Assalammualaikum dan Salam Secangkir Kopi,
Lama tak belanja kopi. Berkejar dengan masa yang memang tak ada penghujungnya.
"Amateurs borrow, professionals steals"
Tertarik saya membaca kata-kata hikmah daripada T.S Eliot. Saya cuba kaitkan dengan dunia penulisan. Ada masa-masa tertentu kita menghadapi kesukaran untuk membina ayat. Dan ini juga adalah salah satu symptom 'writer's block'. Idea ada, jalan cerita pun kita tahu tetapi tidak mampu untuk kita zahirkan mengikut situasi dalam novel kita sendiri.
Saya juga mengalami masalah yang sama. Dan bila ini berlaku, kata-kata hikmah T.S Eliot di atas, saya gunakan. Saya mencuri! Saya tutup dulu bahagian amatur tu, saya fokus kepada profesional. Ya! Seorang penulis professional itu mencuri! Saya bukan penulis profesional, tetapi saya ingin menuju ke arah itu. Jadi apa salahlah kalau kita berpura-pura menjadi seperti mereka. Tak salah kan nak berangan ...
Kita nak jadi seperti mereka, jadi kita kena buat apa yang mereka buat. Dan 'mencuri' di atas BUKAN bermaksud pencurian karya atau pencurian ayat, frasa secara total. 'Mencuri' yang dimaksudkan di atas adalah BELAJAR.
Ya. Setiap orang yang bergelar profesional belajar dari orang profesional yang lain.
Macam mana tu?
Kalau dalam bidang penulisan, kita belajar dari penulisan mereka. Bukan cedok dan ambil idea, ayat mereka masuk ke dalam karya kita lantas mengaku ianya milik kita. Bukan! (*dua kali saya tekankan di sini).
Bila kita belajar, bermaksud kita membaca hasil karya mereka. Hayati apa yang mereka ingin sampaikan. Rasa dalam hati kita. Adakah apa yang mereka ingin sampaikan itu sudah mula meresap masuk ke dalam hati kita? Jiwa kita?
Jika YA, tanya pula minda kita. Bagaimana penulis ini buat?
Dan untuk mendapatkan jawapannya, sila baca sekali lagi hasil karya mereka. Baca para yang telah menyentuh hati kita tadi. Tetapi kali ini baca dengan minda yang kritis. Cuba analisa penstrukturan ayat si penulis. Pemilihan kata dan perletakan pada situasi yang sedang berlaku.
Dan tanya pada diri kita. Jika kitalah yang menulis ayat tersebut, bagaimanakah bunyinya? Subjek di hadapan predikat di belakang atau sebaliknya.
Dan apa pula pilihan kita untuk ayat yang sama? Latih minda kita untuk membina ayat yang mempunyai maksud yang sama tetapi struktur dan pilihan katanya berbeza.
Bandingkan.
Dalam penulisan, penyampaian mesej boleh dilakukan dengan pembinaan ayat yang pelbagai. Tetapi ...
Tetapi akan memberi kesan yang sangat berbeza-beza. Saya sendiri kadang-kala mengambil masa dua tiga hari untuk memilih ayat yang saya bina. Mungkin ada orang yang boleh membina ayat dengan begitu mudah. Alhamdulillah rezeki dia yang dikurniakan kelebihan. Tetapi saya melalui jalan sukar. Saya perlukan pelbagai kaedah untuk menzahirkan ayat yang saya inginkan. Dan bila kita rasa susah, kita akan cari jalan. Dan...
Saya selalu bertanya pada diri sendiri, apa yang ingin saya sampaikan sebenarnya? Dan apa kesan yang ingin saya beri kepada pembaca? Apa pilihan ayat yang saya ada?
Saya senaraikan semua ayat, berbeza (struktur dan pilihan kata) tetapi mempunyai pokok persoalan yang sama.
Kemudian saya cuba masukkan satu-satu ayat yang ada itu ke dalam situasi. Dan saya ulang baca.
Dan saya bertanya pada diri saya semula, "Apa kau rasa?"
Jika tiada rasa, saya ulang semula proses yang sama dengan memilih ayat lain sehinggalah saya boleh rasa kesan daripada ayat tersebut.
Susah?
Memang susah. Tapi kalau tiba waktu malas, saya pilih je dahulu mana-mana ayat. Kemudian baru saya tukar. Yang penting, idea untuk situasi tersebut sudah pun terletak pada tempatnya.
Menulis memerlukan latihan. Don Hutson, pemain Baseball untuk pasukan TimMcCarver juga membuat latihan.
"For every catch I make in a game, I've made a thousand catches in practice."
Saya hanya kongsikan apa yang saya alami dan bagaimana saya mengatasinya. Perkongsian ini bukan bermaksud saya bagus. Tidak! Saya tidak bagus langsung. Penulisan saya masih lagi dalam bertatih.
Saya sedang belajar untuk menghasilkan penulisan yang baik. Dan dalam proses pemantapan inilah saya jumpa pelbagai teori dan kaedah yang kemudian saya putuskan untuk kongsikan di sini.
Sekali lagi saya ingatkan, saya masih bertatih dalam bidang penulisan. Bertatih.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat saya yang masih bertatih dan juga buat anda teman-teman penulis di Wattpad. Dan saya mengharapkan teguran dan juga perkongsian pengalaman dari anda juga sebab ...
Saya masih lagi belajar untuk menulis.
Tegur jika salah. Kongsi jika tidak lelah.
Kopi pahit itu sedap dan nikmat bila dicicip dengan hati yang bersyukur.
YOU ARE READING
Santai (Completed)
General FictionCuba lari dari tinta dan pena. Duduk dalam dunia realiti dengan secawan kopi hitam. Pilihan? Dengan gula atau tanpa gula, ikut suka. Start: 26 Feb 2018 End: -