Assalammualaikum w.b.t dan salam ukhuwah rakan-rakan Wattpad.
Sebelum buku terbit, rasa teruja itu membuak-buak. Tidak sabar untuk melihat hasil tulisan kita dalam bentuk bercetak, dengan kulit buku yang tidak terbayang dek akal. Teruja juga ingin melihat ketebalannya. Dan, lebih teruja untuk mewara-warakan kepada rakan-rakan dan saudara-mara.
Tetapi, selepas buku terbit, segala rasa itu tenggelam dan diganti dengan satu rasa yang baru. Rasa takut pula menyelinap. Pelbagai persoalan pula muncul. Takut dengan penerimaan pembaca. Dan, takut jika buku tidak dicapai dan hanya beku di rak. Al-maklumlah, penulis baru yang masih tidak pernah didengar namanya!
Pertama kali berada di reruai PBAKL 2019, serius saya memang berserah. Hati rasa cuak juga bila pembeli sudah punya list di tangan. Mereka bukan mahu window-shopping seperti beli baju, tetapi, sudah ada target buku dan penulis yang mereka mahu.
Maknanya?
Ya, maknanya buku daripada penulis baru memang akan terkesamping daripada pandangan mata. Aduh! Tidak mudah rupanya jadi penulis baru. Pada waktu itu, saya mulai bersetuju dengan beberapa teori yang mengatakan bahawa, penulis sekarang perlu menjadi instafamous atau FB famous atau Tweeter famous dahulu sebelum keluar dengan hasil karya.
Bila sudah dikenali, jual apa pun laku!
Tetapi, saya bisik pada hati supaya ingat pada surah At-Thalaq ayat 2 dan 3. Allah dah kata dalam surah itu, selagi kita patuh pada suruhan-Nya, tinggalkan larangan-Nya, usaha, doa dan tawakallah dengan sebenar-benar tawakal, maka Allah akan beri rezeki dari jalan yang tidak pernah kita duga, pada waktu yang Allah sahaja tahu, bila.
Saya pegang dalam hati ayat itu. Tiada yang mustahil bagi Allah. Cuma perlu percaya. Ya, saya percaya. Dan, keajaiban wujud pada hari kedua. Subhanallah! Saya memang tidak pernah dikenali, tapi pada hari kedua jualan, kebanyakan rakan universiti, rakan-rakan Wattpad yang tidak pernah saya temui, pembaca yang membaca di laman-laman FB ... semuanya turun. Allahuakbar! Menitis air mata saya.
Bayangkan ... ada juga insan yang membeli hanya kerana tertarik pada blurb yang saya karang? Inilah rahsia yang Allah janjikan. Usaha, doa dan tawakal dengan sebenar-benar tawakal.
Malah, penerbit beritahu bahawa ada seorang perempuan Cina yang datang membelek-belek buku di rak di reruai, telah memilih buku saya. Sedangkan, buku saya bercerita tentang agama Islam. Kata penerbit lagi, mereka hulur dan cadangkan beberapa buku lain juga, tapi ditolak. Dia, pilih buku saya. Subhanallah. Nikmat apa lagi yang saya inginkan?
Dan, dari pasca penerbitan buku pertama, saya belajar sesuatu yang lain juga. Bukan sekadar usaha, doa dan tawakal, tetapi anjakan corak penulisan juga diperlukan jika ingin pembaca yang pernah membaca karya kita terus melekat dengan hasil tulisan kita yang seterusnya. Jangan mudah berpuashati dengan apa yang ada.
Pra-penulisan 'Cantik', saya mensasarkan pembaca di kalangan remaja. Tetapi, bila 'Cantik' terbit dan dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat, dengan purata umur 11 tahun yang paling muda dan 78 tahun yang paling tua, saya terfikir untuk mengubah corak bahasa yang saya gunakan.
Malah, bila saya kaji profession mereka yang membeli juga membuatkan saya bertambah yakin untuk mengubah corak penulisan saya. Saya memilih untuk menggunakan bahasa standard yang menjaga tatabahasa dan alur cerita.
Pembaca 'Cantik' terdiri dari kalangan pelajar, suri rumah, pegawai kerajaan, guru, pekerja kilang dari bahagian kualiti, jurutera, akauntan dan yang tertinggi yang saya dapat kesan adalah pemegang gelaran Ir. Prof. Doktor - seorang pensyarah.
Malu saya bila Ir. Prof ini membeli buku saya. Al-maklumlah, bahasa di dalam 'Cantik' adalah bahasa santai untuk golongan remaja. In-shaa-Allah, pasca penerbitan 'Cantik' adalah langkah mula untuk saya memperbaiki mutu penulisan saya.
Saya bercerita begini, supaya saya sendiri ingat akan matlamat penulisan saya pada masa akan datang. Dan, jika ada yang membacanya, moga dapat dijadikan motivasi dan persediaan mental selain menjadi rangsangan agar mula menulis dengan baik.
Segala yang saya miliki - ilmu dan pengalaman, saya kongsikan di buku 'Santai' ini dengan percuma. Ambillah secara positif untuk diri sendiri. Tiada keuntungan pun di pihak saya.
Semoga terus maju dan bersemangat walau ombak badai tidak putus menghentam dunia penulisan.
YOU ARE READING
Santai (Completed)
Aktuelle LiteraturCuba lari dari tinta dan pena. Duduk dalam dunia realiti dengan secawan kopi hitam. Pilihan? Dengan gula atau tanpa gula, ikut suka. Start: 26 Feb 2018 End: -