12

5.7K 63 8
                                    

DENGAN mengenakan skirt tona coklat separas lutut dipadankan dengan blouse bercorak bunga tulip, Mardiana mengatur langkah memasuki ke dalam Quill Mall. Kehadirannya ke sini semata-mata untuk menghilangkan rasa bosan setelah seharian terperuk di rumah. Dia telah berjanji untuk bertemu dengan dua orang sahabat baiknya yang sentiasa galak dan happening apabila berkumpul bertiga.

Semalam Muzaffar telah terbang ke Jerman bagi menghadiri satu sessi 'factory visit' bersama dengan pegawai dan jurutera dari sebuah jabatan kerajaan. Tinggallah dia terkontang-kanting seorang diri di kondo. Bukan Mardiana tidak biasa ditinggalkan sendirian. Alah bisa tegal biasa. Dia sudah mangli ditinggalkan oleh suaminya. Mujurlah Wati dan Fiza sudi mengajaknya untuk berjumpa di mall ini.

"Babe, aku ada rahsia nak beritahu pada korang berdua." Ujar Fiza sambil mengusap perutnya yang sedang memboyot.

Mardiana berhenti dari mengunyah makanannya. Perhatiannya ditumpukan sepenuhnya kepada Fiza. Terasa ingin tahu apa yang ingin disampaikan oleh sahabatnya itu.

"Rahsia apa pulak? Kau ni selalu je ada rahsia. Kau jangan nak membawang yang bukan-bukan ye!" Wati melirik mata sambil bibir tersungging sinis.

"Aku... Aku nak buat pengakuan. Tapi korang berdua jangan terkejut ye. Aku dah tak sanggup simpan lama-lama." Suara Fiza berubah sendu.

"Kenapa ni babe? Just let us know. Kau jangan pendam... Sakit nanti." Mardiana menyedari perubahan riak wajah Fiza yang sedikit muram. Ada kegalauan yang sedang melanda fikirannya.

"Aku mengandung...." Tutur kata Fiza terhenti di situ. Kerongkongnya tampak bergerak-gerak. Tangannya masih membelai perutnya.

"Hissy... Kau ni. Kami tahu yang kau sedang mengandung. Takkan kau letak bola dalam perut kau tu!" Jengil Wati seraya ketawa. Namun selorohnya mendapat sambutan dingin daripada Fiza.

Mardiana mendesis sebelum mencuit lengan Wati. Dia memberi isyarat supaya Wati memberi ruang untuk Fiza meneruskan ceritanya.

"Anak ini bukan anak Hairi."
Ujar Fiza perlahan tetapi lancar. Dia melarikan matanya, tidak mahu menatap wajah kedua-dua sahabatnya.

Wati dan Mardiana saling berpandangan. Mata mereka terkebil-kebil memandang Fiza. Seakan tidak percaya dengan pengakuan yang baru sahaja dilontarkan oleh Fiza.

Fiza melirik seraya mempamerkan senyuman kelat di bibirnya. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan.

"Habis tu anak siapa?" Suara Mardiana menahan getar. Terkejut dengan pengakuan Fiza.

"Anak Sean ke?" Tebak Wati mencelah pertanyaan Mardiana.

"Sean! Siapa Sean? Skandal kau Fiza? Weh, apasal aku tak pernah tahu kau ada skandal? Tak silap aku Sean tu kawan baik Hairi. Oh my God, apa yang kau buat Fiza!!!" Mardiana tersentak apabila mendengar nama lelaki yang terpacul keluar daripada mulut Wati.

Fiza mengangguk perlahan. Cuba membohongi diri sendiri bahawa pengakuannya sebentar tadi bukanlah suatu perkara yang berat. Dia menarik nafas panjang supaya hilang rasa sebal yang berkunjung di dasar hatinya.

"Hairi tahu?" Soal Wati.

Fiza mengeleng-gelengkan kepala, sekali lagi melepaskan keluhan berat.

"Dah nak masuk tujuh bulan, baru kau nak cakap itu bukan anak Hairi. Teruknya kau Fiza!" Wati mengomel. Tangannya laju menepuk lengan Fiza yang berada di sebelahnya.

"Aku takut babe!"

"Berani buat, kena berani tanggung!" Wati mencemuh. Dia menjeling perut Fiza yang sedang memboyot. Ada rasa marah terhadap sahabatnya itu. Baginya perbuatan Fiza sangat melampau. Selama ini dia menyangka Fiza sekadar berkasih dengan Sean. Tidak sampai melibatkan hubungan di ranjang. Hari ini dia berasa kecewa dengan pengakuan sahabatnya itu.

Yang Terlarang Itu GodaanWhere stories live. Discover now