38

5.3K 91 93
                                    

MV Pilihan
Waktu Yang Salah

Selepas memasukkan beberapa helai pakaian ke dalam luggage, Mardiana menampar perlahan pipinya berkali-kali. Pejam celik matanya, seolah-olah cuba untuk meyakinkan diri bahawa keputusan yang diambil ini adalah sesuatu yang terbaik buat dirinya.

Setelah empat hari Muzaffar pergi tanpa khabar berita, hari ini dia tergerak hati untuk turut meninggalkan rumah ini. Dia sudah tidak sanggup lagi tinggal bersendirian. Hari-harinya yang sepi membuatkan dia sering dihantui dosa lalu. Berulang kali dia cuba menghubungi Muzaffar, namun talian seolah-olah dimatikan. Dia buntu dan hilang punca. Tidak tahu di mana mahu mencari suaminya. Bukannya dia tidak menghubungi Muzaffar.

Pernah terdetik di hatinya untuk mencari Muzaffar di Langkawi. Namun apabila dia menghubungi pejabat Muzaffar, pekerja di sana memaklumkan suaminya itu tidak berada di pulau itu. Mereka hanya dimaklumkan bahawa Muzaffar sedang bercuti. 

Mardiana melangut di birai katil. Jauh di sudut hati, dia masih menaruh harapan agar suaminya pulang dan kembali ke sisinya. Besar harapannya agar Muzaffar memaafkan dirinya walau dia tahu, dosanya besar bukan kepalang. Kehilangan Muzaffar membuatkan dirinya benar-benar terseksa. Hatinya merintih pedih, mengenang nasib diri seolah digantung tidak bertali. Sungguh, dia berasa sebal. Baginya Muzaffar terlalu mementingkan egonya. Rayuan dan permohonan maaf darinya seolah-olah tidak bernilai. Sampai hati Muzaffar memperlakukan dirinya sebegini rupa.

****

Dalam pada menepis permintaan Iqbal untuk berjumpa, akhirnya Mardiana tewas dengan pujuk rayu lelaki itu. Walau sudah memberikan pelbagai alasan, Iqbal tidak jemu mendesaknya untuk bertemu empat mata. Dek kerana rimas dan sudah tiada alasan untuk diberikan, akhirnya dia membulatkan tekad untuk berjumpa. Biarlah pertemuan kali ini merupakan pertemuan yang akan menjadi titik noktah dalam perhubungan terlarang mereka berdua.

Sebuah kafe di Jalan Ampang menjadi pilihan Mardiana untuk bertemu dengan Iqbal. Baginya, lebih baik bertemu di tempat yang terbuka berbanding di tempat tertutup seperti sebelum ini. Hatinya mudah goyah. Jika bertemu di bilik hotel seperti sebelum ini, pastinya sesuatu yang terlarang itu akan berulang kembali. Dia sudah bertekad untuk tidak mengulangi kembali dosa yang lalu. Hari ini dia akan pastikan bahawa pertemuan mereka berdua adalah pertemuan yang terakhir. Setiap yang bermula, pasti akan berakhir. Titik.

Dari jauh, dia melihat Iqbal sedang berdiri di luar kafe sambil menyeluk kedua belah tangan ke dalam kocek seluar. Langkah yang tadinya laju, mula menjadi semakin perlahan. Berat kakinya untuk melangkah. Debaran di dada pula semakin kencang. Nafas dihembus perlahan dan dia mula mengawal riak wajah agar tidak kelihatan resah pada pandangan mata Iqbal. Sementara Iqbal masih belum menyedari kehadirannya, dia cuba mengemaskan penampilan diri.  Ditarik hujung bajunya yang ketat mencekak pinggang agar kemas dan rapi. Seboleh mungkin, dia mahu tampil kemas dan bergaya di hadapan Iqbal.

Debaran di dada semakin menjadi-jadi apabila Iqbal memandang ke arahnya sambil melemparkan senyuman lebar. Bergetar rasa hati melihat senyuman yang terukir di bibir lelaki itu. Renungan mata Iqbal seperti mengalun lagu rindu buatnya. Sungguh, dia juga rindu!

Sebaik tiba di hadapan Iqbal, dia sekadar membisu sambil mengekori langkah Iqbal menuju ke meja yang agak tersorok di dalam kafe. Sengaja dia mengelak untuk bertentang mata dengan Iqbal. Hatinya mudah lentur apabila pandangan mata mereka bersabung.

Lidahnya juga menjadi berat untuk bersuara meskipun sedari tadi dia telah menyusun kata untuk berbicara. Setelah lama berdiam, Iqbal memecah keheningan suasana.

Yang Terlarang Itu GodaanWhere stories live. Discover now