Assalammualaikum w.b.t rakan-rakan,
SAYA ingin kongsikan tentang POV 1. Oh, ya! Sebelum itu, kita jelaskan dahulu apa itu POV. Kita tidak boleh beranggapan yang semua orang tahu, walaupun kita berada di dalam dunia yang sama - dunia penulisan dan pembacaan.
POV - Point of View. Atau, bahasa Melayunya - sudut pandang. Sudut pandang siapa? Sudut pandang penulis yang menukilkan cerita. Di dalam penulisan, ada tiga jenis sudut pandang yang dikenalpasti buat masa ini.
POV 1 - Sudut pandang pertama (aku, saya - kata ganti nama pertama digunakan dalam bercerita). Hanya fokus kepada pemikiran, perasaan watak 'aku/saya' yang sedang bercerita.
POV 2 - Sudut pandang kedua (seorang watak yang lain (bukan penulis), sedang menceritakan tentang seseorang yang lain. Amat jarang digunakan atau ditemui di dalam penulisan.
POV 3 - Sudut pandang ketiga. Penulis yang bercerita dari sure pandangannya. Sudut pandang ini yang paling kerap digunakan oleh kebanyakan penulis. Mungkin kerana ia lebih mudah. Sudut pandangan ini membolehkan setiap watak berbicara dan mengekspresikan perasaan.
Penjelasan bagi setiap POV di atas, saya beri secara rawak sahaja, memandangkan saya ingin fokus kepada penulisan / penceritaan yang menggunakan POV1.
POV1 ini jarang digunakan kerana penggunaannya begitu terhad ketika bercerita. Penulis hanya fokus kepada pemikiran dan perasaan watak 'aku/saya'. Dan, 'aku/saya' ini tidak mampu bercerita tentang pemikiran/perasaan watak lain. Ya, mana mungkin kita ini boleh membaca fikiran orang? Menyelam ke dalam perasaan orang? Mustahil, bukan?
POV1 ini juga tidak mampu bergerak tanpa watak 'aku/saya'. Sekiranya watak 'aku/saya' ditidurkan, atau dikomakan, atau lebih teruk dimatikan ... cerita akan terhenti. Mana mungkin watak lain berkata-kata jika di dalam cerita yang menggunakan POV1 ini, diceritakan dari sudut pandang watak 'aku/saya'? Terhad, bukan?
Saya sering membaca karya rakan-rakan yang lain (selain daripada bacaan penulis yang sudah menerbitkan buku fizikal. Terutamanya penulis yang sudah ada nama). Ramai yang menggunakan POV1 sebenarnya. Dan, penulisan mereka amat menarik.
Saya juga sering menggunakan POV1 ini bila saya malas hendak menulis atau mengembangkan pemikiran dan perasaan watak lain. POV1 membolehkan saya hanya menumpukan pada watak utama yang bercerita. Tetapi, adakah itu bermakna di dalam cerita yang menggunakan POV1, pemikiran dan perasaan watak lain diabaikan?
Tidak.
Kita masih lagi boleh menulis pemikiran dan perasaan watak-watak lain. Tetapi, ada tekniknya. Apakah teknik yang boleh kita ketengahkan jika kita hendak menceritakan pemikiran atau perasaan watak lain ketika kita menggunakan POV1? Ada beberapa teknik:
1) Surat - watak 'aku/saya' membaca surat daripada watak lain. Di dalam surat ini terserahlah pada kita sama ada ingin bercerita tentang apa, dari sudut pandang watak selain daripada watak 'aku/saya'. Sama ada pemikiran ataupun perasaan.
2) Diari - Untuk mengetahui isi hati watak lain, kita mungkin boleh membuatkan watak 'aku/saya' terjumpa/terbaca/membaca dengan izin, diari watak lain. Di situ kita bebas untuk menukilkan perasaan watak lain - sama ada perasaannya pada watak 'aku/saya' atau perasaannya terhadap sesuatu peristiwa yang ada kaitan dengan hidupnya atau hidup watak 'aku/saya'. Watak ini diberikan kebebasan untuk ekspresi diri melalui diarinya sendiri yang dibaca oleh watak 'aku/saya'.
3) Perbualan - watak lain meluahkan pemikiran atau perasaannya kepada watak 'aku/saya'. Malah, di dalam teknik perbualan ini, watak lain juga bebas untuk bercerita tentang sesuatu peristiwa lain melalui sudut pandangannya.
4) POV1 daripada banyak watak - Teknik ini paling banyak digunakan oleh penulis di serata dunia. Contohnya, di dalam penulisan Veronica Roth, melalui ceritanya, 'Divergent'. Ia menggunakan POV1. Iaitu sudut pandang watak utama yang bernama Tris. Tetapi, di dalam sekuelnya yang berjudul 'Insurgent', (masih menggunakan POV1), ada dua watak yang bercerita. POV1 untuk Tris dan POV1 juga untuk watak Four/Tobias.
Teknik penulisannya begini:
Diasingkan melalui bab. Sebelum paragraf pertama, nama 'TRIS' ditulis. Jadi kita tahu, yang bab ini adalah dari sudut pandang Tris. Kemudian, bab seterusnya, diletakkan pula nama 'FOUR/TOBIAS'. Kita maklum bahawa bab ini adalah dari sudut pandang Four/Tobias.
