20 - Perjanjian

227 7 2
                                    

SUFEA banyak merenung siling biliknya. Kenangan semalam dan sehari yang lalu berada di Vietnam begitu menerjah mindanya.

Sejam yang lalu dia baru tiba di rumah. Babah dan uminya tidak ada di rumah. Berada dalam perut kapal terbang selama dua jam dan hampir setengah jam berada dalam teksi amat menyengalkan tubuh Sufea sekalipun tidak banyak pergerakan dilakukan.

Memori bersama dengan Adzrul di Vietnam amat menyentuh hati kecil Sufea sekalipun mereka lebih banyak bergaduh. Apa tah lagi berkenalan dengan saudara Adzrul di sana. Semalam, mereka menikmati makan malam di rumah Nur Faridah.

Kenangan paling mencuit hati Sufea ialah bila dia tidak menyedari apa yang dia bicarakan semasa di Pasar Ben Thant. Sufea berasa sangat malu. Dia menjadi watak penentang tetapi apabila tersalah cakap, dia seperti menjadi orang yang bersetuju dalam segala hal.

"Mampukah kita Adz untuk menjadikan perkahwinan itu hanya sekali seumur hidup?"

Pertanyaan yang tidak ada jawapan. Jawapan yang paling layak dan benar hanyalah perkataan insya-Allah.

Sufea mengambil diarinya. Di buku inilah tercatatnya perjanjian mereka kali kedua setelah perjanjian pertama secara lisan telah dilanggar. Perjanjian ini yang dimetrai bersama, sama ada rela atau tidak inilah yang mereka telah persetujui.

Perjanjian mereka ini umpama menandatangai memorandum persefahaman. Siap dengan tandatangan dan tarikh ditandatangani sekalipun tidak lengkap tanpa ada cop Pesuruhjaya Sumpah.

Dengan ini, saya Sufea Nur Haseena Roslan dan pasangan saya Adzrul Firdaus Hashim akan mematuhi perkara-perkara berikut:-
1- tidak boleh menyebut nama Qayyum atau mengaitkannya walau dalam apa sekalipun keadaan. Kerana lelaki itu tidak ada kena mengena langsung
2- akan menutup semua akaun sosial. Facebook dan Perfspot untuk Sufea. Facebook, Friendster, Flickr, Twitter dan Perspot untuk Adzrul sebaik tiba di Malaysia
3- setelah berkahwin, masing-masing perlu menjalankan tugas sebagai suami isteri kecuali hubungan kelamin. Ringan-ringan sahaja
4- perlu tinggal di rumah sendiri
5- tiada halangan untuk masing-masing jika mahu menyambung belajar
6- apabila ulang tahun perkahwinan tiba, mesti meraihkannya tanpa sebarang alasan dan syarat
7- Adzrul dikehendaki berkahwin dengan Laila apabila tiba masa yang sesuai dan Sufea rela untuk dimadukan jika belum ada kata putus Jazlan untuk mengahwini Sufea
8- Adzrul akan menceraikan Sufea apabila sudah ada kata putus dari Jazlan untuk menikahinya.
9- Perjanjian ini perlu dirahsiakan. Tidak ada sesiapa yang boleh mengetahuinya melainkan orang yang menandatangan perjanjian ini

Perjanjian ini juga turut dicatat di dalam diari Adzrul. Sufea pasti, jika rahsia ini terbongkar, dia akan dimarah habis-habisan oleh babah dan umi.

Perkara satu, tiga, tujuh dan lapan adalah perkara yang Sufea mahu dan selebihnya adalah perjanjian yang dibuat oleh Adzrul. Bagi Sufea, perjanjian yang mereka reka ini langsung tidak menepati ciri-ciri kualiti dan keterjaminan.

Tidak ada kata putuspun jika sekiranya perjanjian ini dilanggar atau tidak ditunaikan. Entah apa akan berlaku jika sekiranya Jazlan tidak bersetuju untuk berkahwin dengan Sufea. Begitu juga dengan Adzrul jika sekiranya Laila tidak mahu menerima Adzrul sebagai suami. Apa akan jadi?

Ahhhhhh!

Sufea tidak mahu memikir masa hadapan. Apa yang penting baginya sekarang, sekurang-kurangnya perjanjian tersebut akan menjamin kedaraannya. Sufea yakin.

Sufea mengambil komputer ribanya. Dia log masuk akaun Facebook dan Perfspotnya hari ini hanya untuk menutup akaun tersebut. Sama ada untuk selamanya atau untuk sementara waktu, dia sendiri tidak tahu. Yang penting, dia menunaikan apa yang telah dijanjikan.

Setelah log masuk akaun Facebook, Sufea menerima 73 notifikasi, satu mesej dan 19 orang mahu menjadi rakan.

"Aduh, kesiannya. Terpaksa deactivate FB hari ni." Sufea mengklik ikon berupa orang yang ingin menjadi rakannya. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat salah seorang daripadanya adalah Robert Ivan Hansen.

Sufea menghantar mesej peribadi kepada Ivan untuk menyatakan dia tidak lagi menggunakan Facebook. Dia meminta untuk Ivan terus menghubunginya melalui emel sahaja.

Sufea kemudian ke profilnya. Dia membaca status terakhirnya. 34 komen. Statusnya itu adalah status lima hari yang lalu, sehari sebelum dia bertunang.

Jika boleh aku belum mahu dan tidak mahu mengalaminya bersama dia ketika ini tetapi itulah yang terpaksa aku tempuh. Semoga ini bukanlah takdir duka untukku, untuk kami .Rahmatilah kami, Ya Rabb

Apabila Sufea membaca komen-komen dari rakan-rakan Facebooknya, rata-ratapun mengucapkan tahniah atas pertunangannya dengan Adzrul. Lebih-lebih lagi komen dari Rania dan Fatin.

Dan akhirnya curser diarah kepada akaun. Tanpa berfikir panjang, perkataan "deactivated" terus ditekan. Selesai 'kerja' di Facebook, Perfspot pula. Di laman sosial Perfspot, pening Sufea mencari untuk mematikan akaun.

Dia terpaksa mencari data melalui enjin carian yahoo. Hanya menghantar emel kepada support@perfspot.com dengan tajuk emel mestilah "Delete My Account". Rasa menyesal pula mendaftar dengan laman sosial yang susah nak tutup. Terpaksalah menunggu respon emel dari Perfspot sebagai pengesahan yang akaun sudah dinyahaktifkan.

Telefon bimbit digapai. Nombor telefon Adzrul didail.

"Assalamualaikum," ucap Sufea sebaik mendengar perkataan 'hello' di hujung talian.

"Aik, rindu dah ke?" seloroh Adzrul.

"Taklah. Just nak gitau, aku dah deactivated FB. PS tu pula kena inform dengan support team mereka untuk deactived via email." Beritahu Sufea.

"Hah, sampai macam tu sekali ke?"

"Tu lah, nak sangat ajak aku buka akaun kat PS."

"Iskh nak salahkan aku pula dia ni."

Dan, mereka bergaduh sekali lagi hanya kerana perkara yang sekecil itu.

Menjejak BahagiaWhere stories live. Discover now