29 - Bertemu kekasih lama

433 4 6
                                    

HATI Sufea cukup berdebar-debar. Dari petang tadi sehinggalah sudah berada di atas katil bersama Adzrul. Jiwa tidak berasa tenteram selagi dia tidak dapat memberitahu Adzrul mengenai perkara yang bermain di fikirannya.

"Awak ni kenapa?" soal Adzrul bila mula menyedari keresahan Sufea. Tidak pernah dia melihat sepanjang dua bulan bersama Sufea berkelakuan agak tidak keruan. Isterinya itu seakan ada melakukan kesalahan besar.

"Cakaplah." Desak Adzrul lembut.

"Nak minta kebenaran, boleh?" suara Sufea agak tergetar-getar.

Adzrul menyandarkan tubuhnya ke kepala katil. "Apa dia?"

"Nak jumpa dengan kawan."

"Lelaki ke perempuan?"

"Lelaki."

"Siapa?"

Sufea diam. Adzrul tetap menunggu meskipun Sufea lama berdiam. Adzrul berdehem bagi mengingatkan Sufea untuk memberikan jawapan.

"Err..." Sufea sangsi untuk berbicara. Dia cuma mahu Adzrul ingat kepada perjanjian mereka.

"Kenapa tergagap-gagap nak jawap ni? Cakap sajalah." Suara Adzrul sedikit tinggi. Nyata dia bosan menunggu.

"Saya nak jumpa Jazlan esok. Awak bagi ke tidak?" Akhirnya Sufea memberitahu sekalipun dalam keadaan bergetar.

Adzrul tidak pantas menjawab. Terasa membara hatinya sebaik Sufea menyebut nama Jazlan. Di bawah selimut, kedua-dua tangannya sudah tergenggam kemas. Seakan bersedia untuk melakukan tumbukan padu. Dia fikirkan, Jazlan mahupun Laila sudah berkubur sekalipun dia tahu perjanjian itu masih wujud.

"Saya harap awak tak halang saya untuk jumpa dia sebab saya tak akan halang awak untuk jumpa Laila." Sufea bersuara.

Tambah sakit hati Adzrul.

Semenjak berkahwin, belum pernah sekalipun dia bertemu Laila. Mereka hanya sempat berbalas SMS hanya untuk bertanya khabar masing-masing.

Sufea mengiring ke kanan. Dia meraih tangan Adzrul yang membuku lima. Adzrul terkejut. Perlahan-lahan Sufea menghurai jemari Adzrul dan jemari mereka akhirnya bertaut antara satu dengan lain.

"Saya masih isteri awak selagi awak belum berkahwin dengan Laila dan belum menceraikan saya. Saya janji saya akan jaga nama awak sebagai suami saya meskipun saya keluar dengan teman lelaki saya. Saya janji tidak akan melakukan sebarang perangai yang mengundang dosa. Saya janji saya akan jaga maruah saya." Perlahan sahaja tutur kata Sufea untuk melembutkan hati Adzrul.

Bagi Sufea, dia perlu dan mesti berjumpa Jazlan untuk menamatkan hubungan mereka. Namun kisahnya perlu disembunyikan agar Adzrul mahu mengahwini Laila. Rasa bersalah terhadap Laila masih kuat.

Adzrul yang berdiam diri dengan gelocak hati yang membara akhirnya membalas pautan tangan Sufea.

"Demi Allah, saya sangat sakit hati." luah Adzrul jujur. "Adui... tak tahulah nak cakap apa. Saya belum dapat bagi kata putus. Saya nak tidurlah dulu ya." Adzrul melepaskan pautan tangan Sufea dan mengemaskan dirinya untuk tidur. Tubuhnya mengiring ke kanan. Jauh untuk menghadap Sufea.

Sufea redha. Jika dia tidak mendapat kebenaran Adzrul, dia tidak akan menemui Jazlan sekalipun niatnya adalah untuk memutuskan hubungan.

Sufea mengalih jauh tubuhnya. Dia cuba melelapkan matanya tetapi tidak berjaya. Dan saat dia kebingungan itu, telefon bimbitnya bergetar.

'Rania!'

Sufea bangkit dari katil. Dia segera menjawab panggilan dari Rania dan terus berlalu ke ruang tamu.

Menjejak BahagiaWhere stories live. Discover now