Imbas kembali...
Setahun yang lalu"HEY, perempuan! Kenapa kau kantoikan pada cikgu yang aku meniru tadi? Kau tak payah nak acah baik! Baru saja datang sini dah nak tunjuk hebat. Aku belasah nanti baru kau tahu aku siapa!" Kepala itu ditujah berkali-kali menggunakan jari telunjuk. Terdengar sayup-sayup suara orang ketawa sinis. Dadanya berombak kencang menahan perasaan. Perlahan-lahan tangannya mengepal buku lima.
"Sebab kau wujud dekat sinilah, habis hancur reputasi aku, kau tahu tak?" Dia diam menahan hamburan kata-kata itu tepat ke mukanya.
"Aku memang dah lama perhatikan kau. Aku memang dah lama bencikan kau. Eh tiba-tiba kau laporkan pada cikgu pasal aku meniru pula! Memang panaslah, kan?!" Gadis itu menempelak kuat.
"Weh, si bisu! Jangan nak perasan yang kau tu cantik sangatlah! Setakat mata macam tu, anjing dekat depan rumah aku pun matanya macam tu juga!" Berdesing telinganya mendengar penghinaan itu. Mereka berbicara seakan tiada langsung secebis iman di dalam dada. Bahasa kasar yang digunakan cukup untuk merobek sekeping hatinya.
'Humayraa, sabar. Sabar itu memang perit tetapi hasilnya maha indah.'
Tangannya yang terasa ringan untuk dilayangkan ke pipi gadis-gadis di hadapannya itu, ditahan. Akal warasnya menegah daripada melakukan tindakan yang terburu-buru. Dia memalingkan mukanya menghadap ke arah lain. Wajahnya terasa hangat."Kau tu tak layak untuk hidup! Kau tu anak haram! Anak luar nikah! Sedarlah diri tu sikit!" Semakin kuat dia mengetap bibirnya. Hatinya terasa begitu sakit.
"Oi, bodoh! Pekak badak! Bisu ke?! Aku cakap dengan kau lah, bangang!" badannya ditolak dengan kasar menyebabkan dia tersungkur mencium lantai. Kali ini dia sudah nekad untuk menumbuk muka gadis-gadis itu.
"Apa bising-bising ni?" Niatnya terbatal apabila terdengar teriakan itu. Dalam kesedihan yang menyelubungi hatinya, dia tersenyum nipis tatkala terasa ada orang yang datang untuk membantunya.
"Pengawas, pengawas," bisik pelajar-pelajar perempuan itu.
Malang sekali mereka tidak sempat untuk melarikan diri kerana kawasan itu telah dikepung terlebih dahulu oleh beberapa orang pengawas lelaki dan perempuan yang menjalankan serbuan. Kawasan belakang sekolah kini telah dipenuhi dengan pengawas yang memakai uniform sekolah berwarna biru serta berkot biru gelap.Humayraa hanya tunduk memandang lantai. Dia langsung tidak berminat untuk melihat pelajar-pelajar yang membulinya seketika tadi ditahan oleh para pengawas dan akan dikenakan tindakan disiplin. Buat seketika, hatinya terasa kosong. Sedikit sebanyak, kata-kata nista itu tadi bermain di fikirannya.
Ini merupakan minggu kedua dia berada di sekolah baharu dan seperti biasa, dia dipulaukan oleh pelajar-pelajar di sekolah itu. Hatta di dalam kelas sekalipun, tiada sesiapa yang mahu menegurnya dan yang agak malang, dia duduk berseorangan di dalam kelas itu memandangkan jumlah pelajar menjadi ganjil apabila ditambah dengan kehadirannya. Tetapi Humayraa tidak hirau akan hal tersebut disebabkan dirinya sendiri yang kekal membisu dan tidak pernah berbicara walau sepatah perkataan pun di sekolah ini.
Khabar angin tentang dirinya tersebar luas di sekolah itu mengatakan bahawa dia merupakan anak haram dan anak luar nikah. Ada juga yang mengatakan bahawa dia merupakan anak kepada perempuan simpanan seorang usahawan Britain namun statusnya tidak diakui oleh lelaki tersebut. Akhirnya dia dibuang ke Malaysia ketika ibu kandungnya melarikan diri daripada buruan keluarga besar lelaki itu dan akhirnya diambil menjadi anak susuan oleh sepasang suami isteri yang tidak dikurniakan zuriat. Ibu kandungnya? Sudah hilang tidak dapat dijejaki. Entahkan masih hidup ataupun sudah mati.
Ada juga gossip yang mengatakan bahawa kedua ibu bapanya merupakan pelancong dari Eropah yang datang untuk bercuti di Malaysia tetapi akhirnya ditangkap polis kerana terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.

ANDA SEDANG MEMBACA
Billionaire vs Millionaire ✔ COMPLETE
Romansa🏆#1 ranking Romance (29.10.24) 🏆#1 ranking Novel Melayu (22.2.22)/ (22.2.23) 🏆#1 ranking Islamik (06.06.23) 🏆#1 ranking Romantik (20.2.23) Seorang gadis kacukan Inggeris dan Palestin yang diambil menjadi anak susuan oleh sepasang suami isteri wa...