16 - Pakumnya sebuah pentas

115 25 5
                                    

SATU persatu susunan aksara itu sirna dari pentas. Pentas yang sebelum ini rancak dengan tarian pena. Dengan dakwat pelbagai warna. Bila aku bertanya ke mana mereka menghilang, katanya, 'Pentas penulisan sudah cukup orang. Hilang seorang tidak menjadi apa di sana. Lagi pula hasil karyaku tidak seberapa. Picisan cuma. Dakwatku tidak berwarna. Kelabu yang tidak dapat dikesan mata. Biarlah pena berdakwat pekat yang menari di pentas penulisan. Aku hanya ingin menjadi penontonnya sahaja.'

Berpanjangan cerita ini. Berjejeran mereka pergi. Satu demi satu. Seorang demi seorang. Semuanya kepingin menjadi penonton berbanding berada di atas sebuah pentas. Maka pakumlah pentas. Tanpa aksara. Tanpa tarian pena.

Tutuplah panggung. Terisi hanya pakum.

TAMAT.

***

'Pakumnya Sebuah Pentas' adalah suara hati saya yang terhasil bila melihat seorang demi seorang kawan yang saya kenal di Wattpad menghilang. Jujur saya rindukan suasana sebelum ini.

Walau mereka tidak saya kenal di depan muka, tetapi saya selesa dengan adanya mereka bersama-sama mencipta ceritera. Ya, memang ramai lagi yang saya jumpa selepas kehilangan mereka, tetapi pastinya tidak sama.

Hati sering tertanya, adakah kehilangan ini kekal? Atau, akan ada suatu hari mereka bakal pulang?

Untuk semua penulis di Wattpad, tidak kira umur dan corak penulisan, teruslah menulis jika sudah menitiskan dakwat di dada tinta. Sudah pernah berkarya walau seolah-olah tidak dipandang oleh sesiapa.

*Percayalah. Bukan sebab karya anda tidak hebat, bukan sebab karya anda picisan tetapi hanya belum tiba masanya untuk ia terlihat. Pembaca karya anda tidak jumpa karya anda lagi. Jangan pergi. Jangan tinggalkan pentas aksara ini.

(*Nasihat untuk diri sendiri. Sebab saya juga pernah terfikir untuk meninggalkan pentas ini. Dan, tidak mustahil ia akan terjadi.)

Santai (Completed)Where stories live. Discover now