MV pilihan
Syamel - CurangSudah beberapa malam, Mardiana tidak lena tidur. Hatinya walang, selalu diusik gundah. Fikirannya seringkali bercelaru. Meski adakalanya mata dapat lelap, pastinya dia akan terjaga sendiri kala dinihari. Ada sesuatu yang terbuku di hati. Dia dihantui dosa lalu.
Dalam keheningan satu pertiga malam, perlahan-lahan Mardiana bangkit daripada pembaringan. Hatinya yang gundah perlu ditenangkan dengan mengadu kepada yang maha esa.
Kedinginan air membasahi beberapa bahagian anggota badan sebelum dia menyarung telekung ke tubuhnya. Sudah lama dia tidak melakukan solat malam, perkara yang selalu dilakukan bersama arwah abahnya dahulu. Bukan Muzaffar tidak mengajaknya untuk bertahajjud, namun dia lebih selesa untuk hanyut dibuai mimpi. Dia akui dia sangat culas menunaikan solat-solat sunat bahkan solat fardhu hanya dikerjakan apabila Muzaffar berada di rumah.
Dalam sujud terakhir, hati Mardiana menangis memohon keampunan dari Illahi. Dosa-dosa yang dipikul terlalu membebani jiwa dan raganya. Dia memanjatkan doa agar diberi kekuatan untuk berhadapan dengan masalah yang sengaja diciptanya dek kerana terlalu mengejar nikmat dunia yang hanya sementara. Meskipun dia takut akan kekecewaan, namun dia lebih takut kepada kaffarah.
Tika dan saat ini, barulah dia menyedari bahawa dia telah menyebabkan hati seorang isteri terluka dek kerana ketamakannya dalam menyulam kasih bersama insan yang bergelar suami orang. Jika hari ini dia telah membuatkan seorang isteri terluka, tidak mustahil dia yang juga memegang gelaran seorang isteri akan turut terluka. Masih terbayang-bayang akan wajah Yasmeen, isteri kepada Iqbal yang memberi amaran agar dia melupakan Iqbal. Isteri kekasih gelapnya itu ternyata tidak tega berkongsi cinta dan kasih suaminya dengan perempuan lain. Dapat dibayangkan betapa terlukanya hati Yasmeen apabila mengetahui bahawa kepercayaannya selama ini telah dikhianati oleh suaminya.
Dia sendiri tidak dapat membayangkan jika Muzaffar turut curang seperti mana yang dilakukan oleh Iqbal terhadap Yasmeen. Kini baru dia tahu betapa peritnya apabila cinta yang telah terbina sekian lama diganggu oleh orang ketiga.
Dan orang ketiga itu adalah dia!
Mardiana masih termenung di atas sejadah sambil fikirannya menerawang jauh. Wajah Muzaffar terbayang di ruangan matanya. Jika tadi dia memikirkan tentang perasaan Yasmeen, kini dia mula memikirkan tentang perasaan suaminya itu.
Apakah perasaan Muzaffar jika mengetahui bahawa dia telah curang?
Tentu lelaki itu turut kecewa apabila mendapat tahu tentang kecurangannya. Bertambah pedih di hati apabila teman selingkuhan si isteri merupakan sahabat baiknya sendiri. Mardiana berdecit perlahan. Mata dipejamkan seketika. Tidak dapat dibayangkan sekiranya Muzaffar memgetahui kecurangannya daripada mulut Iqbal.'Iqbal'. Nama itu diucap di dalam hati, tidak mampu terlafaz daripada bibirnya. Bukan mudah untuk dia melupakan seseorang yang telah berjaya menawan hatinya selepas diserahkan kepada Muzaffar, lima tahun yang lalu. Hanya dengan layanan dan keprihatinan, Iqbal telah berjaya merampas hati, seterusnya telah memesongkan cinta halalnya.
Petang tadi, Iqbal telah menghubunginya dan dia mengajak lelaki itu untuk bersemuka setelah lama diam menyepi seperti tidak mengendahkannya.
"Love, you sengaja gugurkan anak kita kan? I tahu you nekad sebab nak putuskan hubungan kita ni." Suara Iqbal sedikit keras.
Mardiana tersentak dengan tuduhan yang tidak berasas dari seorang yang amat dicintainya.
"No sayang, tak mungkin I gugurkan anak I sendiri. I dah lama inginkan anak. You jangan buat tuduhan melulu." Balasnya dengan suara yang sedikit meninggi. Serta merta dirinya mula rasa bengang mendengar kata-kata Iqbal.
YOU ARE READING
Yang Terlarang Itu Godaan
Romance"Aku tahu adalah HARAM untuk kita berdua jatuh cinta, namun hati ini tak mampu menidakkan perasaan indah terhadapmu." -Iqbal Zikri. "Rahsiakan cinta ini, biar tersimpan sampai mati. Untuk membunuh 'rasa' ini, aku perlu mati terlebih dahulu." -Mardia...