13 - Masih Mengharap

211 6 2
                                    

ADZRUL keresahan. Dia bingung dan hairan. Kenapa majlis penting begini untuk teman baik mereka, Sufea tidak hadir? Berulang kali dia cuba menelefon tetapi setiap panggilan tidak dijawab. SMS juga tidak mendapat balasan.

"Kau ni, kenapa Adz? Resah tak ketentuan saja." Sapa Fatin.

"Yelah, sekarang ni dah pukul berapa dah. Kenapa gak si Fea tak datang majlis si Nia ni? Kecil hati Nia nanti."

Fatin hanya tersengih mendengar keluhan Adzrul. Mahu sahaja dia mengetawakan Adzrul, namun dia batalkan. Bimbang pula, satu-satunya lelaki dalam kumpulan rakan baiknya malu.

"Fea dah pergi kahwin Nia masa kat Terengganu. Sekarang ni Fea kat rumah abang dia kot, kat Pahang."

Adzrul terpana. Kenapa dia tak tahu?

"Kau rindu dia ke?"

"Kalau rindu tak berbalas, nak buat apa? Sajalah tanya. Hairan sebab dia tak ada kat sini."

"Betul juga kau cakap. Lepas aku beritahu dia suruh tanya si Jazz pasal perempuan tu, tak ada pula si Fea cerita apa-apa. Mungkin betul kot adik dia. Kita je yang salah sangka."

Adzrul tidak mahu berbahas. Sakit benar hatinya jika berbicara mengenai Sufea tetapi bersangkut dengan Jazlan. Dia pasti, itu bukan adik Jazlan. Mana ada abang semesra itu dengan adik. Berpegangan tangan, berpeluk pinggang, berlaga pipi. Kalau peluk bahu untuk adik beradik, biasalah.

"Aku nak jumpa Nia ni. Kau nak ikut ke?"

"Tak laratlah aku nak berjalan dah sarat macam ni."

"Kau ni bila nak bersalin?"

"Lusa."

"Laa kau ni. Dah nak beranak, sanggup lagi berjalan-jalan. Ha Luq, hang tengok bini hang ni. Tetiba sakit perut pula nak beranak." Nasihat Adzrul.

"Ha, iyalah. Hang jangan risau." Jawab Luqman.

Setelah Adzrul berlalu, Luqman terus membuka cerita tentang Adzrul. Ingin benar dia mengenali teman rapat isterinya itu.

"Awat dia tu? Muka masam macam kena tampaq malaikat."

"Baguslah kalau malaikat yang tampar dia."

"Awat?"

"Tak tahulah nak describe macam mana. Lembab betul nak take action. Kata cinta tapi tak juga berusaha untuk buktikan cinta. Dia biarkan saja si Fea tu. Try sajalah luahkan. Tolak terima belakang kira. Daripada sakit sendiri, sampai bilapun merana." Berbuah geram kata-kata Fatin. Memang sebelum ini Fatin menyuruh Adzrul berhenti berharap pada Sufea tetapi apabila Adzrul memberitahu Jazlan curang, baginya Adzrul adavharapan.

Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia yang berterus terang kepada Sufea mengenai isi hati Adzrul. Pun demikian, jika dia berbuat begitu Adzrul pasti marah padanya. Dan mungkin juga, Sufea akan memandang serong kepada Adzrul kerana tidak gentleman.

"Entahlah sampai bila masalah ni akan selesai, bang."

SUASANA pantai Pulau Kapas yang begitu indah. Pasir putih, laut membiru. Cukup tenang dia melihat alam semulajadi ciptaanNYA.

Sudah enam hari lima malam Sufea berada di Pulau Kapas ini. Hatinya cukup tenang. Tambah pula apabila melakukan pelbagai aktiviti seperti menyelam dan berkayak, Sufea lupa pada masalah yang dialami. Dia yang sepatutnya hanya berada dua tiga hari di sini, melanjutkan masa sehingga dua hari lagi. Dia hanya akan keluar pulau pada hari Selasa.

Cuti yang diambil selama 10 hari bermula Khamis minggu lalu dan akan berakhir pada Sabtu ini, amat berbaloi kepada Sufea. Masa tidak terbuang begitu sahaja. Dan hari ini Sufea mengambil keputusan hanya untuk menghadap laut. Memerhati gelagat orang yang kadang kala membuat dia tersenyum sendirian.

Kehilangan Jazlan sangat memberi kesan kepadanya. Malah dia sendiri tidak tahu apakah Jazlan benar-benar memutuskan hubungan mereka atau tidak. Dia mahu menyembunyikan rasa hatinya. Biarlah hanya Rania seorang yang tahu mengenai situasinya dengan Jazlan. Namun dia tidak mahu Rania tahu yang dia mengambil keputusan untuk menunggu Jazlan.

SMS yang diterima oleh Sufea begitu samar. Hanya seperti satu perasaan yang marah. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut, Sufea tidak dapat menghubungi Jazlan dan dia tekad tidak akan cuba untuk berbuat demikian. Dia hanya perlu menunggu Jazlan menjelaskan segala-galanya.

"Maafkan aku Nia. Aku tak dapat lupakan Jazlan. Selagi Jazlan tidak menyatakan hasratnya yang sebenar, selagi itu aku menunggunya. Aku pasti suatu hari nanti dia akan datang mencari aku." Bicara Sufea. Luahannya hanya didengari oleh angin, pasir, ombak dan cahaya.

Menjejak BahagiaWhere stories live. Discover now