.
Bila kita menulis, dan perasaan rasa tidak enak, kurang puas dengan penulisan sendiri, lebih baik hentikan dahulu. Jangan mensia-siakan masa dengan mengadap komputer tanpa ada hasilnya.
Gunakan masa di luar aktiviti penulisan untuk menggali ilmu. Seperti tajuk tertera, saya sebenarnya berkelana bukan sahaja di buku-buku fizikal, tetapi juga di dunia oren. Banyak bahan bacaan di dunia oren yang saya baca. Pilihan bahan bacaan, adalah secara rambang.
Ada di antaranya adalah karya follower, dan ada juga karya-karya pemenang Wattys tahun terkini dan tahun sebelumnya. Terlalu banyak karya yang menarik di dunia oren ini. Tetapi sayang, mata saya tidak cukup baik untuk membaca dalam jangka masa yang lama menggunakan bahan bacaan elektronik.
Mengapa perlu seseorang penulis itu membaca karya penulis lain? Sekali lagi saya menarik anda untuk memikirkan persoalan ini. Bukankah saya dan ada juga beberapa orang rakan penulis sudah mengakui bahawa dengan membaca karya penulis lain, terutamanya karya yang hebat-hebat, yang sedap-sedap boleh menyebabkan rasa yakin diri sendiri, merudum?
Ya, benar, tetapi in-sha-Allah ia boleh diatasi.
Membaca karya penulis lain ini penting, kerana ia akan membantu kita dalam menggerakkan penulisan kita. Abaikan simptom yang satu itu, dan fokus kepada empat kepentingan yang akan memberi lebih manfaat kepada penulisan kita. In-shaa-Allah yang empat ini akan memadam rasa merudum yang satu itu.
Lihatlah latar putih yang luas berbanding satu titik hitam yang kecil.
Baiklah. Apa yang pentingnya untuk membaca karya penulis lain?
1-Memastikan bahawa cerita yang bakal kita tulis tidak pernah ditulis lagi.
Bila kita rajin membaca karya penulis lain, tentu kita boleh tahu cerita yang bagaimana yang wujud dan yang masih tiada di dunia penulisan ini. Tidak seronok bukan, jika asyik muncul cerita yang lebih kurang sama sahaja dalam dunia yang sama?
Pembaca tidak akan ingat pada cerita kita bila keunikan cerita itu tiada. Malah, mungkin akan wujud kekeliruan di hati pembaca bila jalan cerita, permulaan cerita, konflik atau peleraian cerita kita sama sahaja dengan cerita-cerita penulis lain. Yang berbeza, mungkin nama watak, dan gaya olahan cerita.
Sungguh. Saya selalu terjumpa cerita-cerita yang sedap dibaca, tetapi entah mengapa tidak mampu mengingati cerita itu milik siapa sebenarnya. Sebab, ada dua tiga orang penulis lagi yang jalan ceritanya lebih kurang sama. Memang keliru.
Maka, bila kita sudah tahu apa yang tiada lagi, tulislah. Pembaca menanti cerita yang berbeza. (Saya juga seorang pembaca.)
2-Tajuk yang kita pilih dan isinya tidak ada lagi yang memilih.
Untung bila kita rajin menelek karya-karya di dunia oren atau di laman-laman sosial, atau di blog peribadi penulis. Kita akan jumpa pelbagai jenis tajuk. Dan, pelbagai jenis sinopsis. Takkanlah kita bila sudah jumpa tajuk satu-satu cerita itu, kita hendak ambil juga tajuk yang sama untuk cerita kita. Tentu tidak, bukan?
Jadi, curi masa untuk merayap di cerita-cerita penulis lain. Fikir sesuatu yang berbeza dengan apa yang sudah sedia ada.
3-Setiap cerita pasti ada ilmu.
Membaca apa sahaja buku, pasti ada terselit ilmu di dalamnya. Membaca karya penulis lain, ibarat kita mendapat ilmu si penulis. Seseorang penulis, biasanya akan menulis bila di dalam kepalanya penuh dengan ilmu dan idea yang ingin dikongsikan.
