Seperti biasa aku disambut mesra oleh Jai dan Korin. Hari ini mood aku kelihatan sedikit lega dari semalam. Aku harap aku tidak lihat wajah Halim lagi. Korin menarik lengan aku, aku menoleh memandangnya. Dia memandang tepat wajah aku. Berkedip-kedip mata aku kemudian dengan pantas aku mengalihkan mata aku. Aduh! Tajam gila pandangan Korin.
"Woi! Apa ni?" tanya aku dan menyandang bag ke bahu.
"Kau okey? Mata merah, tak cukup tidur?" tanya Korin. Dia memang susah sikit untuk aku simpan rahsia. Nampak saja... agaknya tertulis kat muka aku kot?
"Hmm... dah jangan pandang aku macam tu!" ujar aku bila Korin memandang tepat ke wajahku. Seriau aku dengan pandangan Korin, makan dalam.
"Aku bukan apa, aku risau. Semalam bila Jai cakap kat aku yang kau hampir bertumbuk dengan Halim tu... Please, jangan buat perkara yang merosakkan diri dan perasaan kau."
Aku membisu namun mengangguk seperti burung belatuk seolah-olah memahami kata-kata Korin.
"Fia, aku serius!!!"
"Iya... aku pun mendengar dengan serius."
Korin mendengus dan berdecit. Kami meneruskan perjalanan, pagi ini kami tidak ada kelas jadi kami melangkah ke cafe sebelum ke perpustakaan. Dari arah aku berdiri, aku dapat lihat wajah mamat landak itu. Lelaki itu melangkah agak laju, ke mana agaknya? Aku cuba mengekori tetapi Korin segera menahan.
"Nak ke mana?"
Aku tersentak, baru aku perasaan yang aku bersama Korin dan Jai. Aku membisu kemudian mengangkat bahu sebagai jawapan. Ringkas dan mudah. Aku pasti Korin mengerti dengan jawapan itu kerana dia pun tidak bertanya selepas itu.
"Fia, kau busy petang nanti?" suara Jai setelah sekian lama membisu, sehinggakan aku terlupakan kehadiran dia. Kami duduk di kerusi cafe. Mata aku memandang ke arah menu yang tersusun di bahagian atas kaunter. Aku cebikkan mulut kemudian gelengkan kepala, aku pandang Jai dan mengangkat kening tanda tanya.
"Saja... kita dah lama tak lepak bersama. Apa kata lepas kelas MGT kau tu, aku belanja kita semua makan."
Aku gigit bibir dan berfikir. Kalau aku pergi makan dengan mereka lepas kelas MGT tu, pastinya aku balik lambat.
"Sorry. Aku rasa aku tak boleh pergi, Jai. Kau pun tahu rules kakak aku tu."
"Erna Nabilla?"
Aku mengangguk. Jai mengangguk faham.
"Lain kali... kalau nak keluar sampai tengah malam pun boleh. Syaratnya kena cakap dengan..."
"Cakap dengan Erna Nabilla," sampuk Jai menamatkan kata-kata aku.
"Erna Nabilla macam mak tiri kau saja. Tapi peliknya, kau tak bantah pun."
Bantah? Rasanya dah beribu kali aku try bantah cakap Erna Nabilla dan berkali-kali juga gagal. Walaupun Erna Nabilla tidak pernah angkat tangan tetapi susah sangat nak bantah cakap dia. Aku cakap macamana pun, tak jalan.
"Cakap fasal kelas MGT aku... aku rasa macam nak tanya sesuatu kat kau, Korin?"
Korin sedikit tersedak.
"Eh! Kalau fasal subjek MGT, jangan tanya aku!"
"Bukan fasal subjek tu! Adalah... aku nak tanya fasal seseorang."