33 - Rawan

290 6 2
                                    

SEJAK peristiwa 'kantoi' itu, hubungan Adzrul dan Sufea dingin. Sedingin kutub selatan. Suasana rumah mereka yang sunyi bertambah sunyi tanpa ada gelak tawa mereka bersama. Jika adik-adik Adzrul, Adznita, Adzwan dan Adzlan datang dan bermalam di rumah mereka, barulah kesunyian itu pergi.

Ketika majlis bacaan yassin di rumah mereka bersamaan dengan harijadi Adzrul Februari lalu, Adzrul begitu terasa dipermainkan perasaan. Sufea sangat mesra sehingga seperti tidak ada berlaku sebarang perbalahan. Rupanya kemesraan itu hanya lakonan semata-mata. Setelah majlis selesai, Sufea kembali tidak bersuara.

Dan lebih dua bulan, Adzrul sudah memahami sikap Sufea. Jika ada adik beradiknya, Sufea pasti mesra sekalipun di bilik tidur mereka tidak mesra. Jika mereka berdua sahaja di rumah, Sufea akan membisu seribu bahasa. Jika ditanya, dia hanya akan menjawab sama ada entah, tidak tahu, tidak mahu, tidak dan ya. Malah, Sufea akan berpindah bilik menjelang tengah malam.

Pernah sekali Adzrul meninggi suara kerana sikap Sufea yang endah tak endah terhadap dirinya. Marah Adzrul pada Sufea begitu menggunung tika itu hingga tangannya hampir hinggap ke pipi Sufea. Sepatahpun Sufea tidak menjawab. Sufea membiarkan sahaja telinganya menerima pekikan kemarahan. Habis marah Adzrul, Sufea berlalu dan terus mengurung diri di bilik tetamu.

Kesudahannya, lebih kurang seminggu juga Adzrul ke pejabat tanpa sarapan dan makan malam hanya sekadar nasi putih, ikan goreng dan sayur. Menu yang sama setiap hari. Hanya jenis ikan dan sayur berbeza. Itupun ketika makan dia tak dipanggil. Tahu-tahu sendirilah bila makanan sudah dihidang. Malah, dia makan sendirian. Jika kebetulan makan bersama semeja, Sufea akan berhenti makan dan berlalu ke ruang tamu. Sufea hanya akan menyambung semula aktiviti tersebut setelah Adzrul selesai makan.

Betapa Adzrul rasa tertekan dan terseksa.

Apabila dia meminta maaf, barulah sikap Sufea berubah. Pun demikian, isterinya itu masih 'bisu'. Adzrul sudah buntu untuk memikirkan bagaimana dia harus memujuk Sufea. Sufea isterinya ini, jauh berbeza dengan Sufea sahabat baiknya. Hendak mengadu dengan Rania atau Fatin, bimbang pula marah Sufea bertambah.

Aduh, bagaimana harus dipujuk hati yang penuh rawan itu?

Adzrul tidak mahu mereka berterusan begini. Apa lagi cara? Marah sudah, bincang sudah, pujuk pun sudah. Semua perkara tidak berhasil. Sufea masih begitu.

Mana nak fikir pasal kerja di pejabat. Fikir hal Sufea lagi. Pening kepala Adzrul untuk mencari resolusi. Apa tah lagi, hari ulang tahun perkahwinan mereka sudah hampir tiba.

'Sayang, lembutkanlah hatimu untuk memaafkanku'.

Menjejak BahagiaWhere stories live. Discover now