Assalammualaikum w.b.t dan salam sejahtera,
DEADLINE. Apakah itu 'deadline'? 'Deadline' adalah tempoh tamat yang ditetapkan untuk satu-satu tugasan itu selesai. Saya mula mengenal perkataan 'deadline' dan mula juga terikat dengannya sewaktu zaman belajar.
Saya tidak pasti sejauh mana anda mengenali diri saya. Semasa zaman belajar, saya mengambil jurusan Mass Communication, majoring in Journalisme. Bila dikatakan journalisme, atau kewartawanan, memang 'deadline' itu sinonim sangat.
Dunia kewartawanan memang terikat dengan 'deadline'. Gagal mematuhi memang akan 'mati'. Kerjaya lain juga banyak yang terikat dengan 'deadline', tetapi tidak segila 'deadline' bagi seorang wartawan. Memang akan 'mati' bila gagal menyiapkan tugasan dalam tempoh yang diberi.
Mungkin kerana itu jugalah perkataan 'dead' atau mati itu ada pada 'deadline'. Tugas seorang wartawan, sebagaimana yang kita tahu mencari berita dan menulis, melapor kepada umum di media arus perdana. Istilah berita basi memang menjadi ancaman kepada dunia wartawan.
Mereka perlu bergegas pada waktu tersebut dan melaporkannya pada setiap hari. Berita hari ini, mesti dilaporkan pada hari ini juga. Taip dengan cepat dan submit pada editor. Editor pun perlu cepat untuk semak dan serah pada penerbit. Jika untuk siaran tv, broadcast pun perlu bersedia dengan bahan tepat pada masa siaran secara langsung.
Jika untuk siaran akhbar, perlu cepat ditaip untuk dihantar pada editor, ketua editor, pada bahagian grafik, pada bahagian cetak dan banyak lagi. Bukan esok, atau lusa. Kerana, peristiwa akan berlaku setiap hari. Dan, peristiwa itu jika sudah dianjak waktu, sudah tidak perlu dilaporkan lagi. Ia menjadi berita basi.
Walaupun saya belajar di dalam bidang kewartawanan, tetapi rezeki saya tidak di dalam bidang ini. Saya tercampak ke bidang pengurusan manusia, sebelum saya terjun ke dalam bidang penulisan. Ya. Penulisan. Kembali kepada bidang membina aksara. Tidak kurang lebih dengan bidang kewartawanan.
Dan, jangan tidak percaya bahawa saya sekali lagi terikat dengan 'deadline'. Penulis juga dikejar oleh 'deadline'. Jika gagal mematuhi, peluang kita akan dicuri. Bagaimana? Saya kongsikan pengalaman saya sepanjang saya terlibat dengan bidang penulisan novel. (Walaupun pengalaman ini terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan penulis lain. Ya, tetapi saya suka hendak kongsikan sebagai panduan kepada yang menginginkan panduan. Kepada yang tidak mahu, tidak perlu baca.)
Saya tidak terikat dengan mana-mana rumah penerbitan. Saya bebas. Tetapi, bila karya pertama sudah mendapat sambutan, yang mana rumah penerbitan ini melihat penulisan saya boleh dijual, maka mereka mula meletak kepercayaan dan membuka ruang yang lebih luas.
Selepas novel 'Cantik', saya muncul dengan novel kedua, berjudul 'Dia Bukan Mahsuri.' (Sepatutnya sudah dijual pada tahun ini, bermula Mac 2020, tetapi kemunculan wabak Covid-19, membuatkan percetakannya tertangguh.) Maka, tiada karya fizikal yang mampu dijual. Pilihan, adalah karya bacaan elektronik, e-book.
Pihak penerbit menghubungi saya (juga penulis-penulis lain yang pernah menyumbang karya di bawah payung penerbitan yang sama), untuk kami, menghasilkan / menulis sebuah mini novel. Kami hanya diberikan masa selama seminggu untuk menghasilkan mini novel ini, kerana ia akan dijual sementara PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sedang berlangsung. Juga, sementara menantikan novel fizikal yang tertangguh cetakannya, untuk dicetak dan dijual.
Saya menerima tugasan ini pada hari Isnin, jam satu pagi melalui whatsapp. Ya, terkejut, teruja dan takut juga. Takut jika tidak mampu untuk siapkan. Manalah saya hendak korek idea, bina jalan cerita dalam tempoh yang singkat? Otak mula memikir 'deadline'. Mula juga mencanai cerita, plot, dan bahasa.
Hari Jumaat, umat Islam akan mula berpuasa. Saya perlu kejar masa. Perlu letak 'deadline' sendiri juga. Saya kata pada diri saya yang saya perlu siapkan sebelum Ramadhan. Bulan Ramadhan, saya ingin mengejar 'sesuatu' yang lain pula. Fokus saya tidak boleh bercabang. Ia akan hilang kualitinya. Jadi, masa yang ada hanya tiga hari. Selasa, Rabu dan Khamis.
