Assalammualaikum w.b.t dan Salam Secangkir Kopi,
Lama kan, saya menyepi dari berkongsi idea dalam penulisan? Saya sendiri pula yang rasa macam hilang motivasi. (Sebenarnya apa yang saya tulis ini pun sebagai motivasi untuk diri sendiri supaya tidak putus asa dalam penulisan).
Bukan senang rupanya nak menulis novel ni, ya. Rasa macam semput nafas sekali-sekala. Lebih-lebih lagi jenis orang yang kurang sabar macam saya. Kurang sabar untuk menyudahkan cerita yang sudah saya mulakan. Tak tahulah samada, ada di antara kalian yang bersikap macam saya.
Menulis novel bukan sekadar bermain dengan aksara dan menyusunnya mengikut susunan yang cantik semata-mata. Tetapi juga memerlukan penulis untuk mempunyai ilmu dalam beberapa perkara yang berhubung-kait dengan perjalanan cerita itu sendiri.
Di sini, seorang penulis novel perlu membuat beberapa pengumpulan bahan untuk dimuatkan ke dalam ceritanya.
Contohnya, seorang penulis novel cinta. Bukan semata-mata memerlukan perasaan cinta di hatinya sahaja untuk menggarap cerita cinta; tetapi sebaik-baiknya perlu mempunyai maklumat tentang cinta itu sendiri.
Maklumat bagaimana ya?
Begini. Dalam penulisan, pengumpulan bahan boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Untuk mudah faham, kita pecahkan dulu kepada dua bahagian:
1) Internal
Pengumpulan bahan INTERNAL adalah melalui pengalaman kita sendiri, pembelajaran kita di sekolah atau universiti, keadaan persekitaran kita yang boleh kita lihat setiap hari atau daripada cerita ahli keluarga kita macam ayah, mak atau nenek moyang.
Kita cuma perlu imbas kembali apa yang kita lihat, dengar dan rasa (perasaan). Dan tulis semua itu dalam satu buku nota. Diari pun boleh dikatakan sebagai bahan INTERNAL yang telah siap dicatat.
2) External
Pengumpulan bahan EXTERNAL pula adalah melalui pencarian khusus yang kita lakukan untuk tajuk yang berkait dengan penulisan kita. Contohnya, saya sedang menulis novel berjudul, Amar Amira yang mana salah satu watak dalam novel itu adalah penghidap barah hati tahap empat. Jadi, saya perlu mencari sebanyak mana bahan EXTERNAL untuk memastikan saya betul-betul menghayati, memahami keadaan pesakit barah hati tahap empat, yang sebelum ini saya langsung tiada data untuknya.
Apa bahan yang boleh kita jadikan pergantungan untuk novel kita selain daripada sumber Mr. Google dan Cik Wikipedia? Saya selalu mencari blog luahan hati penghidap barah itu sendiri. Biasanya mereka ada menceritakan kesusahan, keperitan dalam menjalani hidup dan apa rutin harian mereka. Ini lebih membuatkan cerita itu menjadi 'real'.
*Kalau cerita cinta, bahannya tentu tentang orang yang putus cinta atau keterujaan tentang cinta, crush dll.. Cari di blog, Facebook atau mungkin, Twitter. Pasti ada orang yang meluah rasa kecewa putus cinta atau rasa bahagia sedang bercinta. Pengalaman mereka adalah bahan 'real' untuk novel kita. Elakkan dari terlalu bergantung pada perasaan sendiri sahaja.
Ok. Cukup untuk dua bahan INTERNAL dan EXTERNAL.
Apa lagi yang boleh kita kumpulkan sebagai bahan penulisan kita? Tidak semestinya untuk novel yang kita sedang tulis, tetapi juga untuk simpanan penulisan akan datang.
Allah kurniakan kita pancaindera yang sangat hebat. Sebaiknya kita gunakan dengan hebat juga. Sejak mula menulis, saya jadi lebih peka dengan keadaan persekitaran saya. Peka yang macam mana ya?
