Aku menanti di balai berlepas, aku cukup gembira dan gementar. Kakak aku akan pulang, sudah tiga tahun dia di sana. Itupun dia berhajat untuk terus di sana kerana dia ditawar jawatan sebagai tutor. Tetapi, gesaan mama membuatnya pulang dan hari ini dia akan tiba. Beberapa minit lagi aku pasti akan bertemunya, rindu sekali aku dengannya. Azam disisiku juga kelihatan tidak sabar. Aku tak pasti apa reaksi kakak kalau bertemu Azam lagi, aku harap tanah Scotland bisa mengubat lukanya. Aku tak mahu dia kecewa dan kesedihan tetapi melalui caranya aku tak pasti kakakku sudah sembuh lukanya.
"Mana kakak ni?" suaraku tak sabar.
"Sabar, sayang. Nak keluarlah tu?" pujuk Azam.
Aku memanjangkan leher, mencari wajah kakakku. Dari kejauhan aku mengecilkan mataku, aku dapat lihat wajah kakak. Dia makin cantik, wanita itu mengenakan blause warna krim dan skirt A line labuh warna kelabu serta kasut but bertapak wedge. Rambutnya yang dulu paras bahu kini panjang hampir mencecah pinggang dan ia beralun lembut seperti iklan di televisyen. Aku melambai ke arahnya, dia tersenyum dan membalas lambaiku. Dia tak selesa memandang Azam di sisiku tetapi dia tenang kemudian. Mungkinkah perasaannya sudah terubat? Kami berpelukkan. Wangi sekali wangian yang kakak pakai, aku memandangnya atas bawah. Cantik dan dia makin kurus.
"Cantiknya kakak... Kakak ni pergi study ke jadi supermodel?"
"Merepeklah, kakak pergi study. Malaysia berkabus? Tapi kenapa makin panas..?" ujarnya dan menyanggulkan rambutnya.
"Jerebulah, kak!"
Kami ketawa kecil dan dia memeluk aku lagi. Aku lega, lega dia kembali kepada kami sekeluarga. Aku membantu kakakku menolak troli penuh bagasi menuju ke arah pintu keluar. Trolinya penuh dengan beg dan beberapa kotak milik kakak. Aku pasti kakak akan terus tinggal di sini.
"Mereka di rumah, apa khabar?" tanya kakakku.
"Sihat... Kak Long mengandung empat bulan," aku berbisik pada Erna Nabilla seolah-olah Kak Long ada disitu.
"What??? Boleh ke?" Aku ketawa kecil dan mengangguk. Kakak memandang ke atas seakan-akan berfikir.
"Rezeki... Beratnya beg kakak ni? Ada batu ke? Habis batu kat Heriot kakak angkut?" usikku. Erna Nabilla menampar lembut bahuku. Kami melihat Azam berlalu untuk mengambil keretanya. Aku memandang wajahnya, dia kelihatan tenang. Aku pasti hatinya terubat di tanah Scotland. Aku lega.
"Adam datang cari kakak di sana?" suara kakakku.
Aku terperanjat, troli yang aku tolak turut terhenti. Aku pandang wajahnya, Erna Nabilla serius.
"Kenapa? Bila? Kenapa kami tak tahu?" suaraku.
"Fia tak tahu? Betul ke? Habis macamana dia cari kakak sampai ke Heriot?"
Aku jungkit bahu, Erna Nabilla terdiam kelihatan seperti berfikir. Aku pasti kakak ingat aku yang beritahu dimana kakak berada? Sedangkan aku turut memaksa Azam agar tidak bercerita mengenai kakak kepada kembarnya. Kereta milik Azam muncul, kami segera memasukkan barang ke dalam kereta. Mujur lelaki itu membawa BMW model E81 yang baru dibelinya minggu lalu, jika tak entah macamana nak bawa barangan kakak ni. Kami berlalu untuk pulang ke destinasi.
Azam hanya menghantar aku dan kakak sahaja. Barangkali dia segan dengan kepulangan Erna Nabilla. Macam-macam lelaki itu, kakak kutengok tenang saja. Agaknya dia boleh terima aku akan berkahwin dengan Azam. Orang yang paling gembira sekali, mama. Dengar kakak nak balik macam-macam dia buat. Iyalah, kakak pun dah tiga tahun tak balik. Mama peluk kakak erat, seolah-olah tidak mahu melepaskannya. Rindu sangat... Adegan air mata bermain di ruang tamu kami petang itu.