53 - Bedah lirik, bantu penulisan

103 13 6
                                    

SELALU kita mendengar perkataan 'writers block'. 'Writers block' ada dua.

1) Satu - tiada idea.

2) Dua - ada idea, tapi tersekat bila hendak bina ayat. Atau, dengan kata lain, bila hendak dikembangkan, tidak jumpa perkataan dan pembinaannya terasa sukar.

Semasa di tingkatan enam dahulu, saya didedahkan dengan teknik 'bedah lirik'. Teknik ini dibuat bagi menguji kefahaman pelajar terhadap teks. Di antara lagu yang menjadi pilihan guru, ialah lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad, berjudul, 'Nilai cintamu'. Saya kongsikan liriknya.

Pernah dulu kupikirkan
Tanpa cinta tak mengapa
Bila kau pergi
Kurasakan sunyinya di hati
Baru kini kutahu nilai cintamu

Kurenungi gambarmu
Kubaca surat-suratmu
Namun pedihnya kuterasa
Tanpa kau bersama
Kuharap dikau pun begitu jua

Kini aku mengerti
Hanya engkau pelita hati
Semua yang kau korbankan
Hanyalah untukku
Akan tetap kukenang
Kasihmu terhadap diriku
Janji untuk bersama
Sehidup-semati

Andainya kau kembali
'Kan kucurahkan rasa hati
Agar dikau mengerti
Cintaku yang suci
Berikan 'ku harapan
Untuk bersamamu semula
Akan aku buktikan
Nilai cintaku

Teknik bedah lirik lagu ini sangat membantu bukan sahaja kefahaman terhadap apa yang ingin disampaikan oleh penulis lirik dan penyanyi, tetapi juga kreativiti kita dalam membuat tafsiran teks.

Setiap seorang daripada kami diminta membentangkan 'hasil bedah' kami. Memang menarik bila setiap seorang daripada kami muncul dengan hasil yang berbeza. Tema yang sama, tetapi sudut pandang dan kupasannya sangat lain. Malah dilaporkan juga dalam bentuk yang tidak terfikir. Juga, ada di antara rakan-rakan yang langsung jauh menyimpang hasil bedahnya itu daripada maksud sebenar lagu.

Cuba kalian 'bedah' lirik yang saya tampal di sini. Saya pasti, pelbagai kupasan dengan sudut pandang yang berbeza terhasil. Cara kalian mengupas itu akan memperlihatkan kematangan kalian dalam memahami teks, juga ketika membentangkannya.

Satu yang ingin saya tekankan, tiada kesalahan dalam setiap cara kupasan dan pembentangan. Mungkin jika ada yang salah, hanya pemahaman terhadap teks.

Tetapi, itu tidak mengapa selagi ada kupasan yang dibuat. Itu sudah cukup baik untuk anda melihat cara anda mengembangkan satu-satu teks.

Dalam dunia penulisan, anggap sahaja teks ini sebagai idea kasar yang berlegar-legar di dalam kepala anda.

Bagi mereka yang sudah ada pengalaman bercinta, mungkin ulasan (bagi lirik lagu ini) lebih lagi berbanding mereka yang tidak pernah mengalami perasaan sedemikian.

Latar pendidikan juga memainkan peranan. Kerana, semakin tinggi latar pendidikan kita, semakin kita terdedah dengan bahasa dan pembentangan.

Tetapi, tidak mustahil juga ada di kalangan kita yang masih muda, tetapi mampu melangkau kematangan.

Bagaimana ia berlaku? Saya percaya ia melalui pembacaan dan pergaulan dengan orang yang lebih dewasa.

Ada orang yang mendengar lagu tanpa faham lagu itu tentang apa. Dia hanya suka alunannya dengan bahasa-bahasa puitis. Tetapi, tidak menyelami maksud yang hendak disampaikan. Malah, mengabaikan untuk ambil tahu.

Sebagai seorang penulis, pemahaman teks itu sebenarnya sangat-sangat membantu dalam penulisan. Jika kita mampu memahami teks, maka kita mampu menterjemah idea liar di kepala kita dalam bentuk teks juga.

Kenapa seorang penulis perlu membaca? Salah satu sebab, adalah untuk menambah kosa kata. Apa itu kosa kata? Perkataan atau diksi. Untuk satu penulisan yang berbeza, kita perlu tahu dan terdedah dengan banyak kosa kata.

'Diksi'.

Ada yang tidak pernah mendengarnya? 'Diksi' juga adalah salah satu kosa kata. Jika tidak tahu, boleh cari di dalam kamus. Jika kurang mahir bahasa Melayu, cari perkataan 'diction' daripada kamus bahasa Inggeris.

Cuba lakukan latihan 'bedah lirik' ini. Jika sudah 'bedah' satu lirik, cari pula lirik yang lain.

Minggu berikutnya, bedah lagi lirik yang sama tanpa melihat hasil bedah sebelumnya. Lihat jika ada apa-apa perbezaan sewaktu kita membedah dan melaporkan hasil bedah kita. Bandingkan hasil bedah yang awal, dengan hasil bedah yang dilakukan kali kedua.

Latihan ini membantu kita dalam membedah dan mengembangkan idea penulisan.

Semoga ia membantu anda menjadi 'pakar bedah bahasa' yang hebat dan, hebat juga ketika melaporkannya dalam cara anda.

Salam ukhuwah.

Norsamila Samsudin.
13 May 2020

Santai (Completed)Where stories live. Discover now