Teknik ini juga digunakan oleh Haruki Murakami dalam novel 'IQ84'. Yang mana dua watak utama bergilir-gilir mengambil 'mikrofon' untuk bercerita. Watak Aomame dan Tengo.
Sama juga seperti Divergent the series yang mengasingkan POV1 watak mengikut bab.
Baru-baru ini saya membaca novel SN (Sasterawan Negara), Siti Zainon Ismail, berjudul 'Delima Ranting Senja'. Beliau menggunakan POV1 juga, tetapi dengan banyak watak yang bertukar ganti mengambil tempat bercerita. Bukan hanya dua watak utama!
Pertukaran POV1 watak-watak ini ada yang ditulis nama di atas dan awal penceritaan bab, tetapi ada juga yang tiba-tiba berada di tengah bab melalui teknik surat dan imbas kembali.
Gabungan yang membuatkan kita sebagai pembaca terpaksa mengulang baca jika kita terleka dalam menelusuri karya ini. Fokus yang tinggi amat diperlukan ketika membaca karya ini supaya kita sedar yang sedang bercerita itu, watak yang mana.
Ada lagi? Ya, mungkin ada. Kalian boleh tambah sendiri dan mungkin boleh juga kongsikan di ruangan komen cara kalian mengekspresi pemikiran dan perasaan watak lain ketika menggunakan POV1.
Apakah kesilapan penulis ketika menggunakan POV1?
1) Menukar POV secara tiba-tiba tanpa menggunakan teknik yang bersesuaian.
2) Monolog watak lain. Juga tanpa teknik yang bersesuaian.
(SN Siti Zainon menggunakan dua teknik - imbas kembali dan pertukaran POV1 dengan sebutan nama sebelum memulakan monolog watak yang mengambil alih.)
Ketika menggunakan POV1, monolog watak lain jika dilakukan memang jadi pelik. Monolog itu, bicara dalaman yang tidak ada orang patut dengar. Bagaimana pula si pencerita (pemilik mikrofon), si pemilik POV1 ini boleh mendengar suara hati watak lain? Pelik, bukan? Jika ingin dilakukan, sila guna teknik keempat - POV1 dengan banyak watak dan gabung dengan teknik lain, sama ada surat atau imbas kembali perbualan atau titipan kata watak sebelum ini.
3) Kekerapan menukar POV1 kepada POV3, sama ada dalam sedar atau tanpa sedar. Masih difahami jalan cerita, tetapi berbunyi sumbang dan agak pincang (kurang kemas penulisan) jika tidak dilakukan menggunakan teknik yang betul.
Keseronokan menulis POV1.
1) Fokus - penulis hanya fokus kepada pemikiran dan perasaan watak. Pemikiran dan perasaan watak-watak lain boleh diabaikan. Memang hanyut sedikit jika menulis menggunakan POV1. Silap haribulan, ia berbunyi syok sendiri!
2) Misteri - penulisan POV1 ini boleh meninggalkan misteri untuk perasaan watak lain di dalam cerita. Kita tidak akan tahu apa perasaan watak lain terhadap watak utama, 'aku/saya'. Adakah sikap ambil berat yang ditunjukkan, yang mula mencuit rasa terharu pada watak 'aku/saya' itu sesuatu yang lebih jauh lagi, yang dikatakan cinta atau, hanya setakat bantuan biasa sahaja. Yang sememangnya watak itu biasa lakukan. Ia akan kekal misteri, tertanya, sebagaimana yang dirasa oleh watak 'aku/saya' itu sendiri.
3) Mendalami - penulisan POV1 ini, penulis boleh mendalami sedalam-dalamnya perasaan watak. Penulis yang akan menyarung diri 'aku/saya', lalu bercerita mengikut pemikiran dan perasaannya di dalam sarung watak. Jika dia ingin ada banyak POV1 (untuk watak lain), dia boleh jadi pelbagai. Sekejap dia jadi watak lelaki, sekejap dia jadi watak perempuan. Tetapi, perlu diingat yang semuanya perlu didalami secara terperinci dan fokus di dalam sarung watak-watak ciptaannya.
Okay, cukup setakat ini dahulu rasanya perkongsian saya ini. Apa yang saya kongsikan hanyalah daripada hasil pemerhatian dan study saya setiap kali saya membaca novel penulis-penulis lain. Penulis yang sudah punya nama di persada dunia penulisan. Bukan hanya di dalam negara mereka, tetapi sudah mencecah peringkat internasional.
Banyakkan membaca dan melihat corak penulisan penulis yang sudah membina nama. Baca bukan hanya cerita mereka, tetapi juga cara mana mereka menceritakannya.
Selamat menulis!
![](https://img.wattpad.com/cover/137257034-288-k198241.jpg)
YOU ARE READING
Santai (Completed)
General FictionCuba lari dari tinta dan pena. Duduk dalam dunia realiti dengan secawan kopi hitam. Pilihan? Dengan gula atau tanpa gula, ikut suka. Start: 26 Feb 2018 End: -