Dear My Karmila 2 : Air Mata"Aku tak sejahat yang kau sangka, Karmila."
◾◾◾◾◾
DERETAN kereta yang sedang beratur di lampu isyarat masing-masing membelok ke tepi. Satu ruang diberikan khas buat beberapa buah kenderaan polis yang sedang melintasi jalan tersebut dengan nyalaan lampu kecemasan. Kelihatan juga sebuah ambulans di belakang deretan kenderaan polis melalui jalan tersebut. Orang ramai mulai membuka cermin kereta masing-masing dan saling bertanya antara satu sama lain dengan soalan yang hampir sama tanpa menghiraukan hujan yang sudah turun dengan lebatnya. Apa yang dah berlaku?
Dalam masing-masing sibuk bertanya tentang soalan yang sama, satu mata hanya mampu melihat dengan satu keluhan yang sangat berat. Seperti ada satu batu besar yang sedang menghempap tubuhnya, Zara tidak rasa yang dia punya waktu untuk berehat dari memikirkan keadaan Karmila. Dalam hatinya tidak berhenti berdoa yang baik-baik buat sahabatnya itu. Zara memulas stereng dan keretanya dibelok ke kanan. Pedal minyak ditekan kuat, dan keretanya bergerak agak laju ke depan. Satu demi satu kereta dipotong. Zara tahu, dia sudah gila kerana memandu seperti ini boleh membuatkan dia hampir hilang nyawa. Tapi nyawa Karmila jauh lebih penting sekarang. Lagi-lagi bila dia mendengar ayat terakhir yang keluar dari mulut lelaki yang baru saja dia kenal sebentar tadi.
"Dan, sebagai salah seorang bekas ahli psikologi. Kau rasa apa agaknya akan dilakukan oleh Karmila jika dia tahu akan hal ini? Apa agaknya dia akan buat jika ada orang pertikaikan mayat suaminya?"
"Lagi-lagi, jika suaminya seorang pembunuh."
"Tak guna!"
Zara menarik brek kereta secara mendadak sebaik saja dia sampai di satu tempat. Pintu terus dibuka dan dibiarkan terbuka dengan begitu sahaja. Serentak itu juga hadir beberapa buah kenderaan di belakang keretanya diikuti dengan sebuah ambulans. Zara terus berlari ke satu arah walaupun hujan sudah semakin lebat. Jantungnya seakan mahu meletup melihat apa yang sedang berlaku di depan matanya. Kelihatan Karmila yang sudah basah seluruh tubuhnya sedang mengheret satu cangkul ke satu kubur. Dia semakin terkejut apabila melihat Karmila sudah mula mengangkat tinggi cangkul itu.
"Karmila!"
Dum!
Zara memejamkan mata apabila ada satu kilat menyambar tidak jauh dari tempat itu. Matanya dibuka semula. Hampir gugur jantungnya melihat Karmila masih selamat berdiri di tempatnya. Malah Karmila seolah-olah langsung tidak terkesan dengan dentuman kilat yang hampir menyambar kawasan tersebut.
"Karmila!"
Zara terus berlari ke arah Karmila yang sudah mula bertindak mencangkul satu kubur dengan kadar laju. Sekelip mata, Karmila ditarik menjauh dari kubur. Malah cangkul yang dipegang oleh Karmila ditendang jauh dari Karmila. Tubuh Karmila yang sudah kesejukan itu kemudian dipeluk erat. Jelas Karmila sedang mengigil kesejukan.
"Karmila, apa kau buat ni?"
Belum sempat dia mendengar apa-apa balasan dari Karmila, Zara hampir jatuh ke tanah apabila tubuhnya ditolak kasar oleh Karmila. Zara jelas terkejut melihat Karmila. Karmila nampak marah sekali padanya. Kenapa Karmila sampai jadi macam ni? Baru saja dia mahu memujuk Karmila supaya berhenti, Karmila sudah mula melangkah ke depan mencari cangkul. Zara jelas terkejut. Cepat-cepat dia bangun dan bahu Karmila segera ditarik.
"Karmila..."
Zara semakin terkejut apabila tubuhnya kembali ditolak kasar oleh Karmila sebelum matanya jatuh pada tangan Karmila yang sudah terketar-ketar menahan sejuk. Memegang sesuatu.
YOU ARE READING
Dear My Karmila 2 [C]
Mystery / ThrillerBuku Kedua Dear My Karmila. Sila baca DMK sebelum anda tertanya-tanya tentang jalan cerita ini :) • • Sebaik saja Khairul pergi, Karmila diganggu dengan kehadiran seorang lelaki yang dia sendiri tidak pasti siapa. Yang penting lelaki itu persis sepe...