Assalammualaikum sahabat penulis dan pembaca.
Semoga kalian sihat dan tenang di waktu bencana melanda. Tentu ada hikmah di sebalik apa yang Allah turunkan pada kita.
Sudah lama saya tidak mengemaskini buku 'Santai'. Sebenarnya segan bila ramai yang menjadikan buku ini sebagai rujukan. Sedangkan ia hanyalah coretan daripada seorang penulis yang baru hendak bertatih dan masih lagi memerlukan bimbingan.
Tajuk kali ini saya pilih berdasarkan apa yang saya alami sendiri.
Apa sebenarnya yang diperlukan oleh seorang penulis?
Jawapannya: S.A.B.AR
Ya, betul. Saya tidak main-main. Saya serius. Sepanjang saya menceburkan diri dalam bidang penulisan, memang perkataan itu yang membuatkan saya terus bertahan. Sebagai penulis, kita bukan sahaja menulis, tetapi kita juga perlu melakukan banyak perkara dengan masa yang memang sentiasa mencemburui kita.
Seperti yang kita tahu, seorang penulis itu perlu membaca.
Berapa banyak masa yang seorang manusia itu ada untuk menulis dan membaca? Tidak banyak sebenarnya, lebih-lebih lagi bila penulis itu hanyalah seorang penulis sampingan, yang terikat dengan tugas hakiki. Dia mungkin seorang pelajar, seorang yang berkerjaya atau seorang surirumah yang memegang banyak cabang kerja - isteri, ibu, anak dan wanita si penulis sambilan.
Masa dan idea memang satu ujian buat penulis sambilan. Ada masa, tiada idea. Ada idea, tiada masa. Mencoret idea itu, satu idea juga, tetapi bila ada masa untuk menulis dan memanjangkan idea itu juga bukan mudah. Mood atau feeling terhadap idea itu selalunya tidak sama sewaktu idea itu mula-mula tiba.
Sabar.
Ya, sabar itu sangat penting. Bila ada masa tetapi tiada idea, sabar. Taip sahaja buta-buta. Biarkan sahaja bahasa atau ayat kita itu berantakan sesama mereka. Selagi boleh menaip dan menggunakan masa yang ada itu, taip sepanjang-panjangnya. Kemudian simpan. Peram. Apalagi?
Sabar. Ya, sabar lagi. Jangan kita terus publish (saya maksudkan di Wattpad). Itu hanyalah idea yang ditaip buta-buta. Selepas tempoh eram, bila kita punya masa, baca semula. Memang di waktu membaca semula itulah kita akan jumpa idea baru atau jumpa kepincangan susun atur ayat kita. Jangan dibuang ayat yang tunggang-langgang itu. Tetapi, ambil dan simpan dalam helaian yang lain. Ayat sahaja yang tunggang-langgang, tapi ideanya masih ada di situ.
Bila nak siap jika taip, simpan sahaja?
Sabar.
Yang kita simpan itu belum elok untuk disiarkan. Kita perbaikkan dahulu dengan idea yang baru. Memang ambil masa untuk menulis sesuatu yang baik dan bermakna. Lambat, tapi indah itu lebih baik daripada hentam asal ada.
Menulis memang kena sabar. Menulis memang perlu perancangan. Menulis memang perlu dicari ilmu, dihadam dan diterjemah ikut bahasa yang kita faham. Masukkan ilmu dalam cerita mengikut rentak yang bersesuaian. Pastikan rentak tidak pincang. Jika masih tidak sesuai ritmanya, asingkan dahulu. Mungkin tidak sesuai dengan bab yang sedang ditulis, tetapi mungkin sesuai dengan bab yang akan datang.
Sabar.
Bila menulis, tapi tidak jumpa penamat? Jangan buang. Tolong peram. Allah tidak bagi idea begitu sahaja. Mungkin bukan masa ini. Mungkin tidak lama lagi. Berapa lama?
Sabar. Tulis dulu cerita lain jika ada idea baru. Tetapi, pada masa yang sama, jengah-jengahlah idea untuk cerita yang disimpan. Jangan dilupakan terus.
