38 - Risiko 'E'

76 12 0
                                    

Assalammualaikum w.b.t dan salam sejahtera rakan-rakan Wattpad,

LAMA rasanya tidak melabuhkan pena di buku 'Santai'. Musim jerebu yang lalu, mendedahkan kita dengan risiko kesihatan. Ah, risiko. Ada sahaja di mana-mana. Tanpa jerebu yang bertandang, risiko itu tetap ada, melekat pada kita.

Saya ingin membawa anda merenung sejenak risiko di dunia penulisan dan pembacaan moden, yang mana karya sudah tidak ditulis, dan dibaca di helaian tinta. Semuanya di mula-tulis, mula-tatap dari telefon pintar dan gajet hebat ciptaan manusia. Dan, semua yang bermula dengan 'e' ini atau nama panjangnya 'elektronik', lahirnya memberi impak kepada dunia seanteronya.

Dunia penulisan, penerbitan dan percetakan. Ya, pasti! Malah yang bernama risiko itu jatuhnya, menghentak lebih kepada dunia percetakan. Suatu hari, mungkin suatu hari akan tiada lagi cetakan bahan-bahan penulisan.

Seorang penulis dan pembaca (penulis itu juga seorang pembaca), pasti menghargai sepasang mata yang melekap pada wajahnya. Deria yang begitu berharga ini, jika menatap lama di hadapan skrin, sama ada membaca atau menanti kemunculan idea yang kadang-kala sombong untuk menyuakan muka, akan menerima sejumlah kemasukan cahaya yang memungkinkan buta.

Saya tidak pasti dengan kalian, tetapi saya sendiri sentiasa tidak mampu untuk mengadap komputer riba berjam-jam menantikan idea datang. Mata saya alah cahaya walaupun saya sudah mengambil langkah menggunakan cermin mata.

Apatah lagi, baru-baru ini, saya terbaca tentang risiko kehilangan penglihatan di dalam sebuah akhbar akibat menatap gajet terlalu lama. Sungguh, ia menghadirkan ketakutan. Saya kata pada diri sendiri bahawa saya sayangkan mata saya. Sangat takut untuk berhadapan dengan penarikan semula nikmat penglihatan yang Tuhan kurniakan.

Sebagai penulis, risiko begini perlu dicari jalan keluar. Tidak perlu berhenti menulis, tetapi hanya perlu menetapkan masa mengadap komputer. Dua jam adalah masa maksima. Dua jam itulah untuk menaip dan membaca di komputer riba atau telefon pintar.

Selebihnya perlu guna cara lama. Ambil pen, ambil kertas dan catat. Kalau hendak membaca, ambil buku fizikal dan hadap.

Lihatlah rakan-rakan, teknologi masih tidak mampu menguasai sepenuhnya. Manusia masih memerlukan cara lama untuk menulis idea dan mencari ilmu melalui bahan-bahan bacaan fizikal.

Buatlah pilihan yang bijak. Rancang data penulisan di atas kertas. Bila sudah tersedia semua, barulah buka komputer atau telefon pintar. Sayangi mata dan sayangi bakat yang anda ada dalam berkongsi cerita. Kita manusia, di tubuh punya pancaindera yang hanya pinjaman semata. Jika leka, dan tidak pandai menjaga, akan hilang semuanya.

Santai (Completed)Where stories live. Discover now