30 - VLS

83 17 11
                                    

BENARKAH karya kita tidak mendapat tempat di hati pembaca? Bagaimana kita tahu tentang itu?

Tiada atau kurang pada jumlah view, like dan share (VLS). Mungkin itu satu indicator. Mungkin!

Sesetengah penulis tidak ambil kisah pun tentang tiga perkara ini, VLS. Tetapi ada sesetengahnya (termasuk saya sendiri, hahaha ...) merasakan perkara ini satu motivasi untuk meneruskan penulisan. Jika tiada atau kurang, semangat menulis itu pun akan berkurang. Malah, mula berputik rasa benci dengan penulisan sendiri.

Tetapi ...

Jika kita perhatikan, (di wattpad sendiri ya), ramai penulis yang hebat-hebat, yang sudah terbit buku, malah ada di antara mereka itu editor dan sudah memiliki pengalaman bertahun lamanya, turut terkena tempias yang sama.

Karya-karya mereka di media sosial tidaklah mencapai VLS yang beribu, atau mencecah million. Tetapi bila kita baca corak penulisan, mesej yang dibawa, kita rasa kagum. Tapi VLS tak banyak pun.

Apa sebenarnya yang menjadi punca kepada perkara ini?

Pertama - kita kena lihat siapa pengguna media sosial itu sendiri. Di wattpad, rata-rata pembaca adalah di kalangan belia belasan tahun. Umur-umur begini memang cuba mengelak dari berfikir. Kalau ada pun hanya segelintir.

Ada juga pembaca yang berada dalam lingkungan umur matang sekitar 25 tahun ke atas, mereka ini pula hanya ingin merehatkan otak. Otak sudah penat dengan masalah hidup.

Wattpad atau Facebook atau apa sahaja media sosial adalah satu escapism buat pembaca di applikasi ini. Lebih-lebih lagi bila mata masing-masing tidak mampu bertahan lama mengadap cahaya. Penat mata ditambah dengan penat otak, boleh buat orang jadi gila! Pilihan mereka? Ya, pastinya bacaan santai dan tidak memerlukan otak untuk bekerja keras.

Itu sebabnya mereka memilih cerita yang lebih ringan. Ringan dari konteks, otak tidak perlu bekerja kuat sangat. Yang santai dan yang membelai jiwa yang ... penat!

Tetapi, kita sebagai penulis yang menggunakan applikasi yang sama mempunyai pilihan. Dan, pilihan ini sebenarnya berpaksikan niat. Tanya diri kita, kita menulis untuk apa? Untuk suka-suka, untuk dapat VLS yang tinggi atau untuk apa?

Jika itu matlamat penulisan kita, kita tahu cerita apa yang mampu buat kita capai semua itu. Ikut je cara mereka yang sudah mencapai VLS yang tinggi.

Tapi ... ada tapinya.

Selama mana kita nak menggantung motivasi penulisan kita kepada VLS yang tinggi? Adakah penulisan kita hanya setakat di sini? Di dalam applikasi wattpad? Jawapannya ada pada kita.

Dan, tiada jawapan betul atau salah untuk ini.

Jika anda jawab 'ya' kepada diri anda, tidak salah. Jawab 'tidak' pun tidak salah.

Tidak semua orang punya keberanian untuk melangkau keluar, memaparkan cerita yang mereka tulis. Lebih menakutkan jika cerita kita lain daripada yang lain. Yang memungkinkan kita dikritik gila-gila oleh orang di luar sana.

Tetapi mungkin juga disukai. Siapa tahu?

Dunia penulisan itu sendiri penuh dengan 'ragam-ragam' dari pelbagai lapisan.

Ragam pembaca, ragam pengkritik tulisan, ragam penerbit, jatuh bangun ekonomi negara dan corak pentadbiran juga menambah runsing kepada dunia penulisan. Itu belum ditambah pula dengan isu penulis-penulis parasit yang mengambil kesempatan menciplak, memplagiat hasil-hasil karya penulis lain yang begitu polos.

Segala-galanya runcing dalam dunia ini.

Tetapi, kalau hendak difikirkan semua masalah-masalah itu, tidak ke mana pun kita. Apa yang kita perlu buat ialah menulis. Tulis apa?

Tulis apa yang kita nak tulis.

Kalau orang tak suka?

Kita tengok pula, siapa yang tak suka tu. Besar sangatkah impak 'tidak suka' dia itu kepada penulisan kita? Jika dia itu editor yang kita harapkan untuk terbit karya kita, jawapannya mungkin ya. Tetapi kalau dia itu pembaca, kita lihat pula dia jenis pembaca dari kategori mana?

Kalau dia suka cerita cinta, tapi kita tulis cerita hantu, memang tak akan jumpa titik temu. Jadi, mengapa peduli? Kecuali jika kita ingin keluar dari zon selesa kita, kita nak cuba tulis sesuatu berdasarkan apa yang khalayak pembaca inginkan. Tetapi persoalannya, mampukah kita memenuhi citarasa semua orang?

Orang kata, menulis ini menghasilkan satu kepuasan. Puaskah kita bila kita sudah melakukan sesuatu yang memuaskan hati orang lain dan bukan hati kita? Kalau ya, teruskan. Tiada salah, tiada benar.

Kita sendiri yang perlu pilih, tulisan bagaimana dan apa yang nak ditulis. Selagi kita rasa seronok menulis, tulis. Jangan hanya kerana VLS yang sedikit, kita mensia-siakan apa yang kita suka.

Selamat menulis!

Santai (Completed)Where stories live. Discover now