41 - Kembali bermesra

559 7 1
                                    

SUDAH seminggu Ramadhan berlayar. Malah ia sudah genap sebulan Sufea meninggalkan rumah kelamin mereka. Adzrul tidak punya masa untuk menukar katil serta karpet baru seperti yang diminta olehnya.

Selama sebulan itu, Sufea berpindah randah antara rumah Haji Roslan dan Hashim. Sama ada Adzrul ada atau tiada di rumah mentuanya, Sufea akan tinggal di sana sebagai tanda menghormati mentuanya. Dia tidak mahu dianggap sebagai pilih kasih.

"Fea tak mahu balik ke Taman Sutera?" Soal Zulaikha.

"Kenapa mama? Dah ada ke jiran mengata Fea tak tinggal dengan Adz?"

"Mulut orang, nak. Asyik-asyik nampak Fea saja sini. Adznya tak muncul."

Sufea mengeluh. "Seminggu sekali Fea balik rumah tapi Adz tak tukar-tukar lagi karpet dan katil tu. Fea tak sangguplah, ma. Masuk saja bilik tu, dah terbayang-bayang. Apa lagi katil. Kalau boleh, dengan rumah sekali Fea nak tukar."

Bahu Sufea ditepuk perlahan.

"Umi Fea ada jumpa mama. Dia beritahu mama yang dia tak faham bila Fea kata bilik tak ubah lagi. Fea tak beritahu dia hal yang berlaku. Bila mama nak beritahu, umi kata dia tak mahu tahu. Awalnya dia ingat Fea memang nak minta dijaga sebab baru lepas keguguran. Tapi bila dah sampai sebulan umi Fea rasa pelik. Dia nasihatkan mama something dan mama fikir mama mesti cakap."

"Apa dia?"

"Fea, mama cakap ni mama sebagai seorang isteri bukan ibu mertua kamu. Keredhaan hidup seorang isteri itu bergantung kepada suami. Syurga untuk isteri itu adalah suaminya. Tambah pula sekarang bulan puasa, suami memang perlukan isterinya untuk penyediaan sahur dan iftar. Janganlah fikir diri sendiri, nak. Fikirlah juga tentang orang lain."

Sufea tidak membalas. Namun otaknya ligat berbicara. 'Ma, I always think about others. Ini saja yang aku rasa aku ikut rasa aku. Kenapa mesti aku yang mengalah?'

"Iyalah, ma. Lepas iftar nanti Fea akan pulang."

Perakuan yang jauh dari keikhlasan. Keterpaksaan yang diiringi kegagalan.

ADZRUL duduk di sofa dan asyik menonton televisyen apabila Sufea tiba di rumah.

"Besar beg cik akak. Dah nak tinggal sini ke?" Adzrul separuh menyindir.

"Walaikumsalam." Balas Sufea.

Sufea tidak lagi menoleh ke arah Adzrul tapi sebaliknya terus ke dapur. Bilik amah itu menjadi tumpuannya. Di sinilah dia akan menginap selagi bilik utama tidak dibersihkan. Dia tidak mahu juga tinggal di bilik tamu lagi kerana berhampiran dengan bilik utama.

Di bilik amah ini sudah lengkap dengan katil, almari dan radio. Cuma belum ada kapasiti untuk melantik seorang amah buat mereka sekarang ini. Maklumlah, masih berdua.

Sufea mengemas apa yang patut. Dia tekad berbuat begini. Bukan untuk memalukan suaminya tapi untuk memberi pengajaran. Cukuplah tamparan tempoh hari terkesan di hati Sufea, jangan pula apa yang diminta tidak diberi. Baginya, tamparan itu adalah sebagai bayaran awal terhadap apa yang dimintanya.

Selesai mengemas, Sufea keluar dari bilik dan menuju bilik utama. Adzrul yang masih menonton TV di ruang tamu hanya memerhati tingkah laku Sufea. Hatinya berdetik, mungkin Sufea sudah mengalah.

Adzrul senyum sumbing.

Rasa kejijikan untuk masuk ke bilik utama bagai belum boleh hilang. Buka sahaja daun pintu, Sufea terus terbayang. Mulutnya kumat kamit beristigfar. Digagahkan jua kaki melangkah ke bilik pakaian untuk mengambil pakaian yang perlu.

Sebakul juga!

Sufea mengambil pakaian luar dan dalam semberono sahaja. Asal boleh disumbat ke dalam bakul pakaian. Dia kemudian ke meja hias mengambil alat solek serta wangian. Ianya juga disumbat di dalam bakul pakaian.

Menjejak BahagiaWhere stories live. Discover now