MV Patah Seribu - Shila Amzah
Pilihan seseorang yang sudi mengolah garapan menjadi sebuah ceritaTetamu yang baru muncul itu dipersilakan masuk ke ruang tamu. Langkah kaki lelaki itu tersusun begitu tertib dan sesekali mencuri pandang pada wajah tuan rumah yang kelihatan serba salah. Riak wajahnya kelihatan tenang bersahaja sedangkan hatinya dilanda gelora.
Lagak yang ditonjol hanyalah sekadar lakonan, demi untuk tidak mendatangkan syak pada wanita di hadapannya itu.Muzaffar yang baru usai solat mendapatkan sahabat baiknya itu dan mengambil duduk bersebelahan dengannya. Manakala Mardiana pula memilih untuk duduk di wing chair secara sendirian sambil matanya tak lekang memandang pada wajah kedua-dua lelaki di hadapannya secara bersilih-ganti. Hatinya mula dilanda resah dek kerana fikirannya mula menerawang kepada sesuatu perkara yang tidak enak.
Dua lelaki itu dilihat galak bersembang. Apa yang didengari banyak berkisar tentang projek yang sedang dijalankan oleh Muzaffar. Mardiana mula dilanda kebosanan kerana merasakan mereka berdua tidak peduli akan kewujudannya di situ. Dia meletup-letupkan jarinya, sengaja mencuri tumpuan mereka.
"Bie, I ke dapur dulu ye? Nak buat air." Pinta Mardiana seraya bangun sambil membetulkan simpulan kain batik yang hampir terburai.
"Eh, sayang. You duduk je. Biar I yang buat air." Tegah Muzaffar sambil menarik tangan Mardiana yang berdiri hampir dengannya.
Dia enggan menyusahkan isterinya untuk menghidangkan minuman pada tetamu mereka. Biarlah buat kali ini dia yang lakukan segala kerja di rumah ini. Mardiana perlukan rehat yang secukupnya.
"Weh, selama aku kenal kau, tak pernah kau buat air untuk aku. Masa kat kolej dulu selalunya kau yang suruh aku bancuh air. Dah berubah kawan aku ni. Kau ni takut bini atau sayang bini?" Ujar Iqbal selamba, matanya menyoroti langkah Muzaffar yang sedang menuju ke dapur.
"Siapa yang tak sayang bini, bro... Kau duduk dulu. Nanti aku buat air yang paling sedap atas muka bumi ni khas untuk kau!" Pangkas Muzaffar sebelum menghilang ke dapur.
Wajah Mardiana berasa panas tiba-tiba apabila ditingggalkan berdua-duaan dengan Iqbal. Dijelingnya lelaki itu sekilas. Tidak disangka pandangan mereka bertembung.
Dia sedar bahawa Iqbal sering mencuri pandang padanya cuma lelaki itu pandai menyembunyi ekspresi wajah. Sejak awal kemunculan lagi kelihatan Iqbal begitu dingin terhadapnya. Seolah-olah mereka berdua tidak pernah berhubungan. Hebat benar lakonanmu Iqbal!
Hanya dua pasang mata yang berinteraksi sedangkan lidah masih lagi kelu untuk berkata-kata.
Mardiana menjadi resah. Dia semakin tidak betah untuk berada di hadapan lelaki yang sedang bertakhta di dalam hatinya. Mahu dia bangun dan lari dari situ, namun kakinya bagai dipasung. Dirasakan Iqbal seperti sengaja mendera perasaannya. Keberadaannya langsung tidak diendah oleh Iqbal. Cara Iqbal membuatkan hatinya semakin pedih dan sakit.
"Bro, aku terpaksa bercuti dulu sementara Diana tengah pantang ni. Semalam kau hilang ke mana? Tak sempat aku nak beritahu kau yang Mardiana keguguran. Aku call kau tak dapat-dapat. Kau boleh hilang camtu je." Muzaffar muncul bersama sedulang minuman.
"Sorry bro, semalam aku tak sempat nak cakap yang aku kena pergi office. Ada urgent matter yang perlu aku settle. Eh, Diana keguguran?! Sorry to hear that! Sabar bro, maybe ada hikmah yang kita tak tau di sebalik semua ni." Iqbal pura-pura terkejut. Walhal berita itu sudah didengari oleh telinganya sendiri semalam.
Iqbal menepuk bahu Muzaffar serentak menjeling pada wajah Mardiana. Ditilik wajah polos Mardiana yang bebas tanpa solekan. Perlahan-lahan mata nakal itu melorot jatuh pada baju dan kain yang menyarung tubuh wanita itu.
YOU ARE READING
Yang Terlarang Itu Godaan
Romance"Aku tahu adalah HARAM untuk kita berdua jatuh cinta, namun hati ini tak mampu menidakkan perasaan indah terhadapmu." -Iqbal Zikri. "Rahsiakan cinta ini, biar tersimpan sampai mati. Untuk membunuh 'rasa' ini, aku perlu mati terlebih dahulu." -Mardia...