Iqbal memecut Range Rover Evoque dengan kelajuan 160km/h. Dia meninggalkan perbincangan yang dikira hampir tamat sebentar tadi selepas mendapat keizinan daripada Datin Sue. Sudah tiba masanya untuk dia pulang berehat. Badannya mula lesu kerana hampir seharian dia bergelumang dengan kertas kerja berkaitan dengan pembinaan bangunan hotel yang terbengkalai di Langkawi.
"Awal Encik Iqbal balik petang ni. Nak akak siapkan makan malam?" Tanya Kak Mona yang merupakan pengasuh merangkap pembantu rumah yang datang setiap hari ke rumah ini.
Iqbal mengerling jam di tangannya, 6.05 petang. Masih awal lagi. Selalunya dia pasti pulang sebelum azan maghrib berkumandang.
"Tak mengapalah akak. Saya masih kenyang lagi," Balas Iqbal sambil menepuk-nepuk perut.
"Kalau akak nak balik, akak boleh balik dulu. Mana Ameena?" Soal Iqbal sambil matanya tertinjau-tinjau ke ruang tangga yang menghubungkan aras bawah dengan tingkat atas.
"Ameena ada kat atas. Elok lepas mandi dan menyusu, terus tertidur. Hari ni si kecik tu tak banyak ragam. Seronok berlari ke sana sini, dah dapat kaki. Penat agaknya, itu yang tak sempat tunggu daddy sampai, dia dah tidur. Lenguh pinggang akak hari ni main kejar-kejar dengan dia".
Tertawa Mona apabila mengenangkan keletah anak majikannya yang sudah mula pandai berlari. Pantang dilepaskan, pasti laju sahaja si kecil itu berlari ke sana ke mari. Ada ketikanya apabila jatuh, dia sekadar tertawa riang, namun adakalanya akan menangis kesakitan pula. Segala perkembangan anak kecil itu pasti akan diceritakan kepada Iqbal sebelum dia beransur pulang.
Iqbal tersenyum lebar mendengar laporan dari kak Mona. Tak pernah jemu dia bertanya tentang aktiviti anaknya setiap hari. Apa sahaja perkara yang berkaitan Ameena, dia sangat teruja untuk mengetahuinya. Terasa rindu untuk bermain-main dengan si kecil.
Selepas membenarkan Kak Mona pulang, Iqbal terus memanjat tangga untuk ke bilik anak perempuannya yang menjangkau usia setahun dua bulan itu.
Pipi montel anak kecil bernama Ameena Delisha itu disentuh dan dikucup lembut. Perasaan sayu mula bertandang di dalam hatinya. Si comel ini adalah sumber kekuatan jiwanya. Kehadiran Ameena sedikit sebanyak dapat merawat luka di hati yang telah pun bernanah sejak hampir dua tahun yang lalu.
Setiap hari dia pasti merindui keletah manja Ameena, sehinggakan dia tidak betah untuk berkerja di luar kawasan kerana tidak sanggup menahan rindu apabila terpaksa berpisah walaupun untuk sehari dua.
Dia duduk berlunjur sambil belakang badan bersandar pada baby cot, mengenangkan sikap isterinya yang semakin hari semakin menguji kesabarannya. Sebelum kehadiran Ameena, dia tidak kisah langsung apabila Yasmeen Lee mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Namun hancur hatinya apabila selepas kelahiran Ameena, anak kecil itu juga dinafikan haknya sebagai seorang anak.
Tak terjangkau dek fikirannya apabila Yasmeen secara terang-terangan mengatakan bahawa dia tidak sudi untuk menyusukan apatah lagi mengasuh Ameena. Baginya, si kecil itu menyusahkan dan menghalang dirinya untuk meneruskan kerjayanya sebagai seorang model yang sedang mencipta nama dalam industri fesyen di dalam dan luar negara.
Peristiwa beberapa hari selepas kelahiran Ameena kembali menerjah lorong ingatannya.
"I dah kata I tak nak dia. You jangan nak paksa-paksa I. Kalau you nak sangat budak tu, you jaga dia sorang-sorang! Jangan nak libatkan I!"
Tengking Yasmeen apabila dia meminta isterinya itu menyusukan Ameena yang sedang menangis kelaparan.
"Astaghfirullah al'azim... Mengucap Meen. Itukan anak yang lahir dari rahim you, anak kita. Anak itu adalah anugerah Allah. Menjadi amanah dan tanggungjawab kita untuk menjaga dan membesarkan dia."
YOU ARE READING
Yang Terlarang Itu Godaan
Romance"Aku tahu adalah HARAM untuk kita berdua jatuh cinta, namun hati ini tak mampu menidakkan perasaan indah terhadapmu." -Iqbal Zikri. "Rahsiakan cinta ini, biar tersimpan sampai mati. Untuk membunuh 'rasa' ini, aku perlu mati terlebih dahulu." -Mardia...