39 - Cemburu

377 5 5
                                    

HARI ini masuk hari keempat Sufea berada di KPJ Specialist Hospital. Dia belum dibenarkan untuk keluar wad kerana bacaan darahnya masih rendah. Sekarang dia sedang menerima darah untuk pain yang kedua.

Sufea kasihan dengan Adzrul yang sentiasa di sisi untuk menjaganya. Seakan suaminya pula yang tidak terjaga makan dan minum. Semalam ketika Adzrul menjaganya, mereka berbual mengenai perancangan hari ini.

"Esok awak pergilah kerja." Pinta Sufea.

"Habis, siapa jaga awak?"

"Saya boleh jaga diri sendiri. Takpun, umi boleh jaga saya."

"Umi? Tak ganggu umi ke?"

"Saya ada call umi tadi. Dia kata esok dia boleh teman saya kat sini. Lagipun dia nak masakkan saya sup ubi bit dan nak bagi saya makan buah delima." Jelas Sufea.

Perbincangan itu membawa kepada persetujuan Adzrul. Dan hari ini tidak ada kelibat Adzrul menemaninya. Sufea menanti kehadiran Hajah Kalsum untuk memberikan dia sup ubi bit.

Ubi bit adalah sejenis ubi yang berwarna merah. Ianya dapat membantu bagi menambah sel darah merah sekaligus membantu menambah kepekatan darah. Fungsi yang sama seperti bayam merah.

Buah delima pula adalah buah yang cukup kaya dengan khasiat tersendiri. Selain dapat membantu menambah darah, buah delima juga baik untuk membantu tahap kesihatan manusia. Sebab itulah, ramai yang menggunakan buah delima sebagai bahan utama untuk membuat jus kesihatan. Seperti yang dilakukan oleh Puan Atikah untuk produk kesihatannya.

Hati ayam juga merupakan salah satu bahan makanan yang dapat membantu menambah darah. Pun demikian, Sufea tidak gemar memakan hidangan berasaskan organ dalaman binatang.

"Puan, apa khabar hari ni?" soal Dr Rahmat.

"Alhamdulillah. Doktor, hari tu berapa ya bacaan darah saya lepas dah tambah satu pain?"

Doktor Rahmat mengambil kertas catatan yang di sangkut pada hujung katil Sufea.

"Baru 6.6, puan. Selagi bacaan hemoglobin puan rendah, selagi tu puan di sini." Jelas Dr Rahmat.

"Hari ni, saya akan check blood pressure puan, ya. Lepas sarapan nanti, puan jangan lupa makan ubat yang nurse bagi."

Sufea sekadar memberikan anggukan.

Dari mula ditahan di wad, dia sudah diberikan ubat menambah kepekatan darah tetapi hasilnya tidak juga menakjubkan. Sebab itulah dia meminta uminya untuk memasak sesuatu yang boleh menambah kepekatan darah.

Sementara menanti Hajah Kalsum, Sufea asyik melayan PSP yang dibekalkan oleh Adzrul. Namun sedang dia asyik bermain, deringan mesej telefonnya berbunyi. Sufea berhenti untuk melihat mesej yang masuk.

'Mesej dari Jazz' bisik hati Sufea.

Jazlan : Salam. Apasal awak tak datang majlis saya? Suami tak bagi ke?

Sufea terkedu. Jika bukan sebab keguguran ini berlaku, Sufea akui dia lupa akan majlis persandingan Jazlan. Sakit yang dialaminya membuat dia lupa kepada sesuatu yang sudah dirancang. Mujurlah dia mengalami musibah, ada juga alasan untuk diberikan kepada Jazlan.

Jazlan : What? Awak kat hospital mana sekarang? Saya dan isteri nak datang melawat

Awalnya Sufea tidak mahu memberitahu tetapi Jazlan memujuk dan mendesak. Akhirnya Sufea akur terutama apabila Jazlan memberitahu yang dia akan berbulan madu. Jauh di sudut hati, mahu juga berkenalan dengan isteri Jazlan.

"Assalamualaikum." Sufea segera berpaling. Hajah Kalsum tiba dengan mangkuk tingkat dan sebuah bekas tahan panas.

"Walaikumsalam umi." Tangan Hajah Kalsum diraih dan dicium.

Menjejak BahagiaWhere stories live. Discover now