Kulit durian itu dibungkus elok-elok, kemudian dibungkus di dalam plastik. Dia sendawa kemudian membuang bungkusan itu ke dalam tong. Parang yang digunakan dicuci dan di letak kembali ke tempatnya.
"Tok, Adam dah simpan parang tu."
"Adam, jangan lupa minum dari kulit durian. Buat hilang panas badan," suara seorang wanita tua, melaung dari luar.
"Baik, wan."
Adam membuang kulit yang digunakan untuk minum. Dia bersendawa lagi, kuat bau durian. Sudah begitu lama dia tak makan durian macam tadi.
"Wan, abang kata nak balik tapi dah nak petang ni. Bila dia kata nak balik?" tanya pemuda itu dan mendekati neneknya yang sibuk mengejut tepung kuih bahulu.
"Semalam, dia kata nak balik tengahari. Sabarlah."
Adam bersila di hadapan neneknya, dia ralit melihat nenek kesayangannya membuat kuih tradisional itu. Kepanasan buah durian mula terasa, dia mengambil kertas yang ada di situ untuk mengibas dirinya. Si nenek yang melihat telatah cucu bongsu kesayangannya tersenyum. Biarlah sesekali, lagipun buah durian dari pokok tuanya barangkali tidakkan berbuah lagi selepas ini kerana sudah terlalu tua. Bunyi hon kereta mengejutkan mereka. Adam menjengah, sebuah kereta BNW muncul dan masuk ke dalam laman rumah.
"Abang dah sampai," suara Adam, teruja sambil menepuk tangannya. Si nenek menggelengkan kepala melihat telatah cucunya yang ini, si adik memang berperangai seperti kanak-kanak.
"Pergilah tengok abang kamu tu!"
Adam tersenyum kemudian berlalu, hampir berlari untuk menyambut kepulangan abangnya. Mereka berpelukkan dan usik mengusik, ketawa mereka memecah suasana petang. Tok Teh yang ada di anjung cuma melihat gelagat kedua cucu-cucunya. Kemesraan mereka tidak pernah berubah, dia cukup bangga. Kelihatan kedua beradik itu menuju ke anjung. Si abang meniti tangga dan bersalam dengan datuknya kemudian memeluk lelaki itu.
"Assalamualaikum, tok? Eh! Wan, mana?"
"Sihat, Am. Ada di belakang, dok buat kuih bahulu," balas Tok Teh dan menepuk lembut belakang cucu sulungnya. Am menjengah seolah-olah dapat melihat neneknya dari situ. Mereka bertiga masuk ke dalam rumah, Adam yang membawa beg pakaian abangnya meminta diri dan membawa masuk beg ke dalam bilik.
"Ringan beg abang ni... Isi angin ke?" ujar Adam Lokman, namun tiada respon dari si abang. Dia menuju ke bilik untuk meletakkan beg si abang.
"Berapa lama kau cuti Am?" suara Tok Teh.
Am membuka butang bajunya sedikit dan mengibas-gibasnya sedikit.
"Kejap saja. Lusa kena balik. Kerja banyak sangat. Minggu depan ada mesyuarat dengan bahagian peperiksaan dan juga pengajian tinggi," terangnya. Tok Teh mengangguk dan membiarkan cucu sulungnya merehatkan diri disofa kayu.
"Abang lambat sangatlah, tadi Adam dah habiskan stok durian."
"Habis terus ke? Apa punya adik macam ni!" suara Am.
"Ada lagi dekat belakang bangsal tu. Kamu dengar sangat cakap adik kamu ni," suara Tok Teh. Adam Lokman tersenyum. Am merenung jam di dinding. Hampir menjelang Asar, dia mengeliat. Kepenatannya berbaki namun kewajiban sebagai orang Islam dia perlu mengerjakan solat Zuhur. Salahnya tadi kerana tidak berhenti untuk mengerjakan solat Zuhur dipertengahan jalan.