Baju kemeja biru muda yang basah lencun ditanggalkan daripada tubuh sebelum dicampak ke dalam boot belakang kereta. Muzaffar bergerak ke sisi kereta lalu memgambil sehelai jaket Hackett daripada material cotton yang tergantung di dalamnya untuk disarung ke tubuh. Dia berasa cukup rimas disebabkan tubuhnya basah dek hujan dan juga peluh.
Sempat dia menjeling ke arah Iqbal yang terlentang di tepi padang. Kelihatan tubuh lelaki itu bergerak-gerak. Sengaja dibiarkan sahabatnya itu terbaring di situ.
Dalam hati tertanya-tanya, adakah dia berasa puas setelah dapat melepaskan amarahnya kepada Iqbal? Tidak! Sebenarnya dia berasa sungguh kecewa. Kecewa kerana dikhianati oleh dua insan yang amat dia percaya dalam hidup.
Kecewa dengan perbuatan isteri dan sahabatnya.
Steering kereta dihentak sekuat hati. Rasa geram masih belum pudar. Terdapat pelbagai persoalan yang berputar di dalam benaknya. Kenapa Iqbal tergamak untuk merampas apa yang masih menjadi miliknya? Kenapa Mardiana sanggup melakukan perkara terkutuk di belakangnya? Di mana silapnya sebagai seorang suami? Di mana silapnya sebagai seorang sahabat?
Segala kecurangan mereka sudah terbongkar. Maruah dan egonya sebagai seorang lelaki telah dipijak lumat, hancur berkecai.
Muzaffar mula memandu keluar dari Padang Merbok. Dia mahu meninggalkan ibu kota ini dalam berapa jam lagi. Ikutkan rasa, dia mahu bersendirian buat sementara waktu. Mencari dan meraih kembali kekuatan diri yang telah lumpuh. Dia bakal pergi untuk merawat hati yang luka.
***
Iqbal masih terlentang mengadap langit. Dibiarkan rintik -rintik hujan menimpa dirinya. Pandangan matanya jauh menembusi langit berawan hitam yang sedang memayungi dirinya. Kehitaman awan itu seakan sama dengan hatinya yang dirundung kegelapan. Dirasakan bagaikan alam turut bersedih dengan nasib yang menimpa dirinya, mencintai isteri sahabat baik sendiri.
Perlahan-lahan dia bangkit dan duduk berlunjur. Matanya melingas ke sekeliling. Dia sedar bahawa Muzaffar telah lama pergi. Hanya dia yang masih berteleku di sini dengan berteman rintik-rintik hujan. Pakaiannya lencun dan berlumur dengan selut. Mukanya sudah menjadi bengkak. Andai dilihat dari jauh, kelihatan Iqbal seperti mengalami kesurupan.
Fizikal Iqbal sudah lelah namun jiwanya masih tidak mahu mengalah. Matanya terpejam rapat, dadanya beralun deras. Fikirannya melayang apabila nama Mardiana terungkap dari bibirnya yang lesu.
'Dian.... Akhirnya rahsia kita terbongkar.'
Iqbal berteriak kuat, melepaskan sebuah keluhan kasar yang amat menyeksa jiwanya. Segalanya dilepaskan dengan penuh perasaan dan setelah penat, selajurnya dia menghirup udara, mencangkup nafas yang tidak cukup.
Sakit yang dirasakan pada tubuhnya sudah tidak bermakna apa-apa. Kini, dia puas kerana Muzaffar telah mengetahui perkara yang sebenar. Hasrat untuk memiliki Mardiana bukan lagi sekadar omong kosong. Dia telah berterus terang dan menunjukkan kesungguhannya pada Muzaffar. Selepas ini, dia tidak perlu bersandiwara lagi.
Pun begitu, jauh di sudut hatinya, Iqbal mula terkenang akan kebaikan Muzaffar terhadap dirinya. Sebenarnya ada rasa sesal yang terbit di atas perbuatannya berselingkuh dengan Mardiana. Bohonglah jika dia tidak rasa bersalah. Cumanya, cinta terhadap Mardiana telah membutakan mata dan hatinya. Dia sudah tidak tahu untuk membezakan di antara yang hak dan yang batil.
Mungkin selepas ini dia bakal kehilangan seorang sahabat yang terlalu baik padanya. Tidak mustahil Muzaffar bakal menjadi musuhnya sampai bila-bila. Dia harus akur sekiranya Muzaffar akan membencinya sampai mati. Inilah balasan yang bakal diterimanya kerana mengkhianati erti sebuah persahabatan yang suci.
YOU ARE READING
Yang Terlarang Itu Godaan
Romance"Aku tahu adalah HARAM untuk kita berdua jatuh cinta, namun hati ini tak mampu menidakkan perasaan indah terhadapmu." -Iqbal Zikri. "Rahsiakan cinta ini, biar tersimpan sampai mati. Untuk membunuh 'rasa' ini, aku perlu mati terlebih dahulu." -Mardia...