Assalammualaikum w.b.t, dan Salam secangkir kopi kawan-kawan.
Seperti yang pernah saya beritahu sebelum ini, bila saya muncul untuk penulisan artikel di sini, bermakna saya sedang dalam keadaan tepu dan beku!
Ya, sekarang ini saya sedang rasa terjerat, tidak dapat bergerak, tidak dapat berfikir, tidak dapat menulis manuskrip ataupun cerpen seperti apa yang saya berkehendak. Bukan hilang idea atau tidak dapat membentuk kata, tetapi lebih kepada rasa tidak puas hati dengan struktur ayat, yang saya sendiri bina.
Oh, maaf! Pembuka kata saya lebih kepada luahan rasa pula. Saya sebenarnya ingin berkongsi pengalaman dan apa yang bersarang dalam kotak minda.
Dunia tanpa perasaan umpama lautan tanpa buih,
Dunia tanpa cabaran umpama lautan tanpa ombak.
Dunia penulisan juga ibarat satu lautan yang punya pelbagai rasa dan sentiasa mencabar minda bila kita mula tega untuk mengharunginya.
Setahun saya berada dalam dunia penulisan kreatif, saya sudah mula merasai badai dan gelombang.
Pernahkah anda terfikir bahawa seorang penulis memerlukan satu biodata dengan track record penulisan? Anda sudah ada? Bagus dan tahniah! Sila buat kemaskini data dan rekod penulisan anda setiap kali anda ingin menghantar kepada pihak penerbit.
Semakin panjang senarai rekod penulisan anda (terutamanya yang pernah terbit), semakin ke depanlah karya anda dalam senarai pendek pihak penerbitan. Kenapa saya kata begitu?
Pihak penerbit biasanya akan mengutamakan mereka yang sudah mempunyai nama di persada penulisan terutamanya penulisan kreatif. Sudahkah anda mempunyai nama? Belum? Saya juga. Masih belum dan masih lagi cuba mencari tapak mula untuk mencipta nama.
Sediakan biodata jika anda serius dalam bidang penulisan. Dan, pastikan setiap manuskrip dan apa sahaja bentuk penulisan anda yang sudah terbit, bakal terbit, pernah ditolak atau sedang ditulis disenaraikan dalam biodata anda.
Dan ...
Cuba-cubalah hantar karya anda ke mana-mana suratkhabar, majalah atau penerbit mengikut genre dan tatacara. Ia satu titik mula untuk nama anda disenaraikan dalam minda pembaca. Bukan sekadar di Wattpad. Dunia penulisan yang sebenar adalah yang di luar sana.
Saya berbicara untuk diri saya. Tetapi rasa terpanggil untuk berkongsi juga dengan rakan-rakan penulis. Terutama yang masih muda. Potensi diri anda sangat berharga. Jangan sia-siakan apa yang anda ada.
Saya bukan siapa-siapa. Hanyalah seorang pencerita yang sentiasa mengingatkan diri sendiri melalui penulisan dan kemudian membacanya semula.
Wallahualam.
YOU ARE READING
Santai (Completed)
Ficción GeneralCuba lari dari tinta dan pena. Duduk dalam dunia realiti dengan secawan kopi hitam. Pilihan? Dengan gula atau tanpa gula, ikut suka. Start: 26 Feb 2018 End: -