Mini novel, dalam 20 hingga ke 50 puluh muka surat. Lebih kurang tujuh ke sepuluh ribu patah perkataan. Dalam tempoh tiga hari (deadline yang saya sendiri tetapkan). Tiga hari yang nampak macam ada 60 jam. Tetapi, selepas ditolak dengan urusan harian rumah, ia hanya ada beberapa jam sahaja.
Maka, untuk mengejar 'deadline', perlu ada pengorbanan. Saya korbankan masa tidur saya. Siang, saya mencuri masa dalam kesibukan harian, untuk melakar idea. Conteng sana, conteng sini. Bermula jam satu pagi, saya menaip. Saya ambil lebih kurang tiga jam setengah untuk menaip sebanyak yang boleh.
Tiba hari Khamis, pagi, saya berjaya siapkan mini novel 10 ribu patah perkataan. Selepas Zohor dan Asar, saya melakukan proses baca semula dan penyuntingan. Selepas Maghrib, saya e-mel. Tergesa-gesa sebab malam itu sudah mula terawih.
Lelah? Ya. Sangat melelahkan. Tiga malam yang tidur saya terkorban. Saya hanya tidur satu ke dua jam. Marah pada pihak penerbit? Tidak. Malahan, bersyukur sebab mereka nampak saya. Mereka buka ruang untuk saya. Boleh jika saya hendak menolak, bagi alasan yang masa itu terlalu singkat. Atau, masa saya sendiri yang teramat singkat dengan pelbagai komitmen.
Tetapi, saya ingatkan diri sendiri bahawa, meraih kepercayaan seseorang itu sukar. Jika sudah diraih, jangan dilepas tanpa kewarasan. Itu semua peluang. Capai atau buang. Dan, bila dibuang, belum tentu akan kembali semula. Malah, peluang itu akan diraih pula oleh orang lain yang sentiasa menanti.
'Deadline'.
Belajar untuk menetapkannya buat diri sendiri ketika menulis sebelum 'deadline' itu ditetapkan oleh pihak lain. Belajar untuk rasa sakit lebih awal, sebelum kesakitan sebenar mengejar. Belajar untuk mencuri dan berkorban masa demi menyiapkan sebuah manuskrip. Dan, jangan mudah berpuas hati jika sudah ada satu manuskrip yang lengkap. Tulis dan tulis kerana pihak penerbit akan terus meminta dari masa ke semasa.
Mereka tidak memaksa, tetapi kita sendiri perlu rebut peluang yang terbuka. Jika tidak, peluang itu akan diberi kepada orang lain yang sentiasa menanti. Istiqamah dalam menulis. Jangan berhenti terlalu lama.
Dan, satu lagi yang ingin saya kongsikan adalah sentiasa bersedia dengan kejutan. Bidang penulisan terlalu banyak kejutan.
Jika kita hendak masuk ke dalam hutan, biasanya kita akan recce trek / jalan, betul? Begitu juga dengan bidang penulisan. Recce laluan dalam dunia penulisan. Cari coretan pengalaman penulis yang sedia ada. Lihat langkah-langkah mereka. Lihat coretan pengalaman mereka.
Mereka tidak berada di atas begitu sahaja. Mereka sudah melalui luka kaki terpijak duri, sudah juga sesat dan dikhianati. Cuma, mereka tidak kongsikan sahaja. Tanyalah pada RAM (Ramlee Awang Mursyid). Tanya juga pada HA (Hilal Asyraf). Tanya juga pada Serunai Faqir yang kini namanya sudah ditukar kepada Mitch. (Ada kisahnya dengan pertukaran nama pena. Lain kali saya cerita.) Dan, semua penulis yang namanya sudah gah di persada penulisan. Semua mereka ini sudah melalui pelbagai kisah duka sebelum menempa nama.
Itu sahaja coretan saya pada kali ini. Next, in-shaa-Allah saya akan kongsikan tentang hala tuju karya. Oh ya! Sebelum 'deadline' mini novel, saya sebenarnya sudah dikejar dengan 'deadline' penyiapan proposal adaptasi novel kepada drama.
Macam orang gila saya siapkan. Tidak mudah untuk menulis proposal ini. Tiada guideline khusus. Hanya senarai tajuk-tajuk kecil sahaja yang diberi, untuk disiapkan isi kandungannya. Format dan segala yang lain, memang tiada. Di enjin carian Google juga, sangat terhad panduan yang saya jumpa.
Sama juga, 'deadline' untuk proposal ini sangat singkat. Hanya tiga hari diberi. Tetapi, saya tetapkan untuk diri sendiri dua hari. Alhamdulillah, saya sempat siapkan kurang daripada 48 jam. Nanti saya kongsikan apa yang perlu ada di dalam proposal adaptasi novel kepada drama. Eh, ada ke yang berminat untuk tahu corak penulisan proposal ini?
YOU ARE READING
Santai (Completed)
General FictionCuba lari dari tinta dan pena. Duduk dalam dunia realiti dengan secawan kopi hitam. Pilihan? Dengan gula atau tanpa gula, ikut suka. Start: 26 Feb 2018 End: -