11-Pemilihan Nama Watak

1.2K 23 0
                                    

Assalammualaikum dan Salam Secangkir Kopi, kawan-kawan.

Apa khabar semua? Seronok berhari-raya? Bagaimana dengan penternakan lemak anda? Saya punya berlangsung dengan sangat berjaya. Rasa terdera usus dan perut. Tekak pula enak menjamah.

Badan pula rasa semakin lemau nak mengarang. Walau tidak tinggal pensil tekan dan buku catatan, tetapi masih gagal untuk menyiapkan beberapa helaian bab untuk setiap manuskrip yang berbeza tajuk.

Saya banyak juga melakar idea baru yang bertandang sepanjang Syawal ini. Tetapi idea-idea itu semua tidak datang sendiri. Bertandang ia bersama kekangan. Kekangan yang menyekat pergerakan penulisan saya.

Saya tersekat dalam memilih nama watak!

Entah kenapa otak jadi beku tiba-tiba. Tak mampu nak fikir walau satu nama ketika cuba melakar cerita.

Jadi, untuk mengelakkan idea yang datang itu hilang, saya letakkan sahaja nama-nama klise dalam masyarakat kita. Ali, Ahmad, Abu, Hassan, Hussin ...

Hmm ... apalah ada pada nama. Yang penting olahan cerita, kan? Itu yang saya fikir mulanya. Tetapi pemikiran itu mula berubah bila saya eramkan cerita itu selama 24 jam sebelum saya buka dan baca semula.

Saya tidak dapat menjiwai cerita yang saya tulis sendiri!

Itu sesuatu yang amat merbahaya! Ketika saya membaca, saya rasa seperti menjamah masakan tanpa garam, tanpa gula. Asamnya entah ke mana. Pedasnya tidak sampai ke telinga.

Dan serta-merta saya baca pula cerita-cerita lama saya. Saya belek satu-persatu komen daripada pembaca. Dan, dari situ saya sedar bahawa pemilihan nama watak amat penting! Jangan diletak semberono sahaja. Impaknya perlu sampai dalam jiwa.

Apa ada pada nama?

Nama memula dan mengakhiri segalanya. Cerita tentang watak yang akan diingat sampai bila-bila. Nama itu akan disebut oleh pembaca dalam komentar mereka. Nama yang bila disebut serta-merta mengimbau semula jalan cerita.

Aduh! Hebat sungguh impak nama.

Dan bila kebuntuan melanda, saya mula teringat pada anda semua, sahabat penulis yang hebat-hebat belaka. Bagaimana agaknya anda memilih nama watak dalam ceritera anda? Andai bisa dikongsikan dengan saya dan pembaca lain?

Saya kongsikan dahulu apa yang saya baca dan saya amalkan untuk pemilihan nama watak dalam manuskrip saya yang terdahulu.

1-Nama watak tidak terlalu panjang. Jika terlalu panjang, akan sukar untuk disebut apatah lagi diingat.

2-Tidak terlalu berbelit sebutan dan ejaannya (KECUALI jika cerita itu memang memerlukan nama seperti itu. Mungkin cerita dari negara asing).

3-Pastikan nama watak cerita pertama kita tidak sama dengan cerita kedua, ketiga atau seterusnya. Ianya untuk mengelakkan kekeliruan kepada diri kita sebagai penulis dan kekeliruan juga kepada pembaca. (KECUALI, ianya memang watak yang sama dan cerita itu merupakan sekuel cerita pertama).

4-Kaji maksud nama watak itu sendiri bagi memudahkan kita mencipta karakter watak. Biasanya saya rujuk nama-nama dalam Islam atau lebih tepat makna nama dalam bahasa Arab. Dan ada juga makna nama dalam bahasa Greek.

Contoh:

Nama watak wanita:

4.1 – Adara – Perawan, Cantik (Bahasa Greek)

4.2 – Hannah – Kasih sayang

4.3 – Humaira – Yang memiliki pipi merah

4.4 – Aqilah – Yang baik budi, bijaksana, dapat dipercayai, pintar

Nama watak lelaki/pria:

4.5 – Haidar – Berani, Singa

4.6 – Azri – Kekuatanku, penyokongku

4.7 – Aamir – Memakmurkan

4.8 – Aathif – Belas kasih

4.9 – Hakim – Yang memuliakan, Yang bijaksana, Yang arif

Dan, di dalam masyarakat Melayu juga seringkali mengaitkan nama dengan watak berdasarkan pemerhatian mereka sendiri. Yang di bawah ini adalah berdasarkan cakap-cakap orang tua, ya! Saya tak jumpa lagi dalam mana-mana penulisan.

Contoh:

Orang kata, nama Yusof tu orangnya tampan seperti Nabi Yusof.

Orang kata, wanita yang punya nama 'Lin' itu karakternya lemah lembut.

Orang kata, wanita yang punya nama 'La' itu karakternya kasar dan degil.

Orang kata, wanita yang punya sebutan nama dengan huruf konsonan 'Ka, Ta, (dan beberapa lagi) itu keras pendiriannya, sebagaimana sebutan huruf-huruf konsonan itu sendiri.

Wallahualam. Itu yang saya dengar dari mulut orang-orang tua. Jika ada penambahan, atau pembetulan, amat saya alu-alukan.

Jadi, sudikah anda berkongsi dengan saya cara anda memilih nama watak dalam manuskrip anda?

Jika sudi, terima kasih daun keladi.  Perkongsian anda sentiasa saya nanti. :)

Santai (Completed)Where stories live. Discover now