BAHANG mentari terik terasa saat Muzaffar menapak keluar dari Wisma RAM Synergy Group. Langkah kakinya terhenti. Benaknya diselubungi satu persoalan yang masih belum bisa dirungkai buat masa ini.
'Mengapa dia harus mengorbankan permaisuri hatinya?'
Untuk apa?
Muzaffar berkerut. Hasil daripada sesi perbincangan bersama Datuk Ramlan, dia sedikit ragu tentang perolehan tender resort yang terbengkalai itu. Masih belum dapat dipastikan sama ada tender itu bakal menjadi miliknya atau tidak. Datuk Ramlan seolah-olah menunjukkan bahawa dia dapat mengenalpasti kelemahan yang wujud pada syarikatnya. Ironinya, Muzaffar masih lagi berharap semoga projek tersebut bakal diberikan kepadanya.
Nafas lemah dilepas perlahan. Telefon bimbit dikeluarkan daripada kocek seluar. Direnung seketika. Berkira-kira mahu menghubungi Iqbal untuk meminta pandangan dan nasihat.
Dia sedia maklum bahawa Iqbal yang menyiapkan hampir keseluruhan kertas kerja dan dokumen tender untuk resort di Langkawi tersebut.
Kaki dihayun melangkah masuk ke dalam sebuah cafe yang terletak bersebelahan dengan Wisma RAM Synergy Group. Meja dihujung tingkap didekati. Kerusi ditarik keluar lantas punggung dilabuhkan. Fikirannya masih bekerja, mencongak strategi yang bakal dijalankan bagi mendapat tender itu. Muzaffar kalih pandang pada pelayan yang meletakkan minuman yang dipesan. Cawan yang berisi coffee latte diangkat, disisip perlahan.
'Kalau diikutkan margin keuntungan projek pembinaan adalah dalam kadar 20% hingga 25%. Itu belum dikira kenaikan kos material, foreign exchange dan kos-kos luar jangka. Persaingan di antara kontraktor juga menjadi faktor pada margin keuntungan yang makin menyusut. Margin keuntungan daripada projek pembinaan yang melibatkan kerja-kerja sivil dan struktur adalah tidak sama dengan kontrak pembekalan peralatan elektrik. Diandaikan margin keuntungan dalam bidang pembekalan elektrik boleh mencecah sehingga 35% namun itu mungkin tidak dapat menampung overall cost pembinaan. Tambahan pula, aku masih baru dalam bidang pembinaan. Tentu banyak perkara luar jangka yang memerlukan kos yang tinggi. Tapi Datin Sue dah janji untuk beri suntikan modal pada projek ni.'
Kedua belah tangan ditongkat pada meja. Matanya tajam membuang renung. Masih lagi dia memikirkan bersendirian beberapa perkara yang harus ditimbang tara dalam usaha untuk mendapatkan tender projek itu.
'Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan!'
Itulah prinsip yang selalu dipegang oleh Muzaffar dalam apa sahaja kemungkinan yang akan dihadapinya. Dia bulatkan tekad untuk menghadapi sebarang dugaan dan cabaran yang akan dihadapi kelak.
"Bro, macamana meeting dengan Datuk? Ada berita baik?" Kedengaran suara Iqbal di hujung talian.
"Kau free tak? Datang ke cafe sebelah office kau. Aku tunggu kau kat sini." Balas Muzaffar sebelum talian dimatikan.
Dia mengeluarkan beberapa salinan dokumen daripada sebuah beg berwarna hitam, berhasrat untuk mengadakan semula perbincangan bersama Iqbal. Masih banyak perkara yang perlu mereka perhalusi sebelum mengadap Datuk Ramlan buat kali kedua.
"Apa cerita bro, ada masalah?"
Iqbal melabuhkan punggung di atas kerusi berhadapan dengan Muzaffar. Wajah ketat Muzaffar menarik perhatiannya. Entah apa yang bermain dalam fikiran lelaki itu. Payah dia mahu tebak. Atau lebih tepat, dia sebenarnya sudah mengagak apa yang berada di fikiran Muzaffar. Lambat-lambat kepala digeleng perlahan. Keningnya digaru.
Liur diteguk. Kusut dirasakan saat ini. Permasalahan berkenaan tender resort tersebut dihuraikan satu-persatu. Iqbal mendengar dengan penuh perhatian.
YOU ARE READING
Yang Terlarang Itu Godaan
Romance"Aku tahu adalah HARAM untuk kita berdua jatuh cinta, namun hati ini tak mampu menidakkan perasaan indah terhadapmu." -Iqbal Zikri. "Rahsiakan cinta ini, biar tersimpan sampai mati. Untuk membunuh 'rasa' ini, aku perlu mati terlebih dahulu." -Mardia...