SELEPAS berwudhu, sejadah dihampar ke lantai. Songkok yang diletakkan di atas meja berdekatan dicapai lalu disarung ke kepala yang masih basah dek air sembayang. Sebelum menunaikan solat Zohor, Raid terlebih dahulu mengerjakan solat sunat wudhu 2 rakaat.
Sudah jadi kebiasaan Raid melakukan solat sunat wudhu selepas berwudhu. Arwah Zaid merangkap atok Raid yang melatihnya sewaktu ketika dahulu. Setiap kali selepas mengambil air sembahyang, pasti Zaid akan mengingatinya untuk melakukan solat sunat wudhu 2 rakaat dan kemudian barulah disusuli dengan solat fardhu.
"Abang," Suara lembut Safa memanggil Raid.
Ketika itu, Raid baru saja selesai mengerjakan solat tersebut. Raid menoleh ke belakang memandang ke arah pemilik suara.
"Nak apa?"
"Nak ikut solat. Boleh? Ke abang dah selesai?" Safa sudah lengkap bertelekung. Tadi dia nak solat berjemaah dengan Uzzam tapi ayah keluar pula. Bila dah terbiasa solat berjemaah, rasa tak syok pula solat seorang diri.
Terkebil-kebil Raid memandang cik isteri. Mereka solat bersama? Uish tak pernah. Ini kali pertama Safa menawarkan diri solat berjemaah dengannya. Kalau dah namanya solat berjemaah, ini bermakna Raid akan menjadi iman dan Safa akan menjadi makmumnya. Allah, tiba-tiba Raid jadi gemuruh.
"Tak boleh ke?" Safa bersuara lagi. Seram tengok Raid tiba-tiba saja menyepi. Atau sebenarnya Raid tidak sudi?
"Ada ke aku cakap tak boleh?" Soalan berbalas soalan. Raid palingkan wajah dari memandang cik isteri. Sempat jugalah Raid mengamati kecantikan si isteri mengenakan telekung satin berwarna merah jambu itu.
"Saya join abang ya. Saya tak biasa solat seorang diri. Ayah tak ada." kata Safa sambil tangannya menghampar sejadah.
Raid menoleh lagi. Raid pandang Safa dengan pandangan semacam. Safa hayun dagu ke hadapan sebagai isyarat 'kenapa?'. Rasa tak senang duduk apabila sepasang mata Raid menatap wajahnya sedalam itu.
"Kenapa?" Nak tak nak, Safa bertanya juga. Jika dia diamkan saja, entah sampai bila mata itu menelanjangi dirinya.
"Kau ni cantik betullah." Ah, sudah! Raid nak puji dalam hati saja tapi dah terlanjur memuji dengan kata-kata. Dan yang pasti, suaranya cukup jelas didengar oleh Safa.
Mendengar pujian dari encik suami, Safa cepat-cepat larikan pandangan. Wajah ditoleh ke arah lain. Terkemut-kemut bibir Safa menahan senyum. Hatinya usah kata, berbunga riang. Perutnya juga seolah-olah ada ribuan kupu-kupu sedang berterbangan bebas di dalam sana.
"Kau ni cantiklah, Safa." Bila dah terlanjur memuji, apa kata Raid luahkan saja. Lagian, Safa itu isterinya. Memang tugasnya menghargai kecantikan cik isteri yang selama ini dia nafikan.
Sudah Raid, sudah! Jangan puji lagi! Safa gigit bibir bawah kuat-kuat. Raid ni sengaja kan? Raid ni memang suka buat Safa makin cinta dengan Raid kan?
"Abang, bila nak solat? Kata nak keluar." ujar Safa. Mata melirik ke arah suaminya.
Raid pakai songkok. Haih, I heart you, husband. Dek Safa tak mahu hilang kawalan diri di depan Raid yang jelas sekali nampak sangat tampan bersongkok dan berkain pelikat ala-ala suami mithali tu, Safa pakukan pandangan ke arah katil mereka. Tak mahu pandang Raid! Jiwa perempuannya tak kuat!
"Ada makmum secantik ni, segan pula aku..." Raid ketawa kecil di hujung ayat.
Dang it!
"Abang, cepatlah!"
Raid ketawa lagi. Lelaki itu ketawa sehingga menampakkan giginya. Entah bahagian mana yang lucu sehinggakan Raid ketawa berdekah-dekah seperti itu. Safa menolehkan semula wajahnya menghadap Raid. Dia tengok Raid yang masih tertawa riang. Handsome...