Idea untuk menamatkan cerita adakalanya muncul daripada komen pembaca juga. Rajin-rajinlah berkomunikasi dengan mereka. Pembaca kita sebenarnya sangat hebat. Mengapa saya kata begitu? Sebab mereka telah membaca banyak cerita. Mereka mampu membuat perbandingan cerita-cerita yang mereka baca. Ada yang mampu juga untuk meneka lanjutan kisah yang kita belum taip lagi. Dan, ada yang sudah menyebutkan ending cerita kita walaupun kita baru merangka cerita tersebut.
Kita sibuk menulis. Tetapi, mereka sibuk membaca. Orang yang membaca itu ilmunya lebih tinggi dan jangan sesekali kita merendahkan idea mereka. Jika punya masa, atau jika buntu untuk menulis, maka membacalah.
Bila cerita hendak siap jika sibuk membaca, sibuk membalas komen pembaca?
Ya, sabar. Ada ketika, kita perlu berundur setapak ke belakang untuk memulakan pecutan. Penulis yang tidak membaca, tidak ambil kira pandangan orang lain, hanya akan menghidangkan cerita klise. Tidak ada salahnya dengan cerita klise. Boleh sahaja tulis cerita klise satu atau dua cerita. Tetapi perlu juga satu dua yang berbeza. Anjakan paradigm itu memang mencuri masa. Tidak boleh terburu-buru. Kena banyak sabar dalam mencipta sesuatu yang berbeza.
Bila sudah siap satu-satu manuskrip itu, cubalah hantar ke rumah penerbitan. Pilih yang sudah ada nama. Jangan hantar sebarangan. Takut ditipu. Bila sudah hantar, tunggu dan bersabar sehingga karya kita selesai dinilai. Biasanya dalam tempoh enam bulan. Tetapi, mengikut pengalaman saya, hampir setahun baru ada keputusan.
Sabar. Setahun dua itu, berbaloi menunggu jika tertulis rezeki kita. Jika tiada pun, tidak mengapa sebab mungkin bukan sekarang, tetapi akan datang. Dan, yang akan datang itu mana tahu, berganda pula?
Dalam tempoh menunggu, jangan hanya bergantung kepada satu cerita itu sahaja. Tulis yang lain. Lupakan seketika cerita yang sudah sampai ke tangan penerbit. Kalau kita asyik menanti, kita yang akan kecewa. Fokus kepada cerita baru. Semakin banyak manuskrip kita yang siap, semakin kita boleh memilih dan mencuba.
Memang penantian itu satu penyeksaan.
Sabar.
Bila cukup enam bulan atau setahun, buat follow up. Jika disuruh sunting, tengok pada alasan. Jangan ambil mudah dengan setiap pandangan penerbit. Kita boleh berbincang dan bertanya secara lebih mendalam (tetapi, perlu jaga adab setiap kali menyuarakan soalan dan ketidakpuasan).
Mereka sudah bertapak lama di dalam industri ini. Malah mereka mempunyai networking sesama mereka. Buat onar dengan satu penerbit, tidak mustahil nama kita dijaja. Mereka tahu cerita mana yang boleh dijual, yang mana hanya akan terperosok di dalam stor tanpa ada pembeli.
Sebagus mana pun cerita kita, tetapi jika tiada yang sanggup mengeluarkan wang untuk membeli, idea dan ilmu di dalamnya tetap tidak akan sampai kepada pembaca.
Fikirkan jalan terbaik untuk menjual cerita kita. Atau, di zaman sekarang ini, mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan, fikir bagaimana untuk menjual nama kita sendiri. Bila nama sudah dikenali, jual apa pun orang akan beli.
Jangan berhenti menulis atau berhenti menghantar karya walaupun tiada perkembangan dan keputusan daripada mana-mana pihak. Tulis sahaja sebanyak mana yang kita mampu. Baca dan semak selalu. Selebihnya bersabar. Rezeki itu, jika Allah nak bagi, DIA akan bagi tanpa kita duga bila dan bagaimana.
Kata kuncinya - S.A.B.A.R.
YOU ARE READING
Santai (Completed)
Художественная прозаCuba lari dari tinta dan pena. Duduk dalam dunia realiti dengan secawan kopi hitam. Pilihan? Dengan gula atau tanpa gula, ikut suka. Start: 26 Feb 2018 End: -