Assalamualaikum rakan-rakan.
Bila menulis, tentu kita berasaskan sesuatu, bukan? Sama ada isu atau apa yang menyesak di fikiran. Mungkin juga niat - sekadar ingin bercerita atau menghiburkan.
Dan, di dalam penulisan akan dimuatkan sedikit sebanyak maklumat. Maklumat yang perlu diberi perhatian sebelum diselitkan di dalam perkongsian.
Maklumat yang diyakini tentulah daripada sumber primer.
Sekunder, masih boleh diambil kira jika sumber sekunder itu dikenali, dipercayai, malah mendapat sokongan daripada sumber lain.
Apakah itu sumber primer?
Sumber primer adalah sumber yang maklumatnya kita dapat terus daripada 'lokasi', 'individu' yang terlibat/yang mengalami.
Sumber sekunder pula adalah daripada penceritaan semula yang diambil daripada sumber primer.
Semalam, saya membaca sebuah buku kumpulan cerpen. Di dalamnya, (di dalam salah sebuah cerpen), termuat maklumat tentang bahan-bahan semulajadi yang digunakan oleh gadis-gadis Melayu zaman dahulu, dalam memelihara kecantikan tubuh dan wajah.
Ia adalah satu maklumat.
Dan, penulis cerpen, Faisal Tehrani telah mendapatkannya melalui bahan bacaan lain iaitu melalui kitab at-Tasreef karya ilmuan bernama al-Zahrawi atau dalam bahasa Latin dikenali sebagai Albucassis, hidup di Cordoba, Andalusia.
Di sini kita boleh nampak lapisan sumber.
Primer - al-Zahrawi @ Albucassis
Sekunder - Faisal TehraniSaya, yang kini sedang berkongsi maklumat kepada anda sudah boleh dianggap sebagai sumber tertier (yang ketiga).
Dalam kita menulis, rujukan sumber jika tidak kuat, tidak dikenali adalah amat bahaya. Lebih-lebih lagi jika kita sekadar 'copy-paste' daripada media sosial yang nama 'pengguna pun berbunyi palsu.
Saya nasihatkan diri saya sendiri supaya sentiasa berhati-hati dalam memilih sumber terutamanya yang melibatkan hadis.
Penulisan kita mungkin dijadikan rujukan oleh yang membaca dan dianggap kita, penulis sudah membuat kajian terhadap kesahihan bahan, walaupun penulisan kita nyata penulisan fiksyen.
Sebab itu, ada penulis yang memilih untuk menulis genre fantasi yang jelas tidak wujud.
Apa pun, kita cuba. Kita usaha. Tegur sesama kita. Cari teman dalam dunia penulisan untuk bersama menutup kepincangan dan lubang kekurangan.
Tegur saya, jika nampak silap di mana-mana sebelum penulisan itu diterbitkan dalam bentuk cetakan.
Penulis, manusia biasa yang punya khilaf. Lebih-lebih lagi penulis baru seperti saya yang baru nak kenal wangi bunga dan tajam duri di dunia penulisan.
Terima kasih kerana membaca bebelan ini. Semoga hari-hari kita dipenuhi dengan aura positif.
.
.
YOU ARE READING
Santai (Completed)
General FictionCuba lari dari tinta dan pena. Duduk dalam dunia realiti dengan secawan kopi hitam. Pilihan? Dengan gula atau tanpa gula, ikut suka. Start: 26 Feb 2018 End: -