16

5.7K 64 15
                                    

PINTU yang diperbuat daripada kayu nyatoh diketuk Mardiana sebanyak dua kali. Dia tidak perlu menunggu lama kerana pintu dikuak dari dalam lalu muncul seorang lelaki muda berbadan tegap menjemputnya masuk ke dalam bilik peribadi Datuk Ramlan.

Dilihatnya seorang lelaki duduk di belakang sebuah meja sedang tekun menulis sesuatu di atas kertas putih. Lelaki itu mengangkat kepalanya buat seketika sebelum kembali menunduk ke arah kertas putih. Di sebelah lelaki itu terdapat seorang pemuda yang juga berbadan tegap, terpacak sambil menyilang tangan. Tiada garis senyuman dari wajah kedua-dua pemuda itu ketika pandangan mata mereka bertembung dengan Mardiana. Kedua-dua mereka berlagak bengis. Mardiana menelah bahawa mereka itu merupakan pengawal peribadi kepada Datuk Ramlan.

"Abu dan Syukri, kamu berdua tunggu aku di luar dulu." Arah Datuk Ramlan Darus. Dia meletakkan pen di atas meja dan memberikan isyarat mata kepada Mardiana supaya duduk.

Kedua-dua lelaki sado itu hanya menganggukkan kepala. Tanpa sebarang lisan mereka beransur pergi sebagai tanda patuh pada arahan seorang ketua.

Mardiana menyusun langkah penuh tertib dan berdiri di tepi kerusi berhadapan dengan Datuk Ramlan. Dia cuba mengawal nafas supaya penampilannya tampak tenang dan bersahaja. Biarpun dadanya sedikit gemuruh, namun dia cuba berlagak selamba. Dia harus tampil sebagai seorang wanita yang classy dan elegant di hadapan lelaki berpengaruh ini.

"Mardiana Anoura, right? Please make yourself comfortable." Datuk Ramlan menjongket kening seraya mengulum sebuah senyuman sebelum berdiri dan mengorak langkah ke arah Mardiana.

Dengan lagak budiman, lelaki yang cukup kaya dengan pengalaman itu menarik kerusi supaya mudah diduduki oleh tamu istimewanya. Semasa Mardiana duduk, dia sempat menghidu haruman dari rambut ikal yang jatuh mengurai di tengkuk Mardiana.

"Lelaki akan dianggap beruntung apabila mempunyai seorang isteri yang cantik, bergaya, punyai persona dan hurmmm... Sexy... Macam you, Mardiana. Muzaffar betul-betul bertuah!" Datuk Ramlan Darus terus menghamburkan pujiannya. Matanya rakus meratah tubuh Mardiana yang berpenampilan elegant dengan menyarung kemeja satin dan dipadankan dengan skirt pendek paras lutut. Rambutnya disanggul kemas, menampakkan lehernya yang jinjang dan putih bersih.

Mardiana mulai kekok. Dia cuba mengalihkan pandangan dari wajah lelaki yang berdiri di sisi meja. Tenungan mata Datuk Ramlan terlalu menusuk tajam sehingga membuatkan jantungnya berdegup kencang.

'Gatal!' Mardiana menengking di dalam hati.

"Maafkan I kerana terlalu berterus-terang. Tak salah kalau pujian ini ditujukan kepada yang berhak."

Datuk Ramlan melabuhkan separuh punggungnya di atas birai meja, empat puluh lima darjah dari kedudukan Mardiana. Mata lelaki itu terpaku seketika pada bahagian dada Mardiana. Kecur liurnya melihat akan kegebuan pada bahagian pangkal dada Mardiana yang terlupa mengenakan semula dua butang baju yang dibuka untuk mengusik Iqbal sebentar tadi.

"Datuk, my husband minta serahkan dokumen ini pada Datuk." Mardiana cuba bangkit untuk menghulurkan fail namun Datuk Ramlan terlebih dahulu berganjak ke sebelahnya. Kedudukan di antara mereka berdua begitu hampir. Terlalu hampir sehingga Mardiana dapat menghidu haruman Clive Christian daripada tubuh Datuk Ramlan. Seketika dia seolah terpana menghidu bauan mewah itu.

Ketika fail beralih tangan, jemari Datuk Ramlan sempat menjamah pergelangan tangan Mardiana. Dengan cepat Mardiana menarik tangannya setelah fail berada di dalam genggaman tangan Datuk. Sentuhan jari Datuk Ramlan telah membuatkan jantungnya berdegup kencang. Dia kurang selesa dengan situasi itu. Datuk dirasakan seolah-olah sedang cuba mengambil kesempatan untuk menggodanya.

Yang Terlarang Itu GodaanWhere stories live. Discover now