Muzaffar menarik nafas panjang. Wajahnya mempamer riak lega. Projek yang telah dilaksanakan selama setahun ini akhirnya diperakui siap sepenuhnya oleh pihak pelanggan. Segala penat-lelahnya agak berbaloi kerana pihak pelanggan berjanji akan menyerahkan Certificate of Practical Completion bersama sijil penghargaan kualiti kerja kepada syarikat Muzaffar dengan kadar segera.
Terselit rasa bangga di dalam hatinya apabila mendapat pujian dari wakil pihak pelanggan berkenaan kualiti kerja dan tempoh penyiapan projek yang lebih awal berbanding jadual yang mereka tetapkan. Ini bakal menjadi motivasi kepada Muzaffar untuk mengembangkan perniagaannya supaya lebih berdaya saing di dalam bidang perkhidmatan pembekalan dan pemasangan elektrikal dengan syarikat- syarikat yang ternama.
"Tahniah bro. Aku baru dapat berita yang kau dah berjaya handover projek di Tanjung Malim." Muzaffar tersenyum saat Iqbal menghubunginya. Kembang hatinya dengan pujian Iqbal.
Rakannya itu hanya ingin memaklumkan bahawa dia perlu menghadiri satu sesi pembentangan kertas kerja untuk cadangan pembinaan semula resort yang terbengkalai di Langkawi di hadapan Datuk Ramlan Darus. Work presentation itu akan diadakan pada esok hari di Wisma RAM Synergy Group.
"Bro, kau boleh tolong aku? Bukan pasal kerja, tapi pasal Diana." Tanya Muzaffar setelah perbualan berkenaan kerja selesai.
"Err... Kenapa dengan wife kau, dia sakit ke?" Halkum Iqbal bergerak atas bawah. Kerongkongnya terasa kesat. Mendengar nama Diana membuatkan dadanya berdebar. Adakah Muzaffar telah mengesyaki tentang jalinan hubungannya dengan Mardiana?
"Sebenarnya, aku tak sempat hantar kereta Diana ke workshop. Minggu ni aku memang betul-betul busy sampai terlupa langsung kereta Diana dah tiga hari rosak. Tersadai kat parking lot basement apartment aku. Diana dah bising la, bro. Kau boleh tolong aku tak?" Terang Muzaffar jujur. Terbit rasa kasihan buat sang isteri.
"Hisyyy.... sibuk sangat sampai kereta bini rosak pun kau boleh lupa. Nasib baik kau tak lupa siapa bini kau! Kau nak aku panggil pomen ke?" Iqbal ketawa kecil. Kalau Muzaffar lupa. Tidak mengapa. Dia sentiasa mengingati wanita itu.
Debaran di dalam dadanya dapat disingkirkan. Dia mengagak bahawa Muzaffar belum dapat menghidu hubungan asmaranya bersama Mardiana. Andai rahsia itu terbongkar, pastinya persahabatan mereka akan menjadi abu.
"Itu bini bro, mana boleh lupa! Cuma kadang-kadang aku ni terlalu sibuk sampai terlupa Diana kat rumah. Kau tolong cari mana-mana pomen yang boleh repair kereta Diana. Sorry bro, aku terpaksa susahkan kau pula." Pinta Muzaffar. Berharap dengan bantuan Iqbal dapat menyelesaikan masalah kecil itu.
"Small matter je bro. Kau kan kawan aku. Siapa lagi akan tolong kawan kecuali kawan macam aku ni. Pasal kereta Diana tu aku boleh settle hari ni. Kebetulan aku tengah meeting dengan client kat Damansara. Kau bagitahu Diana dalam satu jam lagi, aku pergi apartment kau dengan pomen. Kau jangan risau."
Iqbal tersenyum lebar. Hari ini, buat kali kedua dia akan berjumpa dengan Mardiana. Dengan tiket kebenaran daripada Muzaffar. Satu kesempatan yang tak mungkin akan dia persiakan.
"Thanks bro. Nanti aku minta Diana belanja kau makan."
"Eh, aku tolong ikhlas. Kalau kau ada apa-apa yang nak aku bantu. Jangan segan bagitahu aku. InshaAllah aku akan tolong." Ujar Iqbal ikhlas. Dia memang akan membantu Mardiana. Sementelah kekasihnya itu juga telah merungut mengenai keretanya yang tersadai beberapa hari. Patah kaki juga dibuatnya.
Muzaffar menghela nafas lega saat Iqbal sudi membantunya. Namun begitu, dia juga berasa sedikit ralat kerana terhimpit dengan kesibukan urusan kerja sehingga terpaksa mengabaikan keperluan Mardiana. Harap benar isterinya memahami kekangan kerja yang dihadapi.
YOU ARE READING
Yang Terlarang Itu Godaan
Romance"Aku tahu adalah HARAM untuk kita berdua jatuh cinta, namun hati ini tak mampu menidakkan perasaan indah terhadapmu." -Iqbal Zikri. "Rahsiakan cinta ini, biar tersimpan sampai mati. Untuk membunuh 'rasa' ini, aku perlu mati terlebih dahulu." -Mardia...