23

4.3K 48 13
                                    

Muzaffar memimpin tangan isterinya keluar dari ruang ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Padang Mat Sirat.

"Bie, dah lama kita tak ke sini,kan? ." Tutur Mardiana manja. Dia memeluk pinggang Muzaffar, erat.

"Ya, kali terakhir dua tahun lepas. Mujur juga I dapat projek di sini, sambil kerja I boleh bawa you jalan-jalan."

"Iyela tu nak bawa I jalan-jalan. Macam I tak kenal you, bila dah hadap kerja, sampai lupa dunia lain. Alih-alih I yang terperap dalam bilik seorang diri." Pangkas Mardiana. Pinggang Muzaffar dicubit perlahan, sengaja menunjukkan rasa geram.

Benaknya mengimbau peristiwa di Terengganu hujung tahun lepas. Janji Muzaffar ibarat membawanya ke bulan dan bintang. Hakikatnya Mardiana yang terperuk bersendirian di hotel selama seminggu. Muzaffar meninggalkan dia seusai subuh dan kembali semula apabila waktu menjengah isyak. Sampai naik muak melihat segala perkara di sekitar Hotel Primula, Batu Buruk.

Bagaimana pula kali ini?

Mardiana tidak mengharap apa-apa lagi. Lagipun tujuan mereka di Langkawi ini bukan untuk berlibur. Kedatangan mereka disebabkan urusan kerja Muzaffar. Biarlah Muzaffar dengan urusan kerjanya. Lagipun suaminya telah menanam tekad untuk menjayakan projek yang dimiliki oleh Datuk Ramlan ini dengan sebaik mungkin. Entah kenapa dia yang beriya-iya untuk ikut Muzaffar ke sini. Walhal, dia tahu dia bakal terperuk seperti yang sudah berlaku.

Hari pertama di Langkawi, Muzaffar ada mengajak Mardiana menaiki cable car. Mardiana menolak keras kerana dia gayat. Kesudahannya mereka menghabiskan masa menyusuri Pantai Cenang.

Mardiana sebolehnya mahu memanfaatkan waktu-waktu yang terluang bersama Muzaffar. Dia bersyukur kerana diberikan peluang untuk mencipta kembali momen-momen indah pada masa ini. Belum terlewat lagi buat mereka berdua untuk membina suasana romantik yang hampir pudar dek kerana sikap Muzaffar yang terlampau mementingkan kerja. Rasa indah itu harus dipupuk semula agar menjadi kenangan untuk masa hadapan.

Berjalan berdua sambil berpimpinan tangan di pantai, saling menceduk air laut lalu disimbah pada tubuh pasangan, membina istana pasir yang akhirnya hancur dihempas ombak, seterusnya menikmati pemandangan matahari berlabuh di ufuk barat. Satu suasana yang sudah lama tidak dikecapi oleh mereka berdua.

Hati Mardiana girang selari dengan ekspresi wajahnya yang berseri-seri. Senyuman tidak lekang di bibirnya. Begitu juga dengan Muzaffar. Tampil dengan sifat yang semulajadi yang selama ini dipendam olehnya.

Mungkin petang ini fikiran Muzaffar berjaya lari dari kekalutan urusan kerja. Atau mungkin dia ingin meraikan detik-detik indah bersama isterinya. Dia sedar, sebelum ini waktu bersama isteri amat terhad. Dia sering dihambat dengan urusan duniawi sehinggakan alpa dengan urusan rumahtangga. Mungkin dengan kesempatan ini, dapat dia meraih kembali keindahan hidup berdua bersama isteri yang dicintai.

Malam itu, Muzaffar membawa Mardiana menikmati hidangan ikan bakar di sebuah restoran berhampiran dengan Pantai Cenang. Walaupun sering dimomok dengan pelbagai cerita negatif berkenaan makanan, servis dan harga yang menjerut leher, Muzaffar tiada pilihan lain. Tambahan pula, Mardiana yang teringin sangat untuk makan ikan bakar. Merengek-rengek isterinya itu mahu makan ikan bakar mengalahkan budak kecil.

Mardiana jelas nampak teruja apabila dihidangkan sepinggan kerapu bakar yang masih berasap. Kecur liurnya melihat ikan itu dihidang bersama kuah kicap beserta bawang dan cili padi. Selera makannya kian menjadi-jadi.

"Eh, you ni mengidam ke apa?" Usik Muzaffar setelah mendapati Mardiana begitu bersungguh-sungguh menjamah ikan bakar. Geli hatinya melihat bibir Mardiana yang sedikit comot ketika meratah ikan bakar. Sehelai tisu diambil dan disapu ke bibir Mardiana.

Yang Terlarang Itu GodaanWhere stories live. Discover now