Dear My Karmila 2 : Begin Again"Aku tak sejahat yang kau sangka, Karmila."
◾◾◾◾◾
KERETA berhenti bergerak. Mata Karmila jatuh pada sekeliling pantai. Terketar-ketar tangannya memegang stereng kereta. Walaupun pantai itu kelihatan sangat tenang pada renungan mata sesiapa yang datang ke sini, Karmila tidak merasa tenang. Kerana pantai ini, dia diusik kenangan lalu. Dalam asyik merenung sekeliling pantai, Karmila menangkap dua susuk tubuh yang amat dia kenali. Tubir mata tiba-tiba saja panas apabila matanya tidak berhenti merenung pasangan yang sedang bahagia itu.
Kelihatan dia sedang bermain layang-layang sambil dibantu oleh seorang lelaki yang amat dia cintai suatu ketika dahulu. Pasangan itu nampak sangat bahagia pada pandangan matanya yang semakin berair itu. Karmila terus menunduk ke bawah. Setitik air matanya jatuh di atas paha. Sungguh dia tidak kuat berdepan dengan memori lampau yang begitu indah, dan pada masa yang sama; menyakitkan.
"Apa yang you boleh kaitkan dengan layang-layang?" soalnya.
"Cinta yang tidak berbalas itu bagaikan layang-layang terputus tali."
Karmila mencari nafas sambil memejamkan mata. Memori lalu perlu diusir pergi. Dia perlu kuat. Ya, dia perlu kuat menghadapi satu kenyataan. Lelaki itu harus dilupakan.
Aku harus kuat.
Pintu kereta dibuka dan dia melangkah keluar. Apabila kedua tapak kakinya memijak lantai bumi, matanya tertunak ke sekeliling pantai. Wajahnya disapa oleh angin lembut yang sangat sejuk. Dia memeluk tubuh sambil menyambung melihat kawasan pantai. Sesekali matanya dilarikan ke arah lain apabila pandangnya jatuh pada kawasan 'memori lalu'.
Langkah kaki dibuka ke depan. Perlahan-lahan Karmila berjalan sambil menikmati suasana pantai yang sentiasa tenang meskipun pasir pantai sering dihentam ombak besar. Hampir sama dengan keadaan hatinya kini. Masih tenang walaupun dihentam memori lalu.
Sambil berjalan, Karmila berfikir. Adakah benar keputusannya kali ini? Adakah dia akan tenang jika lakukan semua ini? Tapi kata Khairil, jangan lakukan perkara yang boleh memakan diri sendiri. Dan jelas sekali, dia tidak mendengar kata Khairil. Dia tahu, dia sebenarnya degil. Tetapi tidak salah rasanya jika dia mahu mengambil peluang untuk betulkan semuanya agar menjadi lebih jelas. Tidak salah rasanya jika dia berterus terang daripada terus membiarkan ia tergantung sepi. Karmila berhenti melangkah.
Tapi, kuatkah dia?
Kuatkah aku?
Karmila mulai merasa tidak enak. Benarkah keputusannya? Bagaimana jika dia tidak kuat? Bagaimana jika dia jatuh tersungkur lagi? Karmila menggeleng kepala berkali-kali. Walaupun dia berpeluang untuk berpatah semula, dia tetap akan melangkah ke depan. Dia tidak sesekali memandang ke belakang semula!
YOU ARE READING
Dear My Karmila 2 [C]
Mystery / ThrillerBuku Kedua Dear My Karmila. Sila baca DMK sebelum anda tertanya-tanya tentang jalan cerita ini :) • • Sebaik saja Khairul pergi, Karmila diganggu dengan kehadiran seorang lelaki yang dia sendiri tidak pasti siapa. Yang penting lelaki itu persis sepe...