TERKEJUT dengan berita yang baru disampaikan oleh Mak Jah kepadanya. Hanya panggilan telefon sahaja sudah buat hatinya risau tidak menentu. Dia baru beberapa jam masuk kerja, mana mungkin dia mahu pulang. Namun saat ini tika ini isterinya memerlukan dirinya.
"Kenapa Milhan? Awak ada masalah ke?"
"Maafkan saya, Dato...saya minta izin nak keluar awal. Isteri saya perlukan saya dekat rumah. Kalau tak pun anggap sahaja saya tak masuk kerja hari ini," Milhan tampak gelisah.
Dato Jefri terdiam sejenak. Namun kegelisahan yang ketara di wajah Milhan itu membuat dia laju untuk buat kata putus.
"Pulanglah...selesaikan segalanya. Saya izinkan tapi jangan hal seperti ini berulang lagi. Di sini banyak pekerja yang memerhati. Saya khuatir mereka fikir saya berat sebelah,"
"Terima kasih, Dato. Terima kasih!" ucap Milhan, terharu gembira.
Selepas kata izin diberikan, Milhan cepat beredar. Kesihatan isterinya harus dijaga. Tapi mendengar suara Mak Jah tadi, sepertinya ada sesuatu yang berlaku yang membuatkan hatinya begitu rungsing sekali. Kenapa suara Mak Jah kedengaran sedih? Apa terjadi pada isterinya? Anaknya, Hakeem ada di mana?
Sebelah tangannya memegang stereng. Sebelah lagi mencari telefon pintarnya di dalam poket bajunya. Nombor rumah didail. Lama tidak dijawab, peti suara kedengaran. Milhan merungut namun dia cuba lagi membuat panggilan yang sama. Masih juga hal yang sama.
Milhan mati kutu. Namun sejenak dia terfikirkan Dayana. Laju sahaja dia membuat panggilan pada isterinya itu. Lama dia menanti berharap panggilannya berbalas di sebelah sana. Dia dah sedaya-upaya cuba tenangkan dirinya tapi nampaknya dia khuatir teramat sangat.
PINNN! PINNN!
Terkejut Milhan dengan bunyi hon kereta yang membingitkan itu. Dia laju mendongak, baru dia sedar situasinya tika ini. Dia lupa dia berada di atas jalan raya. Kedengaran lagi trak besar itu menekan hon namun begitu lama. Milhan cepat memulas sterengnya, mengelak sedikit dari dirempuh trak yang membawa muatan batu-bata itu.
Namun dia terlambat beberapa saat. Separuh badan keretanya berjaya dirempuh trak itu sehingga Milhan tidak dapat mengenderai stereng keretanya. Keretanya tersasar laju menjunam masuk ke dalam longkang besar.
Berpinar-pinar matanya. Seketika otaknya cuba memproses keadaannya tika itu. Tali pinggang keledar dilepaskan, kakinya cuba digerakkan.
"Arghhh!"
Hatinya merintih kesakitan. Kuat genggamannya cuba menahan dari keperitan itu. Berpeluh tubuhnya cuba keluar dari dalam kereta itu. Namun apa dayanya bila dirinya tersepit di balik remukan depan badan keretanya itu.
Ya Allah! Milhan hampir mahu menangis namun cuba dikuatkan hatinya. Dia cuba bergerak sedikit namun terpempan dia bila melihat ada benda tajam menusuk pehanya. Patutlah sakitnya diselang dengan ngilu yang menyakitkan.
Lama dia berteleku. Mengalah dengan keadaannya. Dia tidak dapat berbuat apa-apa selain menunggu bantuan datang membantunya. Perlahan-lahan tubuhnya melemah, nafasnya tersekat-sekat. Terasa sesak di dada yang kian hampir mahu membunuhnya.
Siren ambulan kedengaran mendekat. Mata Milhan kian melayu, perlahan pandangannya jadi kelam. Sehingga terkatup rapat, tidak sedarkan diri selepas itu.
Maafkan abang, sayang...
TANGISANNYA kian menggila. Berita yang baru disampaikan itu sungguh mengejutkannya. Dia tak percaya dengan apa yang terjadi. Bila dikhabarkan Milhan kemalangan teruk, Dayana hanya geleng kepala tidak percaya. Hinggalah dia berada di depan doktor yang merawat Milhan ini, dia masih tidak boleh terima segala yang apa yang terjadi. Semuanya terlalu pantas.
YOU ARE READING
Suami Aku Abang Duda❤ (Completed)
RomantizmMengisahkan tentang kehidupan Dayana yang telah dipertemukan dengan seorang anak kecil diberi nama Hakeem. Titik pertemuan yang tidak terduga itu menemukannya dengan Milhan, lelaki duda, yakni ayah kepada Hakeem. Jodoh...tiada sesiapa pun tahu! Begi...