Sudah beberapa kali dia berkalih tubuh. Sekejap mengiring ke kiri, kemudian ke kanan. Sesekali dia berbaring terlentang. Serba tak kena jadinya. Hatinya dirundung resah. Ada sesuatu yang bermain di fikirannya. Mardiana mengandung?
Ingatannya terimbau pada perbualan dengan Mardiana siang hari tadi.Sebaik sahaja melihat imej sonogram dalam plastik ubat, dia segera menelefon kekasihnya itu.
"Dian sayang, kita perlu jumpa segera. We need to talk!"
"Eh, kan baru je jumpa tadi? You nak apa lagi sayang? Esok ajelah kita jumpa. I penat ni!"
"Tak boleh esok. I nak jumpa you right now." Iqbal mendesak. Plastik ubat digenggam kuat. Jantungnya berdebar-debar. Hatinya menebak sesuatu, dan dia inginkan kepastian!
"Sayang, I baru aje sampai rumah. I penatlah nak kena turun balik. Esok ajelah kita jumpa, lagipun I tak sihat sangat, pening kepala la..." Nada suara Mardiana sedikit tinggi, seolah sedang memarahinya.
Iqbal mengeluh apabila permintaan untuk berjumpa dengan Mardiana ditolak mentah-mentah. Akhirnya dia terpaksa mengalah dan beranggapan bahawa dia tak perlu terlalu mendesak. Dia harus menjaga emosi seorang wanita mengandung. Pengalaman dengan Yasmeen dahulu sedikit sebanyak telah mengajarnya agar bertolak ansur dan memahami perasaan mereka yang agak sensitif. Cumanya, dia nekad untuk berjumpa dengan Mardiana pada keesokan harinya. Tidak boleh tidak!
Iqbal meletakkan tangan di atas dahi seraya melepaskan keluhan panjang. Nafasnya turun naik menahan debaran di dada. Fikirannya masih berpusar pada imej sonogram dan ubat-ubatan milik Mardiana. Dia berdecit seketika lalu menggeleng-gelengkan kepalanya. Jika Mardiana tidak tercicir kertas sonogram bersama vitamin dan asid folik dalam keretanya, tentu sahaja dia tidak menyangka bahawa Mardiana sedang hamil!
Dia bangkit daripada pembaringan dan duduk bersila di atas katil. Badan ditegakkan dan kedua tangan diletakkan di atas peha seolah-olah sedang bermeditasi. Lama dia berkeadaan begitu dengan mata dipejam rapat. Fikirannya sedang menaakul sesuatu. Seketika kemudian, dahinya berkerut dan serentak dengan itu dia membuka mata.
Ibu jarinya mula menguis kening. Ini adalah tindakan luar kawal apabila dia berada dalam keadaan tidak keruan.
'Mungkinkah Dian mengandung benih aku?'
Degupan jantungnya menjadi semakin kencang. Dahinya mula berpeluh dan serentak dengan itu dia mula berasa mual. Mineral water di atas meja sebelah katil dicapai dan diteguk perlahan. Dia berdehem seketika sambil menepuk dada, cuba menghilangkan rasa mual yang datang secara tiba-tiba.
"Anak aku, Dian mengandung anak aku!" Tak semena-mena ayat itu terpacul daripada mulutnya.
Wajahnya berubah riak. Jika tadinya resah, kini secara automatik bibirnya mengukir senyuman. Tiba-tiba sahaja dia berasa amat gembira. Pasti benar bahawa Mardiana sedang mengandungkan benihnya. Sudah sekian lama dia mengimpikan untuk memiliki zuriat sendiri. Walaupun benih itu tumbuh di dalam rahim milik wanita yang bukan haknya, perasaan gembira itu tidak dapat dibendung. Sesuatu harus dilakukan!Dia perlu bertindak supaya Mardiana akan tetap menjadi miliknya secara sah, biarpun dia terpaksa berhadapan dengan Muzaffar.
"I akan halalkan you, sayang. Kita akan bahagia bersama anak kita. I love you, sayang."
Dia sudah nekad. Selama mana mereka berdua harus bergelumang dengan dosa? Anak yang bakal lahir itu tidak berdosa. Dia dan Mardiana harus berusaha untuk menghalalkan hubungan mereka demi memaknakan erti cinta yang sebenar.
Ketika ini, mujurlah dia masih tidur berasingan dengan Yasmeen. Mereka masih belum mencapai kata sepakat untuk tidur sebilik.
Kebelakangan ini, Iqbal menyedari akan perubahan sikap Yasmeen. Selepas insiden pejabatnya diceroboh tempoh hari, Yasmeen lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama Ameena. Dia sudah jarang keluar rumah walaupun ke studio. Agaknya, mungkin Yasmeen masih trauma ditambah pula penceroboh tersebut masih bebas di luar sana.
YOU ARE READING
Yang Terlarang Itu Godaan
Romance"Aku tahu adalah HARAM untuk kita berdua jatuh cinta, namun hati ini tak mampu menidakkan perasaan indah terhadapmu." -Iqbal Zikri. "Rahsiakan cinta ini, biar tersimpan sampai mati. Untuk membunuh 'rasa' ini, aku perlu mati terlebih dahulu." -Mardia...