18 - Ke Luar Negara

277 6 6
                                    

HANYA kerana ingin menyelesaikan masalah, Sufea sanggup mengikut Adzrul ke suatu tempat yang dia sendiri tidak tahu. Adzrul hanya memberitahunya, bawa passport dan pakaian dalam dua hari. Duit hanya bawa jangan sampai RM1,000. Malah Adzrul memberitahunya, dia sudah mendapatkan kebenaran secara lisan dari kedua ibubapa Sufea untuk membawa dia berjalan-jalan.

Sekarang, dia pula yang terpaksa memohon cuti kepada majikannya selama dua hari. Mujurlah tidak ada benda yang penting untuk dilaksanakan. Tambah pula dia belum pernah bercuti dari awal tahun. Tak pasal-pasal cuti hanya kerana ingin melunaskan nafsu memarahi Adzrul.

Buat masa ini Sufea belum mahu memikirkan di mana Adzrul akan membawanya. Dia hanya berdoa akan tempat yang dipilih oleh Adzrul adalah tempat paling sesuai untuk dia meluahkan ketidakpuasan hatinya.

Adzrul datang menjemputnya dengan teksi.

Sepanjang perjalanan, tiada sebutir perkataanpun keluar dari mulut kedua-duanya. Senyap. Hanya siaran radio Era sahaja yang berkumadang dalam perut teksi.

Tiba di KLIA, Adzrul membayar tambang teksi tanpa mengambil baki. Dia terus sahaja membawa Sufea merentas laluan ke penerbangan Antarabangsa. Barulah mula timbul rasa hairan Sufea. Dia ingin bertanya tetapi dilihatnya Adzrul begitu serius.

"Minta IC," pinta Adzrul. Sufea memberikan kad pengenalannya kepada Adzrul.

Sufea melihat jadual penerbangan yang dimainkan oleh skrin LED. Dia hanya meneka-neka dalam fikiran arah yang akan mereka tuju. 'Takkan Dubai. Banyak duit dia nak bawa aku ke sana'. Sufea bermain dengan fikirannya.

"Dah, jom. Dua jam lagi flight kita akan berlepas," arah Adzrul.

'Dua jam?' Sufea melihat skrin LED. 'Ho Chi Minh?'

"Eh, kenapa pula nak bawa aku sampai ke Vietnam ni?" Sufea mula rasa tidak senang hati.

"Please read the term and condition that I made yesterday. Kau dah setuju dan sanggup. Jangan buat-buat lupa pula." Balas Adzrul

"Tapi..." Adzrul segera mengangkat tangan supaya Sufea berhenti berbicara. Adzrul mengambil telefon bimbitnya dan melihatkan semula mesej yang diterimanya semalam

Sufea : I agree and am willing to wherever you bring me. No suggestion, no objection, I am following the flow.

Sufea tergamam.

"So... Just follow the flow, sayangku."

'Kurang asam betul!' bentak Sufea dalam hati.

Sufea mengalah.

Mereka memasuki ruangan pemeriksaan imigresen untuk pemeriksaan pasport. Sejurus kemudian, Adzrul terus sahaja membawa Sufea ke Money Changer untuk menukar matawang. Adzrul memberitahunya agar membahagikan wang sakunya kepada tiga bahagian.

Satu bahagian wang sakunya ditukar kepada matawang Vietnam adalah Dong (VND) dan satu bahagian lagi kepada dolar. Selebihnya kekal sebagai ringgit Malaysia. Dong dikira 100VND = 0.0208MYR manakala dolar pula dikira 1USD = 3.6730MYR. Terkial-kial Sufea menyediakan dompetnya kepada tiga tempat menyimpan matawang berlainan.

"Kenapa? Tak pernah nampak duit 500k ke?" Sufea tidak menjawab. "Dah kaya raya tu, hati-hatilah."

Sufea buat-buat tidak dengar. Selesai berurusan, mereka menanti di ruangan menunggu Pintu C031.

Sufea tidak mahu duduk dekat dengan Adzrul. Baginya duduk dekatpun tidak ada apa yang hendak dibualkan. Sakit hati, geram semuanya bercampur baur. Malah dia juga turut rasa menyesal kerana terlanjur mempersetujui syarat Adzrul. Dia juga yang merana.

Menjejak BahagiaWhere stories live. Discover now