40 - Kekecewaan seorang isteri

522 10 2
                                    

SUFEA mendapat cuti sakit selama sepuluh hari dan ianya akan berakhir lima hari lagi. Baginya ia sudah cukup untuk mengembalikan tenaga pada tubuhnya yang hilang. Jika mengikut uminya, rehat bagi wanita yang keguguran adalah lebih kurang 15 hingga 30 hari.

Dan hari ini, hari Rabu dia akan kembali ke rumah kelaminnya di Taman Sutera. Dia tidak memberitahu Adzrul yang dia akan keluar wad hari ini. Baginya itu tidak penting. Adzrul tidak akan peduli dia keluar hospital atau tidak.

Sejak mereka tidak sependapat pada Isnin lalu, mereka berdua bagaikan orang asing. Semalam Adzrul datang melawat selepas balik kerja. Sekadar hanya melihat batang tubuh Sufea ada di atas katil, dia terus berlalu. Secepat Speedy Gonzalez.

Tingkah Adzrul itu membuat Sufea mentafsirkan yang Adzrul tidak mempedulikannya. Dia juga merasakan yang Adzrul masih terasa hati padanya gara-gara kehadiran Jazlan yang datang melawatnya.

Setelah mendapat surat cuti sakit, ubat dan resit pembayaran bil, Sufea berlalu meninggalkan KPJ Kajang Specialist. Dia berharap hanya akan datang ke sini semula jika dia mahu melahirkan anak.

Kereta MyVi hijau olivenya menanti di kawasan parkir. Setiap hari Adzrullah yang akan memanaskan enjin kereta. Namun, dua hari kereta kesayangnya itu terbiar seperti dirinya. Sebelum ini Adzrul ada berhajat untuk membawa balik MyVi tersebut tetapi Sufea menghalang.

Ada hikmah pula di sebalik keberatan hati Sufea mahu kereta ini ditinggalkan di kawasan parkir. Mujur juga tidak ada berlaku kecurian.

Tiba di rumah, Sufea sangat lega. Keadaan ruang tamu dan dapur sangat kemas. Hanya di sinki saja ada dua tiga biji gelas untuk dibersihkan.

Sufea meninggalkan ubatnya di atas meja dan kemudian berlalu menuju tingkat atas. Sufea sedikit terkejut melihat katil yang tidak berkemas. Mungkin Adzrul terbangun lewat hingga tidak sempat mengemas bilik.

Tangan Sufea mula ligat mengemas katil.

"Hai lah katil, malam ni aku tidur di bilik tamulah nampaknya."

Sedang Sufea mengemas katil, dia berasa ada kelainan. Cadar seperti lembab dan sedikit panas. Mustahil pula Adzrul baru bangun tidur. Dia mengabaikan dan terus mengemas. Pun demikian, Sufea terhenti bergerak tiba-tiba. Dia mengangkat kakinya.

"Iskh, takkan buang kahak kat atas karpet!" Omel Sufea. Dia berasa geli apabila terpijak sesuatu yang berlendir pada karpet. Lantas dia mengambil tisu dan melap tapak kakinya.

Sufea berhajat hendak membuang tisu di tong sampah di bilik air sekaligus mencuci kakinya. Namun langkah Sufea terhenti sebaik menghampiri bilik air. Sufea terdengar bunyi gelak ketawa dari bilik air. Hatinya berasa sangat berdebar. Langkah demi langkah dia menghampiri pintu. Gelak itu makin jelas.

"Afie, seronoklah macam ni. Boleh mandi sama-sama."

"Baru you tau seronok. Hebat tak I tadi?"

"Awesome!"

'Siapa Afie? Siapa perempuan bersama dengan dia?'. Sufea jadi sangsi.

Dia hairan kenapa ada orang memasuki bilik mereka tetapi tidak mengunci bilik. Adakah orang hendak mencuri tetapi melakukan maksiat terlebih dahulu? Jika ada tetamu, kenapa Sufea tidak nampak banyak kasut di kaki lima? Adakah tetamunya semua menyimpan kasut mereka di rak kasut yang bertutup itu?

Arghhh! Sufea sakit hati.

Sufea lantas mengambil telefon bimbitnya. Dia bersedia untuk merakam. Dia tidak punya lagi enam mata sebagai saksi untuk mensabitkan kesalahan, tetapi rakaman itu nanti mampu untuk membuktikan kesalahan mereka.

Sepantas kilat Sufea menyelak pintu bilik mandi. Nyata ianya tidak berkunci. Lagi! Ah bodohnya mereka ini!

Sufea ternganga melihat aksi panas sepasang manusia yang tidak berpakaian. Mereka tidak menyedaripun Sufea membuka pintu.

Menjejak BahagiaWhere stories live. Discover now