37- Kisah penulisan

45 6 0
                                    

Assalammualaikum, salam ukhuwah.

Catatan ini hanyalah sebuah catatan pengalaman sepanjang saya terlibat dalam dunia penulisan. Ya, saya penulis baru. Baru dua tahun menulis manuskrip novel dan baru ada satu buku.

Alhamdulillah. Kelihatannya perjalanan penulisan saya mudah. Baru setahun menulis, sudah ada lebih daripada lima manuskrip novel yang siap dan satu sudah terbit. Masuk tahun kedua sudah tersiar pula cerpen di dada akhbar arus perdana.

Nampak mudah.

Tetapi perjalanan yang saya lalui tidak seperti yang anda lihat. Duri-duri yang mencucuk kaki, yang menemani sepanjang perjalanan tidak pernah saya dedahkan.

Demi Allah, ini satu pengakuan. Saya pernah menangis kerana kepenatan dalam menghasilkan beberapa karya. Penghasilan karya bukan mudah. Sebelum menulis, kita perlu membaca. Bukan membaca kerana terpaksa, tetapi kerana ilmu.

Seorang penulis yang tidak membaca akan menghasilkan karya kosong, tidak bermakna. Dan, pilihan bacaan juga amat penting. Menulis novel, tidak semestinya kita hanya membaca novel untuk belajar cara penulisan novel yang sedia ada, tetapi juga perlu baca bahan-bahan ilmiah.

Bacalah Al-Quran. Di dalamnya ada panduan untuk hati.

Bacalah suratkhabar. Di dalamnya ada cerita-cerita kehidupan.

Bacalah hasil penulisan penulis agung. Di dalamnya penuh dengan bahasa yang tidak kita temui dari mana-mana kelas atau bengkel penulisan.

Bacalah juga kata-kata motivasi dari mana-mana ahli falsafah kerana itu ubat penenang dan pembakar semangat seorang penulis. Penulis perlukan kata-kata motivasi setiap hari kerana dunia penulisan amat melelahkan.

Berbalik kepada lelah saya sendiri, dan penat yang saya rasai, ini kisahnya. Saya memang tidak bekerja, tetapi komitmen terhadap keluarga menjadi agenda utama. Kerja rumah memang tidak pernah habis, dari matahari menjengah sehinggalah bulan mengambil alih.

Tetapi, dalam sibuk, hati ingin menulis. Ingin membaca. Ingin belajar menulis. Ingin berbicara di alam maya dengan penulis lain demi ilmu. Tetapi masa itu terlalu laju. Perancangan saya selalu terkesamping.

Saya belajar menulis cerpen secara online. Terkejar dengan deadline yang diberi guru. Terkejar dengan pencarian maklumat penulisan. Guru tidak mahu yang biasa-biasa, jadi saya perlu melayari internet mencari seribu makna hanya untuk satu tajuk yang berbisa.

Cerita saya ditolak, dikritik. Saya lelah. Tetapi, saya sukakan cabaran. Setiap saat pada waktu itu sangat berharga hinggakan sewaktu saya berjalan dari pejabat pos (membuat penghantaran novel 'Cantik', novel pertama saya kepada pembeli), saya sempat menelusuri beberapa makna kata di beberapa laman web bahasa menggunakan telefon pintar.

Memang gila. Saya hampir melanggar tiang demi mencuri masa, bermain telefon sambil berjalan. Dan, di rumah, sambil mendodoi bayi (saya bekerja sebagai seorang babysitter. Ambil upah jaga anak orang), saya membaca. Membaca keratan-keratan cerpen yang saya kumpulkan daripada suratkhabar setiap minggu.

Saya tampal dalam sebuah buku untuk saya rujuk bahasa, mood penceritaan dan topik pilihan si penulis. Saya buat kajian. Saya buat penelitian. Jadi penulis memang banyak kerja. Lelah, bukan?

Adakala, sewaktu atas motor (saya juga ambil upah ambil-hantar budak sekolah), bila idea menjengah, saya beristighfar. Saya kata pada diri. Tugas ini satu amanah. Penulisan itu satu sasaran peribadi untuk penyebaran ilmu kepada ummah. Fokus pada amanah, in-sha-Allah, Allah akan simpan idea itu untuk kau di rumah.

Saya hampir menangis. Takut jika idea itu hilang. Tetapi, amanah menghantar anak sendiri dan anak orang itu perlu saya pegang. Dan, saya percaya pada janji Allah. Selesai tugas, saya capai buku catatan. Tidak sempat untuk ON laptop, lebih cepat menulis tangan, saya conteng-conteng apa yang terfikir tadi. Selesai menconteng di buku catatan, saya tutup.

Saya ke dapur pula menyediakan makanan untuk keluarga. Menguruskan kain baju juga. Ya, Allah. Lelah. Terkejar sini dan sana.

Penulisan mengajar saya bersabar. Percaya jika kita dahulukan apa yang diamanahkan Allah, kita akan dapat sesuatu yang lain. Dan, seorang penulis perlu berusaha tanpa henti walau dah rasa macam nak mati menggali ilmu dan mencurah ilmu.

Penulisan itu jihad. Selagi ilmu yang kau cari, yang kau sulam menjadi kata-kata hikmah, memberi motivasi kepada ummah, selagi itu lelahmu tidak sia-sia. Tangisanmu akan jadi permata berharga. Permata yang menyinari manusia lain yang dahaga untuk membaca.

Wahai hati. Tolong kuat untuk terus berjihad. Tolong sabar dalam menggali ilmu sebelum menebar ilmu. Bila sesat di hujung jalan, pulanglah ke pangkal. Cari niat bila kau hilang arah. Dan, cari DIA yang memiliki segala, bila kau tidak jumpa apa, hanya kosong memenuhi jiwa.

Penulisan itu jihad yang mengingatkan. Jangan jadikan ia omongan kosong, selesai baca dilupakan isinya. Tulis sesuatu untuk sesuatu.

Dan, tulisan ini juga adalah 'sesuatu' yang dicoret untuk mengingatkan diri yang terbelenggu dengan perasaan yang tidak berapa jitu.

Wallahualam.

Santai (Completed)Where stories live. Discover now