38 - Pendarahan

339 6 1
                                    

SUFEA rasa tidak selesa. Tidak pernah dia mengalami senggugut begini teruk. Malah haidnya belum ada tanda untuk berhenti. Dia juga hairan. Sepatutnya, jika sudah memakan ubat, pasti darah haid akan berhenti.

Sakit gigi hilang, sakit lain pula yang muncul.

"Sayang ni kenapa?" soal Adzrul.

Sufea menoleh. Adzrul tika itu sedang mengenakan tali leher. Sufea menghampiri dan membetulkan ikatan tali leher tersebut.

"Kenapa? Nampak pucat je ni. Tak sihat?" Adzrul meraba-raba wajah Sufea, leher juga lengan.

"Saya sihatlah. Perut ni hah, sakit sikit. Dah dua tiga hari dah."

"Senggugut?" Sufea angguk. "Dah hari ke berapa ni? Nak tak pegi klinik?"

"Hari kelima dah ni. Tak apalah. Saya dah makan panadol menstrual."

"Eh, lewat pula senggugut ni datang yea. Biasanya awak meragam awal-awal period tu."

"Tak tahulah. Hormon changes kot. Teruk sikitlah kali ni."

"Jaga diri ya. Abang pergi kerja dulu." Sufea hanya mengangguk.

Setelah mengucup dahi Sufea yang telah menyalam tangannya, Adzrul berlalu meninggalkan Sufea untuk ke pejabat. Sufea pula masih bersiap-siap. Hatinya terbahagi dua sama ada meneruskan untuk ke pejabat atau ke klinik secara sendirian.

Aliran darah benar-benar menimbulkan ketidakselesaannya. Ditambah pula dengan perut yang menyucuk-nyucuk. Malah dia terpaksa memakai tuala wanita bersalin.

Sufea keraskan hati untuk ke pejabat.

Hampir 15 minit bersiap, Sufea segera turun ke bawah. Di tangannya ada dua helai kain sarong. Dalam fikirannya, dia mahu menjadikan kain itu sebagai alas di tempat duduk pemandu. Bimbang berlaku 'tumpah darah' dalam perjalanan ke pejabat.

Baru sahaja Sufea bersedia untuk keluar rumah, dia berasakan kesakitan yang amat pada perutnya. Kesakitan itu seakan mengganggu sistem pergerakan kaki dan tangannya. Mujurlah kereta MyVinya jenis automatik.

Sufea gagahkan tubuh dan hatinya untuk memandu. Pun demikian, kesakitan itu menghalangnya.

Telefon bimbit segera digapai. Sufea menelefon Zaharah.

"Ara, kau dah sampai office ke?" Tergetar-getar Sufea.

"A'ah. Kenapa, Puan? Puan kat mana ni? Dah nak dekat pukul lapan ni."

"Minta Fadley hantar kau sekarang kat rumah aku. Naik motor ya. Emergency ni. Nanti aku SMS Puan Atikah. Cepat tau."

Zaharah akur.

Lebih 10 minit Sufea menunggu, barulah Fadley tiba membawa Zahara. Tika itu Sufea benar-benar sudah tidak berdaya untuk bergerak.

Zahara mengetuk-ngetuk cermin tingkap kereta. Perlahan-lahan Sufea membuka pintu kereta.

"Kenapa ni, Fea?" soal Zahara. Dia menghilangkan gelaran hormat pada ketuanya.

"Ara, perut aku sakit sangat ni. Aku nak minta kau bawa aku ke hospital."

"Fea keguguran kot," duga Zahara.

"Tak tahu, Ara. Sakitnya tak seperti biasa."

"Mari, saya bantu Fea pindah ke belakang."

Zahara menguak pintu lebih luas agar dia dapat membantu Sufea. Saat Sufea berdiri, dia berasakan ada ketulan darah keluar.

"Arghhh..."

Jeritan Sufea membuat Zahara dan Fadley terkejut.

"Kenapa Fea?"

Sufea mengangkat kain baju kurungnya di atas paras buku lali kerana berasa ada air mengalir pada batang pehanya. Terlihat olehnya darah yang mengalir.

Menjejak BahagiaWhere stories live. Discover now