Assalammualaikum w.b.t dan selamat malam rakan-rakan.
Penulisan saya banyak menggunakan teknik penulisan kewartawan yang saya belajar di universiti dahulu. Selain daripada konsep 5W1HQ yang rata-rata digunapakai oleh kebanyakan orang dalam menyelesaikan apa jua simpulan fikiran, tidak terhad dalam bidang penulisan, saya juga ada menggunakan teknik lain yang diambil daripada pelajaran kewartawanan.
Proximity - kedekatan.
Ia adalah salah satu ciri daripada tujuh ciri yang perlu menjadi pertimbangan seorang wartawan dalam memilih berita yang ingin ditulis; atau pertimbangan seorang editor untuk menyiar-terbitkan berita tersebut agar ia menarik pembaca untuk membeli dan membaca suratkhabar atau menonton siaran berita.
Dalam memilih apa yang ingin ditulis, sebagai penulis kita tentu akan fikirkan juga secara tidak langsung, apa yang ingin dibaca oleh pembaca. Saya masih percaya bahawa pilihan bahan bacaan seseorang itu juga pasti ada yang menyangkut pada dirinya sendiri, yang dekat dengannya (proximity). Paling tidak, apa yang diingini untuk dirinya sendiri tetapi tidak tercapai; hanya mampu diangan-angankan; dikhayal-khayalkan.
Contohnya, jika seorang remaja yang ingin sekali memiliki pasangan yang romantis, yang sweet, yang dapat menerima dirinya dalam apa jua keadaan, tetapi di alam nyata amat sukar sekali berjumpa dengan orang yang sedemikian, yang jika jumpa pun, bukan yang memilih dia.
Oleh yang demikian, hanya dengan membaca cerita-cerita yang menzahirkan keinginannya itu, dia akan beroleh bahagia, maka, bila terjumpa cerita-cerita sedemikian, dengan watak yang diidam-idamkan; sama pula dengan yang dibayang-bayangkan, (proximity), dia akan membacanya berulang-ulang. Malah, sudah pasti penulis itu akan jadi penulis ikutan olehnya, yang mana, setiap cerita baru si penulis akan diberi perhatian.
Kerana itu juga, novel-novel yang bersifat ringan, yang menghayun perasaan, banyak dibeli orang.
Siapa sahaja yang tidak suka bila memiliki perasaan tenang, senang, yang manis-manis itu berdendang di jiwa dan fikiran, berbanding memikirkan permasalahan?
Di dalam kehidupan sebenar sahaja sudah berdepan dengan banyak masalah dan kesukaran, mengapa perlu diserah jiwa untuk dihentam sakit di dalam cerita yang dibaca pula?
Itu, satu contoh proximity.
Tetapi, masih tidak dinafikan bahawa masih ada juga yang sanggup masuk dan berada di dunia novel yang mempersembahkan cerita-cerita realisme kehidupan.
Bukan kerana hati mereka menolak kebahagiaan, mencari penderitaan, tentu sekali tidak. Mereka memilih untuk membaca cerita-cerita realisme kerana memang itu yang mereka hadapi di dunia sebenar, dekat dengan mereka (proximity), dan mereka berharap agar di dalam cerita itu turut menghidangkan jalan penyelesaian terhadap konflik yang wujud.
Kepercayaan mereka bukan buta. Memang sepatutnya, di dalam setiap cerita yang digerakkan dengan konflik, akan ditemui juga peleraian konflik. Cuma, sabar tidak sabar sahajalah seseorang pembaca itu perlu, kerana di dalam cerita realisme, peleraiannya bukan satu, atau bukan dipaparkan di akhir cerita, tetapi peleraian perlu dilihat dari cara watak mengenderai konflik yang adakalanya tidak terlerai.
Cara itu yang akan mengajar pembaca dalam memacu hidupnya sendiri bila berhadapan dengan konflik yang sama. Maka, mereka ini akan memilih cerita sebegini pula.
Proximity itu wujud, untuk contoh yang kedua juga.
Dan, saya percaya, banyak lagi contoh yang mengaitkan proximity untuk membuatkan satu-satu cerita itu dipilih. Mungkin, bahasa, budaya dan ya, apa saja.
Baiklah, itu sahaja perkongsian saya. Selamat menulis dan memilih cerita yang bakal ditulis.
![](https://img.wattpad.com/cover/137257034-288-k198241.jpg)
YOU ARE READING
Santai (Completed)
Ficción GeneralCuba lari dari tinta dan pena. Duduk dalam dunia realiti dengan secawan kopi hitam. Pilihan? Dengan gula atau tanpa gula, ikut suka. Start: 26 Feb 2018 End: -