MATA
Bila saya memandu, saya akan mula menajamkan mata, menghayati perjalanan itu sendiri. (tujuannya sebagai pengumpulan bahan untuk novel).
Apa yang saya lihat, akan saya cuba ingat dan catat.
Contoh: Nama-nama terowong, Nama R&R atau Hentian, Nama syarikat-syarikat bas, Pemandangan apa yang saya nampak - gunung, awan bentuk apa, kalau hujan bagaimana keadaan pandangan mata saya ketika memandu dan apa jenis advertisement board yang ada di sepanjang jalan tersebut.
Sebenarnya banyak lagi contoh yang saya rasa anda semua lebih arif dan jelas.
TELINGA
Sebagai seorang penulis, kadang-kala kita tak tahu macam mana nak bunyikan sesuatu dalam bentuk tulisan. Susahkan? Dalam laman sesawang kaskus.co.id juga ada disentuh tentang bunyi. Boleh lawat laman yang disebutkan.
Dan option lain, anda sendiri boleh menghayati bunyi yang berada di sekeliling anda dan mencipta bunyi itu sendiri. Tajamkan telinga anda. Hayati setiap bunyi yang anda dengar dan cuba jadikan ia sebagai koleksi bahan untuk penulisan anda.
Contoh: Saya selalu dengar bunyi tangisan bayi rumah sebelah. Selalunya tak ambil kisah pun. Tapi sejak mula menulis, saya sudah mula menghayati bunyi-bunyi sedemikian. Dan bunyi lain adalah bunyi orang bertukang, bunyi gelas pecah, bunyi alat penghawa dingin, bunyi basikal yang dikayuh laju, dikayuh perlahan, bunyi kayu tersangkut di roda basikal. Hahaha ... itupun boleh kan? Banyak lagi yang kita sebagai penulis boleh jadikan bahan koleksi untuk penulisan kita.
SENTUHAN
Dulu, bila saya siang ikan, saya sekadar siang macam biasa tanpa nak ambil kisah pun tentang ikan yang saya sentuh tu. Tapi sekarang rasa macam teruja pula. Saya belek badan ikan, saya sentuh sebab nak tulis apa rasa badan ikan tu. Dan apa beza dengan badan ayam?
Wah! Macam orang gila pulak. Curiosity can be a killer. Hahaha... Dan saya cuba rasa setiap kepedihan bila tangan ditusuk selumbar atau terhiris dengan pisau. Dan saya mula gila memerhati tiap titisan darah yang menitis dari jari sendiri. Gila tak gila bila jadi seorang penulis?
Dan saya percaya anda semua juga akan buat begini bila sudah dapat tips untuk pengumpulan bahan.
Dah panjang rasanya perkongsian saya kali ini. Deria lain macam HIDUNG untuk menghidu tu pun konsepnya sama. Jadi, tak perlu saya nak ulas dan bagi contoh.
Apa pun, sediakan satu buku khas untuk anda mula mencatat dan menyimpan koleksi bahan-bahan penulisan anda. Ianya satu keseronokan jika anda sudah mula melakukannya. Jangan sampai dikecam gila pula ya, bila terlalu asyik melihat luka di jari atau melihat bayi yang menangis.
Dan jangan pula terlalu taksub dalam pengumpulan bahan sehingga memohon untuk bertemu dengan hantu atau sebarang makhluk halus demi untuk merasai pengalaman sebenar berdepan dengan makhluk Allah dari dunia lain dan mula mencatat perasaan seram itu sebagai koleksi bahan novel genre horror anda. Tidak digalakkan.
Selamat mengumpul bahan. Harap-harap hidangan kopi kali ini tidak terlalu banyak. Secukupnya sahaja. Jika tidak tentu anda tidak tidur malam ini.
YOU ARE READING
Santai (Completed)
Ficción GeneralCuba lari dari tinta dan pena. Duduk dalam dunia realiti dengan secawan kopi hitam. Pilihan? Dengan gula atau tanpa gula, ikut suka. Start: 26 Feb 2018 End: -