39 - Media Sosial dan Penulis

57 10 0
                                    

Assalammualaikum w.b.t, salam ukhuwah rakan-rakan sekalian.

DALAM perbincangan dengan rakan-rakan penulis, isu ini tidak pernah lari daripada dibicarakan.

Media sosial, jika di zaman dahulu tidak wujud dan tidak langsung menjadi soal kepada para penulis yang tidak suka bersosial, tetapi, sangat perlu dipertimbangkan di zaman sekarang. Terutamanya bagi penulis baru yang masih lagi terkial-kial mencari jalan ke pentas penulisan (macam saya).

Rata-rata, peribadi seorang penulis itu jenis yang tidak banyak bicara. Ramai ahli fikir berbanding yang petah berpencak lidah. Kata-kata seorang penulis bisingnya hanya di tinta berbanding dilafazkan di udara.

Bukan sombong atau bisu, tetapi lebih kepada rasa malu dan kurang yakin. Takut jika bicara lidah tergelincir, disalah erti dan mengundang padah.

Bicara pena itu, lebih disukai oleh penulis. Di dalam tinta, ditumpahkan segala kata dari akal dan jiwa dalam pelbagai bentuk yang tidak ketara, yang mungkin menggambarkan pendapatnya. Yang dihidangkan dalam seni tulis, yang biasanya lebih diterima, setelah dibaca. Yang mendapat perhatian berbanding kata-kata lisan.

Jadi, ramai yang ambil mudah untuk tidak membuka akaun media sosial. Jika ada, hanya tertumpu pada satu-satu akaun. Sedangkan semakin banyak akaun media sosial yang dimiliki, semakin luas ilmu yang diperolehi.

Media sosial, selain digunakan untuk bersosial, penulis patut mengambil peluang untuk menjadikannya sebagai medium mempromosikan karya. Juga medium untuk melihat usaha penulis lain dalam mempromosikan karya.

Dan, tidak dapat dinafikan, dari akaun media-media sosial inilah kita, penulis boleh mendapat pelbagai maklumat tentang dunia penulisan. Tentang bengkel dan cikgu-cikgu yang boleh memandu-arah diri kita yang terkapai.

Malah, maklumat lain untuk dimuatkan di dalam cerita-cerita kita juga boleh dijana dari laman media sosial. Terlalu banyak isu semasa yang lalu lalang depan mata sehingga limpahan cerita buat otak rasa teruja.

Mental block mungkin bukan lagi masalah untuk menjana cerita. Maklumat di depan mata. Hanya taip tanda pagar dan isu, mencanak naik segala maklumat dan pendapat. Bertapis dengan tidak, terserah pada kebijaksanaan kita dalam menilainya.

Di Twitter misalnya. Bukan satu dua jenis karakter manusia yang kita boleh jumpa. Beribu! Dalam bentuk kata-kata. Salah satu, tidak mustahil boleh dijadikan watak penggerak cerita kita. Tidak begitu?

Dari isu politik negara yang parah, kepada isu ekonomi yang punah, malah isu peradaban bangsa yang goyah turut dibicara ... boleh sahaja dibuat cerita. Malah, inputnya cukup jelas untuk digerakkan mengikut kesukaan gaya penulisan kita.

Boleh ditulis sebagai sains fiksyen, horror, fantasi atau cerita-cerita realisme. Semua di media sosial itu adalah maklumat berharga buat penulis. Jadi, mengapa menolak, dan memilih untuk menjauhi? Bukankah itu satu kerugian?

Cuma ...

Satu yang ingin diingatkan. Faham tujuan pembukaan setiap satu akaun. Jangan pula ia menjadikan penulis itu leka sehingga meninggalkan langsung pena dan tinta. Dibiar kosong tidak tertumpah cerita.

Fikir dan timbang-taralah.

Santai (Completed)Where stories live. Discover now