Assalammualaikum dan Salam Secangkir Kopi.
Bila saya muncul dengan 'Secangkir Kopi' maksudnya adalah 'benda' yang telah mengganggu penulisan saya. Yang membuatkan saya berfikir panjang. Apa agaknya ya?
Ya. Ianya tentang PLOT. Sejujurnya di awal penulisan, saya menulis tanpa plot. Saya cuma pilih satu perkataan dan saya kupas dan kembangkan cerita tentang perkataan tersebut. Pelik? Ya. Itulah yang berlaku.
Dan, bila sudah siap dua cerita di Wattpad dan mahu menulis cerita ketiga, saya perlu siapkan plot sebab cerita ketiga ini akan dihantar untuk penilaian. Tetapi saya masih tidak mampu nak bayangkan jalan cerita saya sendiri.
Jadinya, saya paksa juga untuk merangka plot menggunakan beberapa teknik yang saya baca di buku, di laman sesawang dan di Wattpad sendiri.
Apa yang saya jumpa jika nak plotkan cerita, kita perlu buat mind mapping atau sekurang-kurangnya tajuk-tajuk kecil untuk setiap bab. Dan kita juga perlu sediakan biodata setiap watak yang akan menggerakkan cerita.
Jadi saya buat semua tu sebelum saya menaip untuk cerita ketiga saya. Tetapi bila cerita dah hampir siap saya tiba-tiba jadi bosan. Saya tengok balik plot yang saya buat. Entah! Saya rasa macam klise sangat. Plot yang dirangka ini terlalu cantik susunannya. Saya menyampah.
Saya berhenti menulis buat beberapa hari. Cuba mencari di mana silapnya plot saya ini dan bagaimana boleh saya baiki. Seperti biasa, saya akan bertanya pada diri sendiri.
Kenapa perlu plot? Dan minda akan menjawab begini;
a) Halatuju cerita lebih jelas
b) Penerbit biasanya ingin melihat plot
c) Membantu kelancaran penulisan dengan imej yang jelas dalam setiap bab.
d) Membantu untuk penyusunan plot yang baik terutama bila cerita yang kita buat banyak menggunakan teknik imbas kembali (flashback).
e) Membantu mengelakkan kesilapan perletakan latar masa dan
f) Lain-lain lagi
Habis? Kenapa aku rasa bosan dengan plot yang dah aku rangka?
Masalahnya bukan pada plot, atau halatuju cerita tetapi masalahnya pada halatuju penulisan kau. Kau tanya diri kau balik apa sebenarnya yang kau inginkan dalam sesuatu cerita. Letakkan diri kau sebagai pembaca, bukan penulis.
Ingat!
Soalannya ialah - apa yang kau inginkan, BUKAN apa yang orang lain inginkan. Minda aku memberi amaran.
Aku nak cerita yang aku tak boleh jangka. Tak nak sesuatu yang klise, yang baca awal dan tengah pun dah tahu apa yang akan terjadi seterusnya.
Hah! Tahu pun. Jadi ... bila kau menulis, kau jangan fikir jalan cerita yang tersusun.
Maksudnya, aku tak payah buat plot dulu?
Ya. Kalau itu yang akan buat kau puas hati.
Boleh ke?
Kau dah buat pun masa kau tulis cerita 'Syakila' dan 'Cantik'. Cuma kau perlu fikir balik dan senaraikan teknik yang kau gunakan masa kau tulis kedua-dua cerita tanpa plot tu.
Dan setakat itu sahaja pergaduhan saya dengan otak saya. Hehehe ... Jom kita tengok apa yang boleh kita buat jika menulis tanpa plot.
Teknik Penulisan Tanpa Plot
1) Tajuk Cerita
Di awal tadi ada saya beritahu yang saya menulis hanya dengan memilih satu perkataan dan saya kembangkan. Contoh? Saya pilih perkataan 'Cantik'. Bagaimana saya kembangkan hanya dengan tajuk cerita - Cantik?