Ilmu yang mungkin didapat daripada pengajian, pengalaman, pemerhatian dan pembacaan.
Karya kita dengan ilmu kita. Karya dia dengan ilmu dia. Maka, bila kita membaca karyanya, seumpama kita mengoreksi kepala dia, ilmu-ilmu dia. Bagus, bukan? Jadi, bacalah karya penulis lain dengan niat mendapatkan ilmu.
4-Belajar cara menulis dengan membaca penulisan orang lain.
Selain daripada menghiburkan diri dengan cerita penulis lain, mencuri ilmu-ilmunya, membaca karya-karya dia juga ibarat kita belajar ilmu penulisan.
Tidak semestinya karya yang kita baca itu daripada penulis yang sudah ada nama. Baca juga karya penulis-penulis muda yang masih segar dan tampil dengan idea berbeza. Jangan sesekali meremehkan kebolehan mereka walaupun usia mereka begitu hijau.
Saya sudah menelusuri pelbagai karya anak-anak di dunia oren. Sungguh saya rasa kerdil dengan idea yang ditampilkan oleh mereka. Sangat segar dan berbeza. Mereka mampu berfantasi sehingga saya mula terfikir, 'Budak ini, muda. Kalau diasah lagi bakatnya, dan bila dia capai ke satu umur matang, tentu Malaysia mampu bersaing dengan negara dunia, terutamanya cerita-cerita dari benua Eropah yang fantasinya memang gila, tidak terjangkau dek minda.'
Dan, bila membaca karya-karya ini, (tidak kira penulis yang sudah ada nama atau yang baru bermula), ambil yang sempurna dan yang ada cela juga. Maksudnya?
Begini. Bila kita membaca karya orang lain, secara tidak langsung kita akan jumpa dua perkara – Satu, karya yang ditulis dengan baik (lebih baik daripada yang kita punya) dan yang kedua, karya yang ada cela tulisannya, (yang biasanya kita tidak akan mampu meneruskan pembacaan, sama ada kerana cara penulisannya yang tidak kena dengan selera kita, atau kerana terlalu tidak tersusun plot atau bahasanya, atau kerana topik yang dibawa tidak kena dengan jiwa kita).
Teruskan membaca semua karya walau karya yang baik itu membuatkan keyakinan diri kita merudum. Belajar cara mereka mempersembahkan bahasa dan alur cerita. Lihat apa yang ada di dalam sesebuah penulisan yang baik itu. Bandingkan dengan yang kita punya.
Begitu juga dengan karya yang ada cela. Teruskan membaca sekurang-kurangnya lima ke sepuluh bab. Sebab, biasanya, manusia akan nampak cela pada orang lain, kurang nampak pada diri sendiri. Nampak cela pada tulisan orang, padahal diri sendiri juga ada melakukan perkara yang sama tanpa sedar. (Kalau tidak percaya, bila baca karya orang lain, terjumpa cela, fikirkan pula rangkap-rangkap yang ada pada karya kita. Ada di antara kesilapan mereka, tidak kira tatabahasa, typo, lewah dan apa sahaja ... pasti kita juga ada melakukannya.)
Setiap kali saya membaca karya orang lain, dan saya terjumpa cela, cepat saya tulis kesilapan yang saya jumpa itu di buku catatan. Sebab saya pasti, saya juga ada melakukan kesilapan yang sama.
Dan, catatan yang ada senarai cela dan kesilapan dalam penulisan ini akan saya jadikan panduan ketika saya menyunting karya sendiri.
Cukup dulu rasanya empat perkara, mengapa kita perlu membaca karya daripada penulis lain. Mungkin ada di antara anda yang ingin menambah, silakan.
YOU ARE READING
Santai (Completed)
General FictionCuba lari dari tinta dan pena. Duduk dalam dunia realiti dengan secawan kopi hitam. Pilihan? Dengan gula atau tanpa gula, ikut suka. Start: 26 Feb 2018 End: -