KEBETULAN, Safa terbangun dari lena untuk ke tandas. Safa bangun dari baringan dengan matanya yang masih kuyu. Dia memisat mata. Kantuknya masih mengusai tubuh yang lelah.
Tangan dibawa ke mulut untuk menutupnya ketika menguap sambil lafaz أعوذ بالله من الشيطان الرجيم diucapkan.
Buk!
"Allah! Aduh!" teriak Safa. Berkerut-kerut mukanya menahan sakit kerana hujung kaki terkena bucu kaki meja. Nikmat!
Safa terus terduduk di lantai sambil mengusap lembut jari kakinya yang sakit. Matanya langsung terbuka besar. Rasa kantuk tiba-tiba hilang entah ke mana. Matanya kembali segar seolah tidurnya sudah cukup 8 jam.
Setelah sakitnya semakin reda, Safa kembali bangun dan melangkah masuk ke tandas. Namun niatnya terbantut. Sepertinya dia terdengar bunyi seseorang menjerit.
Raid?
"Mengigau apa sampai jerit macam tu?" gumannya.
Pada awalnya Safa tidak peduli. Dia masuk saja ke tandas. Setelah beberapa minit, urusannya selesai, wanita itu keluar dan hendak menuju ke katilnya. Jeritan yang sama bergema lagi. Kali ini lebih keras.
Safa merasa sangat pelik. Apa yang terjadi di atas? Takkanlah trauma suaminya datang lagi sedangkan tiada sesiapa memegang pisau di biliknya.
Safa tidak jadi berehat. Lantas wanita itu keluar dari bilik tidurnya dan berlari cemas menaiki anak tangga untuk melihat keadaan suaminya. Risau pula jika diabaikan.
Tatkala tangan menyentuh tombol pintu bilik suaminya dan dipulas, tombol tersebut tersekat. Ia nya berkunci dari dalam. Safa cuba ketuk dan memanggil- manggil nama Raid.
"Abang?"
"Abang okay tak tu?" soalnya gusar.
Tiada balasan mahupun respon dari Raid. Raid masih tidur? Hatinya berbisik. Kalau suaminya masih tidur, jadi jeritan siapa yang dia dengar tadi?
Dia cuba mengetuk pintu itu lagi. Safa dah tak kisah kalau lepas ini Raid mahu memarahinya kerana menganggu lelaki itu. Yang penting sekarang, Safa mahu pastikan suaminya dalam keadaan baik saja.
"Kalau abang tak buka pintu ni sekarang, saya ambil kunci pendua!" jerit Safa lantang sambil tangan mengetuk kuat pintu itu. Diketuk kerkali-kali sampai tangannya terasa sakit.
"Ish, pekak ke memang sengaja tak nak buka ni!" geram punya pasal, Raid dikutuknya.
Safa memusingkan tubuhnya membelakangi pintu dan berlari menuruni anak tangga untuk ke stor, untuk mengambil kunci pendua yang disorokkan di dalam bilik tersebut.
BEBERAPA minit sebelum Safa terbangun dari lenanya. Ketika itu Raid berada di dalam tandas. Masih mamai. Minda belum stabil. Jiwanya seakan masih separuh tidur dan separuh bangun.Lima minit di dalam tandas, akhiranya Raid keluar juga. Sebaik saja pintu dibuka, kaki melangkah keluar dan tangan mengetik suis lampu yang terletak di sebelah pintu dari sudut luar. Lampu tandas dimatikan agar tidak terjadinya pembaziran elektrik.
Raid juga tidak gemar tidur dalam keadaan bilik yang terang. Sudahlah malam, langsirnya berwarna hitam, tiada lampu tidur terpasang, suasana bilik sememangnya gelap gelita.
Memandangkan Raid sudah terbiasa duduk dalam keadaan bilik yang gelap tanpa sebarang cahaya, dia sudah hafal dengan jalan untuk ke katilnya semula tanpa melanggar atau bertembung dengan perabot yang terletak di biliknya.
Sebelum sempat Raid ingin membaringkan tubuh tegapnya ke atas katil empuk, tiba-tiba sahaja lampu biliknya terbuka. Terang. Raid berdiri tegak memandang ke lelangit bilik.