SUDAH lama entri ini tidak terisi. Selalunya terisi bila saya tiba di titik buta. Ada isu yang memenuhi ruang fikir. Entri kali ini saya ingin meluah rasa lelah bila berada di langit terbuka.
Apa itu langit terbuka?
Langit terbuka adalah istilah yang digunakan oleh pengkarya sastera (saya tak ingat siapa) yang merujuk kepada media sosial atau dikenali secara ringkasnya sebagai medsos atau socmed.
Mengapa lelah di langit terbuka?
Jadi penulis bukan hanya menulis. Pusat fikir bukan hanya pada apa yang ingin ditulis, tetapi juga termasuk aktiviti mengkaji, malah mempromosikan hasil tulisan.
Kita kaji hasil tulisan yang sedia ada di langit-langit terbuka sebelum kita hantar karya kita ke sana. Lihat corak penulisan yang sudah tersiar dan bandingkan dengan corak tulisan kita. Di mana jurangnya?
Berani untuk hantar dan menerima kritikan?
Untuk berada di pentas penulisan, di laman yang langitnya terbuka, yang khalayak pembaca dari pelbagai latar pengalaman dan pendidikan, yang bukan pembaca biasa, tetapi pembaca dan penulis berpengalaman, memang saya tidak punya keberanian.
Lelah untuk memanjat tangga menuju ke langit terbuka.
Saya terpaksa mengorbankan banyak masa termasuk masa menyiapkan manuskrip, demi mengkaji setiap portal, akhbar dan majalah.
Kajian yang bagaimana? Baca setiap karya yang sudah tersiar. Buat perbandingan di antara karya itu dengan yang nak dihantar.
Hendak hantar kepada media-media ini bukan sekadar hantar buta-buta sahaja, tetapi perlukan kajian dan keberanian.
Keberanian pula hanya muncul bila kita sudah yakin yang karya kita memenuhi kriteria dan sama taraf dengan karya yang sudah tersiar.
Lelah bertambah.
Bila karya sudah siap, seorang penulis perlu mengarang surat rasmi dan akuan keaslian karya. Bukan terus email, hantar buta-buta. Perlu tahu pula surat rasmi ini 'bunyi' ayatnya bagaimana? Semak balik apa yang pernah kita belajar di sekolah dulu.
Lelah lagi bila karya (novel) bakal terbit.
Manuskrip yang sudah lulus bukan terus dicetak, tetapi masih perlu disemak. Walaupun pihak penerbit kadang-kala tidak menyuruh, tetapi atas rasa tanggungjawab, dan tidak mahu dimalukan bila sudah dicetak, luangkan masa membaca semula karya sendiri.
Tanda baca, titik elipsis, pembuka penutup kata, monolog, dialog, sinkof, peratusan penggunaan bahasa Inggeris yang minima dan macam-macam lagi yang perlu diperhatikan, dibetulkan.
Rasa mual, nak muntah pasti bertandang. Urat merah melingkari mata putih. Penat, letih usah dicerita. Bukan satu-dua jam mengadap komputer riba, membaca lebih 100k perkataan!
Hampir satu hari demi mengejar deadline yang diberi.
Ketakutan bukan sahaja pada karya tetapi juga pada pandangan penerbit terhadap komitmen kita. Risau jika penerbit bosan bila kita ambil ringan terhadap karya yang sudah lulus.
Apa yang diminta penerbit saat-saat karya nak terbit memang menjadi keutamaan.
Saya tak tahu bagaimana atau apa yang penulis lain rasa, tetapi itu yang terjadi pada saya. Saya memang cerewet. Saya memang nak segala-galanya perfect. Tetapi lelahnya, ya Allah ...
Saya belajar dari kebodohan.
Saya belajar dari kepayahan.
Saya belajar mendaki (bukan menggunakan lif).Tiada jalan pintas. Jika serius dalam bidang ini. Belajar dan belajar. Kaji dan kaji. Cari kawan yang benar-benar serius untuk sama-sama mendaki. Yang bersedia bertukar-tukar maklumat.
Peranan kawan di langit terbuka sangat penting. Rangkaian dan jalinan hubungan di langit terbuka akan mendedahkan kita kepada banyak perkara. Hanya perlu cari dan pelajari. Tiada kejayaan tanpa usaha. Tiada tawa tanpa air mata.
Ok. Done meluah rasa.
Peace yo!
YOU ARE READING
Santai (Completed)
Ficción GeneralCuba lari dari tinta dan pena. Duduk dalam dunia realiti dengan secawan kopi hitam. Pilihan? Dengan gula atau tanpa gula, ikut suka. Start: 26 Feb 2018 End: -