EH, biar betul? Uzzam tak bermimpikan? Apa yang dia lihat benar belaka kan? Uzzam tampar pipi sendiri. Mata dicelikkan beberapa kali. Ya, dia tak bermimpi. Memang Raid duduk di meja makan bersama Safa. Dan pasangan itu sedang berbual.
Sejak bila? Biasanya mereka akan bertekak tak kira masa. Ini boleh pula berborak seperti pasangan suami isteri yang sudah lama bercinta.
"Morning, ayah." Safa menyapa mesra sebaik saja Raid memberitahu padanya ada ayah sedang memerhatikan mereka di belakang.
"Mor... ning, Safa, Raid. Awal korang bangun."
"Kami solat subuh dulu. Ayah bangun subuh tak?" Raid pandang Uzzam.
"Raid ada nampak seri tak dekat muka ayah?" Uzzam angkat kening. Kedua belah tangan disilang ke dada bidangnya.
Safa ketawa. Haih, anak beranak ni kan.
"Tak. Gelap je. Mesti banyak dosa." Raid sudahi bicaranya. Teh panas disisip perlahan-lahan.
"Raid..."
"Abang, janganlah..." Safa menggeleng. Tak sah kalau tak mengusik.
"Korang berdua ni okey ke pagi ni?" Uzzam menyoal setelah punggung dilabuhkan di atas kerusi bersebelahan dengan Safa. Pinggan yang dihulur oleh Safa disambut.
"Okey je. Kenapa?" Raid menyoal kembali. Sekali sekala mata melirik ke arah Safa.
"Korang nampak lain hari ni." Aura yang dia rasakan pagi ni lain macam. Sejuk dan tenang semacam.
"Lain? Lain dari segi?"
"Entahlah... ayah pun tak tahu nak jelaskan macam mana." Bihun goreng dikaut kemudian disua ke bibir. Sesekali mata mengerling ke arah Raid dan Safa. Sesekali matanya menangkap Raid mengenyit mata ke arah Safa.
Aik? Raid sakit mata?
"Raid sakit mata?"
Cepat-cepat Raid mengalihkan pandangannya dari Safa. Adeh, terkantoi bermain mata dengan Safa. Safa pun sama, melayan. Nakal!
"Tak. Tak sakit pun. Kenapa?" Semua pertanyaan Uzzam dia jawab dengan persoalan.
Uzzam menggelengkan kepala. Tidak jadi mahu membahas semula. Ya, mungkin Raid tak sengaja terkenyit. Belakang kepala yang tidak gatal digaru.
"Safa dah pindah masuk bilik Raid ya?" Soalan dilontarkan kepada menantu kesayangannya pula. Sejak dia sibuk menguruskan klinik pergigian di Shah Alam, dia pun tak terkejar perkembangan rumah tangga Raid dan Safa.
Semalam punyalah bersungguh dia ketuk bilik Safa nak ajak tengok movie tapi tak menyahut. Pintu juga tak berkunci. Sebaik tombol pintu dipulas, suasana bilik Safa gelap. Penghawa dingin tak dihidupkan dan barang-barang Safa banyak yang dipindahkan. Mustahillah Safa larikan diri dari rumah. Kasut yang anak perempuannya itu sering pakai ada aje di rak kasut.
"Ha... ah."
"Sejak bila? Ayah tak tahu pun korang dah tidur sebilik."
"Lebih kurang seminggu." Raid tolong jawabkan.
Uzzam simpan senyum. Alhamdulilah, berita baik ni. Kalau anak dan menantu dah tidur sebilik, pasti tak lama lagi dia akam terima berita tentang kehadiran orang baru pula. Wah, tak sabar!
"Takut tidur sendiri ke?" Uzzam pula yang mengusik. Tak aci kalau Raid aje yang duk mengenakan dia.
"Haah, takut."
"Ada bini tidur di sebelah, dah tak takut?"
Raid anggukkan kepala, mengiyakan saja statement Uzzam. Pucuk hidung digaru. Tak perlu jelaskan macam-macam, Uzzam dah boleh tangkap sesuatu tentang hubungan mereka. Raid dan Safa, mereka sudah berbaik. Safa tidak lagi dingin dengannya. Safa tidak lagi cuba mengelak darinya. Malah, wanita itu semakin manja dengannya. Ya, itulah yang Raid mahukan. Diri Safa yang manja.