MV pilihan Author
Mencintaimu
KrisdayantiPada saat Mardiana mula mengorak langkah untuk berlalu pergi, dia sempat lagi memandang tepat ke dalam mata Iqbal, mengharapkan sang pria juga beredar dari tempat itu dengan segera. Lebih lama mereka berdua berhadapan dengan Datin Sue akan membawa kemungkinan bahawa rahsia hubungan mereka berdua akan bocor. Melalui pandangan mata Datin Sue sahaja sudah cukup menunjukkan bahawa dia mengesyaki sesuatu.
Meskipun dia sedang berlalu, namun hatinya masih teragak-agak untuk terus meninggalkan Iqbal bersama Datin Sue. Jauh di sudut hatinya, dia cemburu melihat kemesraan yang ditunjukkan oleh Datin Sue kepada Iqbal. Dia cuba melengahkan langkahnya, dengan harapan Iqbal meninggalkan Datin Sue dan mengejar dirinya. Namun hatinya agak hampa kerana yang ditunggu tidak kunjung tiba.
Ketika dia sampai di pintu lif untuk menuju ke basement, dia menoleh ke belakang. Kelihatan Iqbal masih bersama Datin Sue, sepertinya wanita itu sedang berkata sesuatu dan Iqbal sekadar mengangguk sambil menggaru keningnya. Keluhan dilepaskan. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, dia terus masuk tanpa menoleh ke belakang lagi.
***
Pintu unit kondo dikuak luas dan ditutup kembali. Dengan langkah yang longlai dia menapak menuju ke sofa. Punggung dilabuhkan secara mengiring di sofa panjang seraya melepaskan keluhan. iPhone dari dalam beg tangan dicapai untuk melihat sekiranya ada pesanan yang diterima daripada Muzaffar, namun hampa.
Tiada langsung khabar berita dari suaminya yang kini berada beribu batu jauhnya. Inilah perkara yang paling dibenci sekali. Sebal hatinya apabila mengenangkan Muzaffar yang terlalu payah untuk menghubungi dirinya.
Jauh di sudut hati, dia mahu suaminya itu bertanyakan khabarnya. Jika tidak berkesempatan untuk membuat panggilan telefon, cukup sekadar mengirimkan pesanan memaklumkan tentang keadaan dirinya di sana.
Mardiana bangkit dari duduk, sekonyong-konyong pandangan matanya dilayang pada segenap ruang di dalam unit ini. Hiasan bereka bentuk kontemporari menangkap pandangan matanya. Bingkai-bingkai foto yang digantung pada dinding dirasakan sudah tiada nilai seninya.
Hidupnya dirasakan kosong dan sepi.Dia melepas keluhan panjang. Fikirannya menerawang kembali pada kata-kata Muzaffar sebelum suaminya itu berangkat ke lapangan terbang.
"Baby sayang, semua yang I lakukan ni untuk kesenangan you juga. Selama mana kita nak tinggal dalam rumah yang sempit ni? You tak teringin ke nak tinggal di landed house dan ada kereta mewah?"
"Bie, I rasa kita dah cukup senang sekarang ni. Harta yang ada ni dah memadai untuk kita berdua. Now I cuma inginkan seorang anak untuk temankan I bila you keluar je bie." Sayu sekali suara Mardiana. Dia terlalu sunyi setiap kali ditinggalkan oleh Muzaffar.
"You kata semua ni dah cukup? No way! Berapa kali dah I cakap, I belum bersedia nak jadi ayah lagi. Susah sangat ke you nak faham?" Muzaffar menjengilkan matanya.
Wajahnya terus berubah riak. Sedikit kesal dengan kata-kata yang terlontar dari mulut isterinya sebentar tadi. Sudah acap kali dia menyatakan bahawa dia masih belum bersedia untuk memegang tanggungjawab sebagai seorang ayah, namun isterinya itu seolah-olah tidak mahu memahami situasi.
Mardiana terpempan dengan keberangan yang ditunjukkan oleh Muzaffar. Kecut perutnya apabila melihat wajah bengis suaminya itu . Dia tidak menduga sama sekali yang suaminya akan meninggikan suara hanya kerana dia membangkitkan perihal anak.
Tangan Muzaffar diraih dan dikucup perlahan. Kemudian dia menjengketkan kaki untuk mencium wajah Muzaffar. Pipi kiri suaminya dikucup mesra, namun saat bibirnya mahu hinggap di pipi kanan, Muzaffar berpaling seolah-olah tidak mengizinkan bibirnya mendarat di situ. Pantas sahaja suaminya itu meleraikan pelukan dan pautan jari jemari mereka berdua. Tiada pelukan mesra dan juga ciuman yang hinggap pada bibirnya seperti selalu jika Muzaffar mahu meninggalkannya dalam tempoh yang agak lama.
YOU ARE READING
Yang Terlarang Itu Godaan
Romance"Aku tahu adalah HARAM untuk kita berdua jatuh cinta, namun hati ini tak mampu menidakkan perasaan indah terhadapmu." -Iqbal Zikri. "Rahsiakan cinta ini, biar tersimpan sampai mati. Untuk membunuh 'rasa' ini, aku perlu mati terlebih dahulu." -Mardia...