Saya senaraikan persoalan yang bermain dalam fikiran saya tentang 'Cantik'.
a) Apa itu cantik? (Cantik rupa, sahsiah diri, hati dll.)
b) Seronok ke jadi cantik? (Ya dan tidak)
c) Bila cantik, apa yang kita dapat (perhatian, pujian, kawan, lelaki idaman dll)
d) Apa keburukannya? (Rimas, jadi sasaran nafsu mata, nafsu hati, jadi fitnah)
e) dan banyak lagi senarai sebenarnya.
Dan dari jawapan-jawapan inilah saya mula menulis bab demi bab. Saya tulis berdasarkan tajuk cerita/perkataan yang saya pilih.
2) Pergerakan Watak
Menulis tanpa plot memang akan jadi WB (Writer's Block). Saya tak nafikan. Tetapi untuk elakkan ia dari berlaku, kita boleh menulis menggunakan Pergerakan Watak.
Jadikan diri kita sebagai watak. Timbulkan persoalan untuk menggerakkan watak. Contohnya: Watak kita seorang pembunuh upahan.
a) Kalau aku jadi pembunuh upahan, bagaimana rupa aku? - aku mungkin pakai jaket kulit, cermin mata hitam, bawa motor besar. Tapi ... tak salah jugakan kalau kita bayangkan pembunuh upahan seorang wanita bertudung labuh? Ehem ... itu sesuatu yang pelik tapi tidak mustahil sama sekali dan ianya RARE.
b) Bagaimana cara hidup pembunuh upahan? - terasing dari masyarakat? berada dalam kelompok masyarakat dengan berbeza identiti? Ikut kita. Kita nak yang bagaimana. Dan ingat ... jangan terlalu fikirkan logik. Tulis dulu ikut imaginasi kita. Logik biasanya hanya akan membuatkan penulisan kita terbatas atau menjadi klise.
c) Kemahiran apa yang ingin kita letak dalam watak? - dia seorang yang hebat dalam seni mempertahankan diri? Dia ada teknik akupuntur yang boleh menghentikan jantung seseorang hanya dengan satu tusukan atau lemparan jarum yang kecil pada urat-urat tertentu? Sila tentukan dan bayangkan. Mesti seronokkan kalau dapat buat macam tu?
d) Pendirian watak? - semua orang ke yang dia nak bunuh? Kita pilih sebab kita sekarang adalah pembunuh upahan. Nak ambil ke job kalau kena bunuh kanak-kanak? Kalau ya mesti bersebab.
e) Ok. Cukup setakat itu. Semua jawapan di atas sudah pun menjadi beberapa bab walaupun kita tidak merangka plot. Setiap kali terhenti idea (sebab tak ada plot) dan anda menggunakan teknik pergerakan watak, jadikan diri anda watak itu dan tanya ke mana anda nak gerak. Liarkan imaginasi anda.
Ok. Saya berhenti dulu. Inshaallah akan ada sambungan untuk tajuk ini. Panjang sangat dah. Jadi melalut pula nanti. Kepada yang membaca, jangan kecam saya, ini hanyalah perkongsian pengalaman atau apa yang saya alami. Kalau rasa pemikiran songsang saya ini tidak membantu, jangan digunakan.
Tetapi sekiranya membantu, alhamdulillah. Semoga penulisan kita membawa kepada perubahan minda dan memberi sesuatu yang berguna untuk pembaca, termasuklah diri kita sendiri sebab kita juga adalah pembaca.
(Nota: Plot sangat-sangat penting bagi seorang penulis baru.)
YOU ARE READING
Santai (Completed)
General FictionCuba lari dari tinta dan pena. Duduk dalam dunia realiti dengan secawan kopi hitam. Pilihan? Dengan gula atau tanpa gula, ikut suka. Start: 26 Feb 2018 End: -